Tag: #KonsertKerohanian

  • Inteam Raikan 25 Tahun Perjuangan Dakwah Muzik Dengan Konsert Istimewa 2026

    Inteam Raikan 25 Tahun Perjuangan Dakwah Muzik Dengan Konsert Istimewa 2026

    Setelah kejayaan demi kejayaan dilakar dalam penganjuran pelbagai konsert besar, ICON Entertainment by Iman Tang sekali lagi tampil dengan misi memperkukuh martabat industri seni tempatan pada tahun 2026. Kali ini, mereka meneruskan perjuangan dengan menganjurkan konsert bersifat kerohanian berskala besar berjudul 25 Tahun Inteam Nur Kasih, yang dijadual berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil bermula jam 8.20 malam.

    Kumpulan nasyid tersohor Inteam yang ditubuhkan sejak tahun 2000 bakal meraikan perjalanan dua dekad mereka dalam industri hiburan tanah air menerusi konsert istimewa ini. Di kala industri sering dihiasi konsert-konsert besar daripada artis solo dan kumpulan arus perdana, ICON Entertainment mahu memastikan genre nasyid tidak terpinggir dan terus diberi tempat yang sewajarnya dalam dunia hiburan tanah air.

    Menurut Pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, penganjuran konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah penghormatan terhadap perjuangan panjang Inteam yang dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad. Iman menyifatkan Inteam sebagai kumpulan yang berjaya mengangkat nilai spiritual melalui pendekatan muzik yang sederhana namun menyentuh jiwa, dengan lagu-lagu popular seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta dan Kasih Kekasih yang begitu dekat di hati pendengar.

    Iman menjelaskan bahawa konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bakal menawarkan pengalaman berbeza kepada peminat. Selain persembahan penuh makna, para penonton juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang diadakan pada malam konsert. Enam peminat bertuah bakal menerima hadiah utama berupa pakej umrah bernilai RM8,999 setiap seorang, tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd. Pakej tersebut merangkumi penginapan di Swissotel Makkah dan Hayah Golden Madinah untuk tempoh sepuluh malam, iaitu lima malam di Makkah dan lima malam di Madinah, yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos 2026.

    Selain itu, sepuluh peminat bertuah akan menerima baucar istimewa Jay Ibrahim Al Islam bernilai RM5,000, manakala hadiah kedua yang disediakan oleh ICON Entertainment ialah dua unit skuter Modenas Elit 150s. Hadiah ketiga pula berupa sebuah telefon pintar model terbaharu di pasaran untuk seorang pemenang bertuah.

    Iman Tang turut menegaskan bahawa konsert ini bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi juga satu wadah menyantuni peminat setia yang telah menyokong Inteam selama lebih dua dekad. Dengan tema kasih dan keberkatan, penganjuran kali ini diharap menjadi acara yang penuh makna dan meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang hadir.

    Tiket bagi konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih boleh didapati mulai 24 Oktober jam 11 pagi melalui laman sesawang rasmi Ticket2U di pautan https://www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih. Harga tiket bermula dari RM168 hingga RM488 dengan kategori seperti DIA, KERANA CINTA, BISIKAN NURANI, KASIHKU ABADI, KIAS CINTA, SELIMUT KASIH, NUR KASIH dan KASIH KEKASIH.

    Dengan gabungan hiburan, dakwah, dan ganjaran berharga, 25 Tahun Inteam Nur Kasih bukan sekadar konsert tetapi simbol perjalanan panjang sebuah kumpulan yang terus istiqamah dalam menyebarkan mesej kasih dan keindahan Islam melalui muzik.

  • Maher Zain Hidupkan Pentas Malaysia dengan Persembahan Penuh Jiwa

    Maher Zain Hidupkan Pentas Malaysia dengan Persembahan Penuh Jiwa

    Penantian panjang selama enam tahun akhirnya terbayar apabila konsert “The Journey to the Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur)” menggegarkan pentas Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi. Lebih 5,000 peminat membanjiri lokasi sejak awal petang, terdiri daripada remaja, pasangan muda, hingga keluarga bersama anak-anak kecil, membuktikan bahawa aura Maher Zain merentasi generasi dan masih terus segar di hati peminat muzik kerohanian.

    Konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama Hitman Solutions dan Happymoon ini membuka tirai dengan lagu “Assalamu Alayka”, sebuah karya ikonik yang serta-merta menggamit suasana penuh syahdu. Sepanjang hampir dua jam, Maher Zain mempersembahkan rangkaian lagu popular yang telah menemani perjalanan rohani jutaan peminat di seluruh dunia. Lagu-lagu seperti “InshaAllah”, “Alayka Salla Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Close To You” dan “For The Rest of My Life” mengisi malam dengan penuh emosi dan ketenangan. Ada penonton yang menitiskan air mata, ada yang berpelukan sesama keluarga, malah ramai yang mengangkat tangan sambil hanyut dalam rasa syukur dan keinsafan.

    Sorakan dan nyanyian ribuan peminat yang bersatu suara menjadikan malam itu seakan pertemuan penuh kerinduan antara Maher Zain dan masyarakat Malaysia. Artis kelahiran Sweden itu jelas terharu dengan sambutan yang diterima. “Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi,” katanya sebelum menutup persembahan dengan lagu “Ya Nabi Salam Alayka”.

    Menurut YM Tengku Shaheera binti Tengku Tan Sri Abdullah selaku Pengerusi dan Pengasas YTA, konsert ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar hiburan. “Kami berasa amat berbesar hati dapat menganjurkan konsert sulung ini bersama Maher Zain, seorang artis yang karya muziknya mendalami nilai serta mesej yang seiring dengan pendirian Yayasan Tengku Abdullah. Bagi kami di YTA, ini lebih dari sekadar sebuah konsert, ia adalah cerminan iman, kemanusiaan, dan kasih sayang. Apabila kita menyaksikan ribuan orang berhimpun di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah satu peringatan bahawa muzik mampu menyatukan hati,” jelasnya.

    “The Journey to the Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur)” membuktikan bahawa muzik mampu menjadi jambatan untuk menyampaikan nilai kemanusiaan, cinta, harapan dan rasa syukur. Setiap lirik, setiap melodi dan setiap detik di pentas meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang hadir, mencipta kenangan yang akan terus terpahat di hati.

    Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi konsert iaitu Era FM, Sinar FM, Zayan FM dan Syok sebagai rakan radio, Says Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media, serta Awakening Music sebagai rakan kerjasama antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai konsert ini boleh diperoleh dengan menghubungi pihak penganjur di +6012-2655783 atau melalui e-mel concerts@hitman.group. Bahan media tambahan pula boleh didapati dengan menghubungi info@maherzainseatour.com atau melayari www.maherzainseatour.com.