Tag: #MelodiGlamRayaRunway

  • Peragaan Raya di Atas Tren Menarik Perhatian: Melodi Glam Raya Runway Memeriahkan Perjalanan MRT dengan Barisan Selebriti, Persembahan Muzik dan Inspirasi Gaya Raya

    Peragaan Raya di Atas Tren Menarik Perhatian: Melodi Glam Raya Runway Memeriahkan Perjalanan MRT dengan Barisan Selebriti, Persembahan Muzik dan Inspirasi Gaya Raya

    Pada 12 Mac 2026, Melodi Glam Raya Runway menjadi tumpuan ramai apabila pertunjukan fesyen unik di dalam tren MRT berjaya mencipta pengalaman Aidilfitri yang interaktif dan glam, merentasi perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama sehingga ke Tun Razak Exchange (TRX). Acara ini menggabungkan elemen fesyen, muzik, hiburan dan teknologi interaktif, menjadikan setiap perhentian tren dan segmen persembahan sebagai pengalaman Raya yang memukau bagi penonton.

    Kemeriahan bermula di Stesen MRT Bandar Utama dengan persembahan flash mob yang dipimpin oleh finalis One In A Million (OIAM), Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam, serta disertai Rakan Selebriti Watsons, Sharifah Rose dan Fahrin Ahmad. Persembahan ini menghidupkan suasana pembukaan dengan tarian istimewa berirama lagu Raya jenama Watsons, menambah keceriaan sebelum sesi pelepasan rasmi (flag off) yang menandakan permulaan perjalanan tren khas ini.

    Sepanjang perjalanan tren, penonton dihiburkan dengan persembahan lagu tema rasmi Watsons Raya oleh finalis OIAM, diikuti alunan suara merdu Nabila Razali, yang menambah keseronokan dalam suasana Raya sambil bergerak. Segmen runway mula menarik perhatian apabila model mula memperagakan rangkaian produk penjagaan kulit, solekan, kesihatan dan penjagaan diri daripada barisan Rakan Jenama Watsons, lengkap dengan pakaian dan aksesori Raya daripada jenama tempatan yang merupakan Rakan Jenama TikTok Shop. Setiap produk dan gaya yang diperagakan turut dipaparkan melalui konsep “beg kuning”, membolehkan penonton membuat pembelian terus secara interaktif melalui platform TikTok Shop dengan tawaran eksklusif. Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan dimensi baharu dalam pengalaman menonton, tetapi juga membuka peluang kerjasama masa hadapan dengan lebih banyak jenama dan rakan industri.

    Dalam perjalanan, suasana turut dipenuhi dengan sesi sembang santai oleh hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, sebelum tren berhenti seketika di Stesen MRT Pasar Seni, menampilkan kemunculan barisan model seterusnya yang terus menghidupkan pengalaman penonton. Segmen ini memberikan penekanan kepada interaksi antara penonton, selebriti, dan model, menjadikan acara lebih intim dan dekat dengan pengunjung.

    Kemeriahan mencapai kemuncaknya di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), di mana pentas utama menampilkan aksi pembukaan oleh Datuk Seri Aliff Syukri sebelum Melodi Glam Raya Runway dilancarkan secara rasmi. Pentas utama ini dipenuhi dengan persembahan memukau daripada penyanyi popular tanah air termasuk Aisha Retno, Amir Masdi, Nabila Razali, dan Ernie Zakri, yang menyemarakkan suasana dengan persembahan penuh energi dan pesona. Segmen runway di pentas utama turut menampilkan barisan Duta dan Rakan Selebriti Watsons seperti Ayda Jebat, Che Puan Sarimah, Sharifah Rose, Fahrin Ahmad, Akmal Nazri, Lyssa Jean dan Mekyun, yang turut memperagakan produk sambil memberi inspirasi gaya Raya kepada penonton.

