Tag: #JomBerbukaBersamaMiSedaap

  • “Nikmat Dikongsi, Rezeki Diberkati”: Mi Sedaap Santuni Komuniti di Tiga Lokasi Sekitar Lembah Klang

    “Nikmat Dikongsi, Rezeki Diberkati”: Mi Sedaap Santuni Komuniti di Tiga Lokasi Sekitar Lembah Klang

    Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Mi Sedaap dengan kerjasama TV3, Pepper Labs dan Dapur Digital telah menganjurkan siri jelajah komuniti bertemakan Jom Berbuka Bersama Mi Sedaap di tiga lokasi sekitar Lembah Klang. Inisiatif ini merupakan lanjutan kepada program Jom Berbuka terbitan TV3 yang ditaja sepenuhnya oleh Mi Sedaap, bertujuan untuk mendekati masyarakat secara langsung sambil berkongsi rezeki dan menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan yang mulia.

    Setiap sesi jelajah diisi dengan aktiviti memasak bersama selebriti di dapur Pepper Labs sebelum hidangan tersebut diagihkan kepada kira-kira 350 penerima di setiap lokasi. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama, malah turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan dan aktiviti santai yang menghiburkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR). Suasana mesra dan penuh kegembiraan jelas terasa apabila penduduk setempat bersama-sama menyertai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.

    Selain menyantuni komuniti setempat, Mi Sedaap turut menyampaikan kotak Kongsi Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas kepada rakan-rakan Dapur Digital yang terdiri daripada ibu tunggal serta suri rumah. Inisiatif ini selari dengan tagline kempen mereka, “Kongsi Rezeki, Nikmati Rasa Asli Mi Sedaap”, yang menekankan nilai perkongsian dan kepedulian terhadap komuniti yang memerlukan.

    Siri jelajah ini telah dilaksanakan di tiga lokasi strategik sekitar Lembah Klang. Jelajah bermula di PPR Wangsa Sari pada 21 Februari, yang dimeriahkan oleh pasangan ibu dan anak popular, Nabila Huda dan Keisha Laila, serta dihoskan oleh personaliti TV3, Zati Nizam dan Asyraf Jamaluddin. Program diteruskan di PPR Sri Perlis 2 pada 28 Februari, menampilkan kemunculan pelawak Angah bersama Wawa, dengan pengacaraan oleh Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin. Siri jelajah ini kemudiannya melabuhkan tirainya di PPR Hiliran Ampang pada 3 Mac, yang turut menjadi lokasi kemuncak program dengan kehadiran Chef Fazley dan Fariedz Fazley, sekali lagi dikendalikan oleh Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin.

    Majlis penutup di PPR Hiliran Ampang turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima, Puan Farah Shamsudin serta Pengurus Serantau Gentle Supreme Sdn Bhd, Encik Ng Hock Guan. Kehadiran mereka menzahirkan sokongan terhadap inisiatif yang menggabungkan elemen hiburan, komuniti dan tanggungjawab sosial sepanjang Ramadan.

    Secara keseluruhannya, usahasama ini membuka ruang kepada TV3, penaja dan rakan strategik untuk mengeratkan ukhuwah serta mendekatkan diri dengan penonton dan pengguna. Program ini mencerminkan komitmen bersama dalam berkongsi keberkatan Ramadan dengan masyarakat, sekali gus memperkukuh hubungan antara jenama dan komuniti. Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih banyak komuniti dapat merasai manfaatnya, selaras dengan aspirasi untuk terus kekal relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia.