Tag: #MalaysiaUSATrade

  • Amerika Syarikat kekal rakan dagangan Malaysia, dengan nilai dagangan melonjak 30.0 peratus kepada RM325.2 bilion pada 2024

    Malaysia dan Amerika Syarikat terus mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh walaupun berdepan dengan ketidaktentuan dalam landskap ekonomi global, dengan jumlah dagangan meningkat 30.0 peratus kepada RM325.2 bilion pada 2024. Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat naik 23.3 peratus kepada RM198.9 bilion, manakala import meningkat 42.1 peratus kepada RM126.3 bilion, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap produk Malaysia. Menurut Malaysia Trade Statistics Review (MTSR) 2025, barangan elektrik dan elektronik kekal sebagai tunjang utama perdagangan dengan Amerika Syarikat, menyumbang 60.4 peratus daripada jumlah eksport, termasuk semikonduktor (46.8%), perkakas telekomunikasi (19.4%), jentera dan peralatan elektrik (17.0%), serta mesin pejabat dan peralatan pemprosesan data automatik (16.9%).

    Selain itu, eksport barangan optik dan saintifik mencapai RM12.9 bilion, iaitu peningkatan 14.3 peratus pada 2024, menjadikan Amerika Syarikat penerima eksport terbesar bagi kategori ini dengan sumbangan 21.8 peratus. Produk jentera, kelengkapan dan peralatan mencatat peningkatan 33.6 peratus kepada RM8.8 bilion, manakala produk getah meningkat semula kepada RM7.4 bilion selepas penurunan pada 2022 dan 2023, menandakan kejayaan Malaysia beralih daripada mengeksport getah mentah kepada produk hiliran bernilai tinggi seperti sarung tangan getah dan barangan kejuruteraan. Produk perkayuan juga mencatat prestasi stabil dengan eksport meningkat kepada RM6.0 bilion pada 2024, mengukuhkan trend jangka panjang pertumbuhan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat.

    Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menekankan bahawa lima kategori utama iaitu barangan elektrik & elektronik, barangan optik & saintifik, jentera, kelengkapan & peralatan, produk getah dan produk perkayuan menjadi pemacu utama perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat. Tambahan pula, Malaysia turut mencatat pencapaian global apabila buat julung kalinya menduduki tangga pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain, menunjukkan ketelusan dan kualiti data yang tinggi menerusi platform OpenDOSM NextGen.