Semangat berpasukan menjadi kunci utama kejayaan Harimau Malaya menundukkan Palestin 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Ketua jurulatih, Peter Cklamovski menegaskan bahawa kemenangan itu bukanlah hasil sentuhan seorang pemain semata-mata, sebaliknya datang daripada kerjasama padu semua posisi.
“Apa yang paling saya hargai ialah mentaliti pemain. Walaupun ada tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama dan enam lagi ketika permainan, mereka kekal fokus dan komited. Kami percaya pada semua pemain Malaysia,” ujarnya.
Cklamovski menambah, gol awal menerusi Joao Figueiredo adalah hasil latihan taktikal yang dirancang dan membuktikan Harimau Malaya semakin matang dalam pendekatan permainan.
Kemenangan ini juga memberi keyakinan tambahan kepada skuad negara menjelang kelayakan Piala Asia. “Kami tidak melihat kepada individu, kami melihat pasukan sebagai satu unit,” tegasnya.
