Tag: #HisyamHamid

  • Drama ‘Andai Tiada Dia’ Cipta Sejarah, Raih Rating Tertinggi di Astro MegaDrama!

    Drama ‘Andai Tiada Dia’ Cipta Sejarah, Raih Rating Tertinggi di Astro MegaDrama!

    Setelah mencetuskan fenomena luar biasa di media sosial, drama bersiri ‘Andai Tiada Dia’ kini mendominasi slot MegaDrama di Astro dengan pencapaian yang sangat membanggakan. Drama ini mencatatkan rating tertinggi sebanyak 1.623 juta tontonan, sekali gus memecahkan rekod sepanjang sejarah kandungan Melayu Astro. Kejayaan luar biasa ini menunjukkan sambutan hangat yang diterima daripada penonton yang setia mengikuti perjalanan drama ini.

    Sebagai tanda penghargaan kepada para peminat dan pencapaian cemerlang tersebut, Astro baru-baru ini menganjurkan satu tayangan istimewa episod baharu bersama barisan pelakon, produksi, serta rakan-rakan media. Acara yang berlangsung pada 12 Disember 2024 di Dash Box Hotel, Cyberjaya ini turut dihadiri oleh ramai selebriti terkemuka dari drama tersebut. Antara yang hadir termasuk Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana, Zahiril Adzim, serta pelakon-pelakon hebat seperti Rosnah Johari, Kodi Rasheed, Alicia Amin, Mia Nasir, Mas Anizan, dan Husna Mustaffa. Pengarah drama ini, Riza Baharudin, turut memeriahkan acara tersebut.

    Acara dimulakan dengan tayangan episod ke-32 yang penuh debaran, diikuti dengan persembahan runut lagu istimewa daripada Amir Masdi dan Isyariana yang menghidupkan lagi suasana. Para tetamu yang hadir juga berpeluang untuk menemubual pelakon-pelakon utama serta berkongsi pengalaman mereka sepanjang penggambaran drama ini.

    Bagi yang ingin menyaksikan perjalanan penuh emosi drama ‘Andai Tiada Dia’, ia boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Selain itu, drama ini juga boleh distrim menerusi Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO, dan sooka, bagi mereka yang lebih gemar menonton secara atas talian.

    Bagi yang belum melanggan, Pakej Astro One kini boleh didapati untuk menikmati hiburan tanpa henti di rumah bersama seisi keluarga. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my atau hubungi 03 9543 3838 melalui WhatsApp.

  • ‘Marina’ Drama Penuh Emosi yang Menyentuh Hati di Tonton

    ‘Marina’ Drama Penuh Emosi yang Menyentuh Hati di Tonton

    Apakah yang sanggup dilakukan demi cinta dan kebahagiaan? Konflik keluarga, cinta yang terlarang, dan perebutan kuasa menjadi inti pati dalam drama penuh emosi yang memukau, ‘Marina’. Drama bersiri 30 episod ini bakal membawa penonton menyusuri perjalanan hidup Marina, seorang wanita muda yang bercita-cita untuk hidup mewah setelah kematian kakaknya. Dia terjerat dalam hubungan yang penuh bahaya, namun akhirnya bertemu dengan lelaki yang patah hati, yang mungkin menjadi kunci kepada kebahagiaannya.

    Diarahkan oleh Along Kamaludin dan diterbitkan oleh Creative Skill Solution, ‘Marina’ menampilkan barisan pelakon hebat termasuklah Sophia Albarakbah, Datuk Remy Ishak, Hisyam Hamid, Muhsin Nadzli, Haneesya Hanee, dan Shaza Bae. Drama ini akan mengisi malam anda dengan pelbagai emosi — cinta, pengkhianatan, dan harapan yang penuh dengan ketidakpastian. Saksikan ‘Marina’ mulai 25 November 2024, setiap Isnin hingga Khamis, hanya di Tonton.

    Kali terakhir muncul di kaca televisyen melalui Hati Yang Tersakiti empat tahun lalu, Datuk Remy Ishak kini kembali dengan peranan baru dalam ‘Marina’, berlakon bersama Sophia Albarakbah. Menampilkan watak Haqiem, seorang lelaki yang bergelut dengan konflik keluarga, cinta yang rumit, dan kesihatan yang meruncing, Remy Ishak sekali lagi menunjukkan kematangan dan kredibiliti lakonannya yang mengagumkan. Wataknya tidak hanya mengharungi perjalanan emosi yang berliku, tetapi turut mencerminkan kemampuannya sebagai seorang pelakon berkarisma yang berjaya menyentuh hati penonton.

    ‘Marina’ mengisahkan perjalanan Marina (lakonan Sophia Albarakbah) yang bertekad mengubah nasibnya selepas kematian kakaknya. Marina berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan di sana, dia bertemu dengan Dato’ Fahad (lakonan Hisyam Hamid), seorang ahli kelab eksklusif yang kaya raya. Marina melihat Dato’ Fahad sebagai jalan keluar daripada kemiskinannya, namun dalam perjalanannya, dia bertemu Haqiem (lakonan Datuk Remy Ishak), seorang lelaki yang patah hati setelah ditinggalkan tunangnya. Dalam dilema antara mengejar kekayaan dan mencari cinta sejati, Marina terpaksa membuat keputusan besar yang akan menentukan masa depannya.

    Drama ini juga memperkenalkan konflik keluarga yang dalam, di mana Haqiem sebagai anak sulung dalam keluarga kaya, terperangkap antara tanggungjawabnya terhadap perniagaan keluarga dan perasaan cintanya terhadap Marina. Sementara itu, Dato’ Fahad, yang kelihatan sempurna dari luar, menyimpan sisi gelap yang melibatkan kegiatan haram dan konspirasi. Marina yang menginginkan kehidupan mewah pula harus menghadapi ujian dan pengkhianatan yang jauh lebih besar daripada apa yang disangkakannya.

    Sophia Albarakbah, yang memegang watak Marina, berkongsi bahawa wataknya sangat kompleks. “Marina bermula dengan impian untuk hidup lebih baik, tetapi akhirnya dia terjebak dalam permainan emosi yang tidak dijangka. Perjalanannya untuk mencari kebahagiaan sejati adalah sesuatu yang saya harap penonton akan dapat rasakan. Drama ini menggabungkan elemen kekeluargaan dan percintaan yang penuh dengan liku-liku, pasti akan mengikat perhatian penonton dari awal hingga akhir,” katanya.

    Apakah Marina mampu menemui kebahagiaan sejati di tengah-tengah segala dugaan hidupnya? Bagaimana pula nasib Haqiem dan hubungan mereka yang terus diuji dengan pelbagai cabaran? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan ‘Marina’, drama yang penuh dengan plot mendebarkan dan emosi yang menggugah, bermula pada 25 November 2024, eksklusif di Tonton. Strim episod baharu melalui tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.

    Untuk info lebih lanjut mengenai drama ini, ikuti Tonton di media sosial @TontonMY di Facebook, Instagram, dan Twitter.