MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Maher Zain Hidupkan Pentas Malaysia dengan Persembahan Penuh Jiwa

5 min read

Penantian panjang selama enam tahun akhirnya terbayar apabila konsert “The Journey to the Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur)” menggegarkan pentas Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi. Lebih 5,000 peminat membanjiri lokasi sejak awal petang, terdiri daripada remaja, pasangan muda, hingga keluarga bersama anak-anak kecil, membuktikan bahawa aura Maher Zain merentasi generasi dan masih terus segar di hati peminat muzik kerohanian.

Konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama Hitman Solutions dan Happymoon ini membuka tirai dengan lagu “Assalamu Alayka”, sebuah karya ikonik yang serta-merta menggamit suasana penuh syahdu. Sepanjang hampir dua jam, Maher Zain mempersembahkan rangkaian lagu popular yang telah menemani perjalanan rohani jutaan peminat di seluruh dunia. Lagu-lagu seperti “InshaAllah”, “Alayka Salla Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Close To You” dan “For The Rest of My Life” mengisi malam dengan penuh emosi dan ketenangan. Ada penonton yang menitiskan air mata, ada yang berpelukan sesama keluarga, malah ramai yang mengangkat tangan sambil hanyut dalam rasa syukur dan keinsafan.

Sorakan dan nyanyian ribuan peminat yang bersatu suara menjadikan malam itu seakan pertemuan penuh kerinduan antara Maher Zain dan masyarakat Malaysia. Artis kelahiran Sweden itu jelas terharu dengan sambutan yang diterima. “Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya. Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi,” katanya sebelum menutup persembahan dengan lagu “Ya Nabi Salam Alayka”.

Menurut YM Tengku Shaheera binti Tengku Tan Sri Abdullah selaku Pengerusi dan Pengasas YTA, konsert ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar hiburan. “Kami berasa amat berbesar hati dapat menganjurkan konsert sulung ini bersama Maher Zain, seorang artis yang karya muziknya mendalami nilai serta mesej yang seiring dengan pendirian Yayasan Tengku Abdullah. Bagi kami di YTA, ini lebih dari sekadar sebuah konsert, ia adalah cerminan iman, kemanusiaan, dan kasih sayang. Apabila kita menyaksikan ribuan orang berhimpun di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah satu peringatan bahawa muzik mampu menyatukan hati,” jelasnya.

“The Journey to the Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur)” membuktikan bahawa muzik mampu menjadi jambatan untuk menyampaikan nilai kemanusiaan, cinta, harapan dan rasa syukur. Setiap lirik, setiap melodi dan setiap detik di pentas meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang hadir, mencipta kenangan yang akan terus terpahat di hati.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi konsert iaitu Era FM, Sinar FM, Zayan FM dan Syok sebagai rakan radio, Says Seismik, World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media, serta Awakening Music sebagai rakan kerjasama antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai konsert ini boleh diperoleh dengan menghubungi pihak penganjur di +6012-2655783 atau melalui e-mel concerts@hitman.group. Bahan media tambahan pula boleh didapati dengan menghubungi info@maherzainseatour.com atau melayari www.maherzainseatour.com.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.