Fenomena baharu melanda dunia drama tempatan apabila gandingan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma dalam drama Hilang Dalam Rindu mencetuskan gelombang luar biasa di Malaysia dan Indonesia. Dikenali dengan tanda pagar #JaCieEffects, chemistry kedua-dua pelakon ini dianggap luar biasa hingga membuatkan penonton ‘cair’ setiap kali mereka muncul di layar kaca.
Menariknya, Hilang Dalam Rindu merupakan adaptasi 100% daripada novel popular, namun tetap segar dengan sentuhan ala vibe wattpad yang memikat. Keistimewaan drama ini terletak pada kesetiaan terhadap jalan cerita asal, tanpa babak ‘cringe’ atau meleret yang sering menjadi keluhan penonton. Di bawah pengarahan Along Kamaluddin, setiap episod dibentuk dengan rapi sehingga mampu membawa penonton hanyut dalam kisah cinta yang tulus, penuh emosi dan menyentuh hati.
Kejayaan drama ini turut tercermin daripada penjualan novel asalnya, apabila sebanyak 31,500 naskhah habis terjual dalam masa singkat. Fenomena ini bukan sahaja memikat peminat tegar drama Melayu, malah berjaya menarik penonton baharu yang sanggup berjaga sehingga jam lima pagi untuk maraton episod tanpa henti.

Walaupun masih baru dalam industri, Tracie dan Jazmy berjaya membina keserasian yang mengagumkan. Babak romantik mereka disampaikan dengan penuh sederhana namun memberi impak mendalam, seakan-akan penonton menyaksikan kisah cinta yang benar-benar wujud di antara mereka. Tracie khususnya menerima pujian atas lakonannya yang sopan serta menjaga batas pergaulan, di samping kemampuannya membawa watak Dira dengan sisi gelap dan kompleks yang menonjolkan versatiliti bakatnya.
Media sosial turut dipenuhi dengan reaksi peminat yang teruja. Ada yang memuji ketepatan skrip yang mengekalkan inti pati novel, ada pula penonton dari Indonesia yang mengaku ‘berpaling tadah’ daripada sinetron demi mengikuti drama ini. Tidak kurang juga yang kecewa kerana terlepas peluang memiliki novel asal, sambil memuji keserasian padu antara Tracie dan Jazmy yang membuat mereka terus melekat di depan skrin.
Hilang Dalam Rindu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3, dan bagi yang tidak sabar menunggu, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my. Fenomena ini jelas membuktikan bahawa gandingan pelakon baharu dengan naskhah berkualiti mampu mencipta sejarah tersendiri dalam industri drama Melayu.
