Tag: Hawa

  • ‘HAWA’ JADI PERTARUHAN SINGLE SOLO PERTAMA DIANA NAZYRA

    Diana Nazyra merupakan komposer, penulis lirik, guru vokal, penyanyi, dan penerbit muzik yang terkenal di Singapura kini muncul dengan single terbaharu iaitu ‘Hawa’. Ini merupakan single solo pertama Diana dimana dia juga merupakan komposer serta penulis lirik. Diana telah berkecimpung dalam industri seni sejak usia 10 tahun.

    Kelahiran ‘Hawa’ memberi kepuasan kepada Diana kerana telah menghasilkan lagu ini sejak 2 tahun yang lalu selepas pemergian nenda tersayang. “Ini merupakan single solo pertama saya dan saya amat berpuas hati dengan hasil lagu ‘Hawa’ ini. Sebenarnya lagu ini sangat bermakna buat saya kerana lagu ini diinspirasikan oleh arwah nenek kesayangan saya bernama Awa. Arwah nenek dan ibu banyak mengajar  saya tentang martabat kita sebagai wanita, keikhlasan, kesabaran, sentiasa bersyukur dan tabah dalam apa jua ujian kehidupan. Pemergian nenek telah memberi kesan yang mendalam dan saya ingin berkongsi apa yang saya pelajari dari arwah menerusi single ‘Hawa’ khas buat semua kaum wanita.”

    “Lirik ‘Hawa’ ini digubah sendiri oleh saya bersama suami, Abdul Razak Johar (Razzaq AN’ArDzy). Saya bersyukur dapat bekerjasama menggubah muzik bersama dengan Omar K, komposer terkenal Malaysia. Semasa rakaman dijalankan selama 3 hari di World Peace Entertainment Malaysia, saya terpaksa mengawal emosi memandangkan lagu ini sangat istimewa dan membuatkan saya terkenang kepada nenek,” jelas Diana yang baru saja dinobatkan sebagai Wanita Inspirasi dan menerima anugerah “Wanita Hari Ini 2024” dari Women’s Empowerment Singapore.

    Sementara itu, Omar K juga turut kagum dengan semangat kental Diana ketika menjalani rakaman di studio. “Lagu ini penuh dengan emosi menyebabkan Diana hampir menitiskan air mata semasa sesi rakaman. Kami di studio tetap memberi semangat serta ruang untuk Diana bertenang. Sejujurnya lagu ini amat sesuai dengan vokal Diana yang unik, jadi gabungan elemen moden dan klasik sekaligus menonjolkan kekuatan vokalnya yang menjadi daya tarikan dan halwa telinga pendengar. Persembahan vokal Diana juga amat dinamik yang merangkumi kelembutan suara pada awal-awal lagu, namun tetap dapat menyerlahkan kualiti vokalnya di bahagian klimaks lagu. Malahan pengalamannya bergandingan bersama seniman tersohor seperti Allahyarham R. Ismail dan Sanisah Huri juga memberikan bonus kepada Diana.”

    Jangan lepaskan peluang mendengar lagu istimewa ’Hawa’ nyanyian Nadia Nazyra yang telah mula bergema di platform iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer sejak 23 Februari lalu. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

    Turut disertakan lirik lagu HAWA:

    Lagu: Hawa

    Penyanyi: Diana Nazyra

    Komposer & Lirik: Diana Nazyra, Omar K, Razzaq AN’ArDzy

    Verse 1

    Lemah gemalai, madah bicara

    Adab bersopan, menyusun kata

    Hati yang tulus, berkorban cinta

    Bagaikan satria, maruah dibela

     

    Chorus

    Engkaulah Hawa

    Bidadari syurga

    Engkaulah bintang yang penuh cahaya

     

    Engkaulah Hawa

    Juangmu demi cinta

    Hingga ke hujung nyawa

     

    Verse 2

    Di celah sangsi dan keraguan

    Di balik tangis dan kelembutan

    Laung suara penuh keyakinan

    Seru semangat benteng kekuatan

     

    Chorus

    Engkaulah Hawa

    Bidadari syurga

    Engkaulah bintang yang penuh cahaya

     

    Engkaulah Hawa

    Juangmu demi cinta

    Hingga ke hujung nyawa

     

    Bridge:

    Jiwa yang tenang halus bagai sutera

    Bicara tanpa terjerat dusta

    Aku rindu kasih mu

    Engkaulah malaikatku

     

    Chorus

    Engkaulah Hawa

    Bidadari syurga

    Engkaulah bintang yang penuh cahaya

     

    Engkaulah Hawa

    Juangmu demi cinta

    Hingga ke hujung nyawa

     

    Engkaulah bintang yang penuh cahaya

    Engkaulah Hawa juangmu demi cinta

    Hingga ke hujung nyawa