    Bertemakan “Gaya Raya Glam”, acara ini menekankan bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan dan bergaya boleh dicapai tanpa perlu berbelanja besar, selari dengan misi Melodi dalam mengangkat bakat tempatan, jenama fesyen tempatan, serta membuka ruang kolaborasi antara dunia fesyen, hiburan, dan platform digital. Melalui inisiatif interaktif “beg kuning” di TikTok Shop, penonton bukan sahaja dapat menonton tetapi turut berpeluang membeli produk yang dipersembahkan, menjadikan pengalaman Raya lebih dinamik dan moden.

    Acara ini dianjurkan dengan sokongan Watsons Malaysia sebagai penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama, manakala siaran langsung eksklusif disediakan melalui TikTok MBuzz Terhangat, membolehkan penonton seluruh negara menikmati kemeriahan acara walaupun tidak hadir secara fizikal. Melodi Glam Raya Runway 2026 membuktikan bahawa pengalaman Raya boleh dihidupkan melalui gabungan hiburan, fesyen, muzik, dan teknologi interaktif, sambil menonjolkan budaya tempatan dan semangat Aidilfitri.

    Untuk perkembangan terkini mengenai Melodi, ikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.

  • Melodi Glam Raya Runway 2026 Bakal Gegarkan Laluan MRT

    Melodi Glam Raya Runway 2026 Bakal Gegarkan Laluan MRT

    Kuala Lumpur, 5 Mac 2026 – Program hiburan sensasi negara, Melodi sekali lagi mencipta kelainan apabila bakal menganjurkan Melodi Glam Raya Runway 2026, sebuah pertunjukan fesyen unik yang berlangsung di dalam tren bergerak di laluan MRT Kajang Line. Acara yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac 2026 ini menggabungkan elemen fesyen, hiburan dan muzik dalam satu pengalaman luar biasa yang menjanjikan suasana glamor sempena Aidilfitri. Dikendalikan oleh hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, runway bergerak ini akan memulakan perjalanan dari MRT Bandar Utama Station sebelum berakhir dengan acara kemuncak di Tun Razak Exchange MRT Station, sekali gus menawarkan pengalaman visual dan hiburan eksklusif kepada para penonton.

    Mengangkat tema “Gaya Raya Glam”, acara ini menekankan bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Melalui sentuhan solekan yang tepat serta pemilihan busana yang sesuai, gaya memikat tetap boleh dicapai walaupun di saat akhir. Sepanjang perjalanan tren tersebut, seramai 20 model akan memperagakan koleksi Raya terkini daripada jenama fesyen tempatan, sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat dalam membuat pilihan gaya menjelang musim perayaan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Melodi dalam menyokong bakat serta jenama tempatan sambil membuka ruang kolaborasi antara dunia fesyen, hiburan dan kandungan digital.

    Kemeriahan acara turut diperkukuhkan dengan barisan persembahan artis popular. Di dalam tren, penumpang bakal dihiburkan oleh penyanyi terkenal Nabila Razali bersama para finalis One in a Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimmy dan Mariam. Acara kemudian diteruskan di pentas utama di TRX yang bakal menampilkan persembahan daripada Aisha Retno, Ernie Zakri dan Amir Masdi, selain penampilan istimewa usahawan selebriti Aliff Syukri Kamarzaman serta kemunculan semula Nabila Razali bersama para finalis One In A Million. Orang ramai juga boleh menyertai peraduan menarik di booth khas yang dibuka di stesen MRT Bandar Utama, Pasar Seni dan TRX dengan peluang memenangi baucar beli-belah eksklusif.

    Acara ini turut mendapat sokongan daripada Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok melalui platform TikTok serta TikTok Shop sebagai penaja bersama. Keseluruhan acara juga akan distrim secara langsung menerusi saluran MBuzz Terhangat di TikTok bermula jam 3.30 petang, membolehkan peminat di seluruh negara turut merasai kemeriahan pertunjukan fesyen bergerak ini. Dengan konsep yang kreatif dan penuh gaya, Melodi Glam Raya Runway 2026 dijangka menjadi antara acara paling unik yang memeriahkan suasana menjelang Aidilfitri tahun ini.

    Untuk perkembangan terkini, ikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.