Tag: KeramatGunungJerai

  • Keramat Gunung Jerai Tampilkan Era Baharu Seram Psikologi di Tonton Menerusi Model Pay-Per-View

    Keramat Gunung Jerai Tampilkan Era Baharu Seram Psikologi di Tonton Menerusi Model Pay-Per-View

    Di tengah-tengah lonjakan industri sinema tempatan yang kini didominasi oleh fenomena filem seram, sebuah naskhah baharu dalam genre yang sama bakal menemui penonton. Namun begitu, Keramat Gunung Jerai tampil dengan pendekatan yang berbeza. Filem ini dijadualkan tayangannya pada 8 Julai 2026 dan bukan sekadar sebuah lagi filem seram komersial, sebaliknya membawa pendekatan psikologi-seram yang lebih mendalam.

    Naskhah ini juga menandakan satu transisi penting dalam kerjaya pelakon berbakat, Luqman Hafidz, apabila beliau buat pertama kalinya duduk di kerusi pengarah. Lebih istimewa, filem ini mencatat sejarah sebagai Tonton Originals pertama yang ditawarkan secara Pay-Per-View (PPV) melalui model Transactional Video on Demand (TVOD). Diterbitkan oleh Lumatic Films, Keramat Gunung Jerai menampilkan barisan pelakon hebat seperti Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Putra dan Sara Ali.

    Perjalanan pengarahan ini lahir daripada proses perancangan dan perbincangan selama dua tahun bersama pengarah berpengalaman, Nik Amir Mustapha (Bru, Imaginur, Terbaik Dari Langit). Skrip asal yang dikembangkan oleh Hadi M. Nor terhasil daripada siri perbualan kreatif antara Luqman dan Nik Amir, sebelum akhirnya meyakinkan Lumatic Films untuk menyerahkan tanggungjawab pengarahan kepada Luqman.

    Luqman menyifatkan peluang tersebut sebagai satu pengalaman berharga dalam kerjayanya. “Dapat berguru dan bertukar pandangan secara dekat dengan beliau sepanjang proses ini adalah satu rezeki yang saya sangat hargai. Terima kasih kerana mempercayai saya dan membawa nama saya kepada pihak Tonton sehingga mereka terbuka untuk memberi peluang ini,” katanya.

    Menurut Luqman, pemilihan Gunung Jerai sebagai latar bukan bertujuan mengeksploitasi unsur mistik semata-mata, sebaliknya untuk mengangkat semula nilai sejarah dan spiritual lokasi tersebut yang sering disalah tafsir di media sosial. Beliau menjelaskan bahawa sesebuah tempat yang mempunyai sejarah baik tidak seharusnya hanya dikenali melalui kisah negatif atau persepsi yang tidak tepat.

    “Saya mahu penonton melihat bahawa tempat yang mempunyai sejarah yang baik tidak seharusnya hanya dikaitkan dengan cerita yang menimbulkan syak wasangka atau fitnah. Kadang-kadang, sesuatu yang baik lebih mudah dihargai apabila ia diletakkan dalam kontras dengan sesuatu yang gelap,” jelasnya, sambil menegaskan filem ini bukan sekadar menjual elemen jumpscare.

    Dengan latar belakang latihan Neuro-Linguistic Programming (NLP), Luqman turut menyuntik elemen psikologi manusia ke dalam naratif, yang berkisar tentang keretakan hubungan tiga sahabat akibat sebuah ritual terlarang pada masa lalu. Pendekatan ini memberikan dimensi emosi dan mental yang lebih kompleks kepada jalan cerita.

    Sebagai pengarah yang tidak datang daripada latar belakang sekolah filem formal, Luqman menggunakan pengalaman luasnya sebagai pelakon serta latihan teater untuk membentuk gaya pengarahan tersendiri yang menekankan aspek lakonan dan pembinaan karakter secara natural. Set penggambaran Keramat Gunung Jerai juga digambarkan sebagai ruang diskusi kreatif yang matang bersama barisan pelakon.

    Beliau turut memuji komitmen pelakon seperti Iedil Putra dan Sara Ali yang merupakan rakan lama, kehebatan lakonan bersahaja Cristina Suzanne, serta dedikasi tinggi Niezam Zaidi sepanjang proses produksi. “Saya percaya penonton hari ini semakin bijak. Mereka mencari sesuatu yang terasa benar. Jadi saya fokus kepada persembahan yang lebih natural dan dekat dengan realiti. Apabila penonton percaya kepada watak, barulah mereka akan percaya kepada apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

    Selain filem ini, Luqman kini turut mengarahkan sebuah lagi siri 10 episod berjudul Sihir Isteri untuk platform yang sama, sekali gus mengukuhkan lagi portfolio arahannya. Menjelang tayangan pada 8 Julai ini, beliau berharap Keramat Gunung Jerai bukan sekadar menjadi hiburan, tetapi juga sebuah naskhah yang mengajak penonton berfikir tentang pilihan hidup, adab dan akibat setiap tindakan manusia.

    Keramat Gunung Jerai akan ditayangkan secara eksklusif di platform Tonton bermula 8 Julai 2026 menerusi model Pay-Per-View (PPV) pada harga RM12. Untuk maklumat lanjut mengenai drama dan rancangan terkini, ikuti Tonton di Facebook, X, YouTube dan Instagram @tontonmy.