FELDA dan FGV menyatakan penghargaan atas pendekatan konstruktif yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu susulan perkembangan rundingan berkaitan tanah-tanah yang diusahakan di negeri tersebut. Kedua-dua organisasi itu mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan menyambut baik keputusan kerajaan negeri melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026. Keputusan ini membuka ruang kepada perbincangan yang lebih positif dan telah membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang sebagaimana dipersetujui. Perkembangan itu membawa kelegaan besar kepada para peneroka yang sebelum ini berdepan ketidakpastian mengenai pendapatan, kesejahteraan keluarga serta kelangsungan hidup mereka. Sejak awal, tumpuan FELDA dan FGV adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi dan ketenteraman emosi para peneroka, khususnya anak jati Terengganu, terus terpelihara. Dengan penarikan notis terlibat, FELDA dan FGV kini dapat menumpukan semula usaha kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka dan pembangunan komuniti di kawasan rancangan, sekali gus memulihkan keyakinan dalam kalangan peneroka serta memastikan kelestarian ekonomi setempat. FELDA dan FGV turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Negeri Terengganu untuk terus berunding secara profesional demi kepentingan bersama, dengan kesejahteraan peneroka kekal menjadi nadi dan keutamaan sejak penubuhan FELDA.