Kuala Lumpur, 5 Mac 2026 – Program hiburan sensasi negara, Melodi sekali lagi mencipta kelainan apabila bakal menganjurkan Melodi Glam Raya Runway 2026, sebuah pertunjukan fesyen unik yang berlangsung di dalam tren bergerak di laluan MRT Kajang Line. Acara yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac 2026 ini menggabungkan elemen fesyen, hiburan dan muzik dalam satu pengalaman luar biasa yang menjanjikan suasana glamor sempena Aidilfitri. Dikendalikan oleh hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, runway bergerak ini akan memulakan perjalanan dari MRT Bandar Utama Station sebelum berakhir dengan acara kemuncak di Tun Razak Exchange MRT Station, sekali gus menawarkan pengalaman visual dan hiburan eksklusif kepada para penonton.
Mengangkat tema “Gaya Raya Glam”, acara ini menekankan bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Melalui sentuhan solekan yang tepat serta pemilihan busana yang sesuai, gaya memikat tetap boleh dicapai walaupun di saat akhir. Sepanjang perjalanan tren tersebut, seramai 20 model akan memperagakan koleksi Raya terkini daripada jenama fesyen tempatan, sekali gus memberi inspirasi kepada masyarakat dalam membuat pilihan gaya menjelang musim perayaan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Melodi dalam menyokong bakat serta jenama tempatan sambil membuka ruang kolaborasi antara dunia fesyen, hiburan dan kandungan digital.
Kemeriahan acara turut diperkukuhkan dengan barisan persembahan artis popular. Di dalam tren, penumpang bakal dihiburkan oleh penyanyi terkenal Nabila Razali bersama para finalis One in a Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimmy dan Mariam. Acara kemudian diteruskan di pentas utama di TRX yang bakal menampilkan persembahan daripada Aisha Retno, Ernie Zakri dan Amir Masdi, selain penampilan istimewa usahawan selebriti Aliff Syukri Kamarzaman serta kemunculan semula Nabila Razali bersama para finalis One In A Million. Orang ramai juga boleh menyertai peraduan menarik di booth khas yang dibuka di stesen MRT Bandar Utama, Pasar Seni dan TRX dengan peluang memenangi baucar beli-belah eksklusif.
Acara ini turut mendapat sokongan daripada Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok melalui platform TikTok serta TikTok Shop sebagai penaja bersama. Keseluruhan acara juga akan distrim secara langsung menerusi saluran MBuzz Terhangat di TikTok bermula jam 3.30 petang, membolehkan peminat di seluruh negara turut merasai kemeriahan pertunjukan fesyen bergerak ini. Dengan konsep yang kreatif dan penuh gaya, Melodi Glam Raya Runway 2026 dijangka menjadi antara acara paling unik yang memeriahkan suasana menjelang Aidilfitri tahun ini.
Untuk perkembangan terkini, ikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.
