
Platform penstriman tempatan Tonton memperkenalkan satu pengalaman baharu kepada peminat filem menerusi tayangan eksklusif Keramat Gunung Jerai, sebuah filem psikologi seram yang menggabungkan elemen misteri, supernatural dan konflik kemanusiaan. Filem ini boleh ditonton mulai 8 Julai 2026 melalui model Pay-Per-View (PPV) dengan harga hanya RM12.
Sebagai Tonton Originals pertama yang ditawarkan menerusi sistem Transactional Video on Demand (TVOD), Keramat Gunung Jerai menjadi satu lagi langkah inovatif dalam memperluaskan pilihan tontonan digital kepada penonton Malaysia. Selepas kejayaan Fury Championship Vol. 2 sebagai kandungan PPV pertama di platform tersebut, filem ini meneruskan usaha Tonton menyediakan kandungan premium yang boleh diakses secara fleksibel.
Arahan Luqman Hafidz menampilkan pendekatan seram yang bukan sahaja bergantung kepada elemen kejutan, tetapi turut menyelami emosi watak melalui tema pengorbanan, rasa bersalah dan akibat daripada tindakan manusia. Filem terbitan Lumatic Films ini menampilkan barisan pelakon seperti Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Sara Ali yang menghidupkan watak-watak dengan latar penuh konflik.
Mengisahkan Hakim yang kembali ke Gunung Jerai selepas bertahun-tahun akibat penyakit misteri yang menimpa anaknya, filem ini membawa penonton menyusuri perjalanan mencari jawapan terhadap ritual lama yang pernah dilakukan bersama sahabatnya. Namun, semakin dekat mereka dengan kebenaran, semakin banyak rahsia gelap yang mula terbongkar.
Keramat Gunung Jerai menjanjikan pengalaman tontonan yang mendebarkan menerusi gabungan atmosfera seram, penceritaan psikologi dan persoalan tentang harga sebuah impian. Filem ini sesuai untuk peminat genre seram yang mahukan sebuah kisah dengan lapisan emosi dan misteri yang lebih mendalam.