Tag: #FilemMalaysia

  • Filem “La Luna” Bukan Sekadar Komedi Biasa, Angkat Tema Cinta & Perubahan Masa

    Dengan tema cinta yang terkenal tetapi nada dan mesej yang luar biasa, filem komedi LA LUNA, dengan beberapa pelakon terbaik negara, bersedia untuk menyambut penontonnya! Diarahkan oleh pengarah filem berbakat Singapura M. Raihan Halim, filem kerjasama antara Singapura dan Malaysia ini akan dibuka di pawagam di Singapura pada 16 November 2023, dan di seluruh Malaysia pada 9 November 2023.

    Raihan Halim bersama dengan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan telah bersedia menghidangkan sebuah juadah yang pasti memikat hati khalayak dan pencinta filem khususnya!

    Ternyata M.Raihan Halim selaku sutradara filem ini mempunyai kedekatan yang begitu luar biasa dengan La Luna. Ujarnya, “Apabila saya menulis La Luna, saya merasakan bahawa ia adalah milik saya. Pada hari saya memberikan skrip kepada pelakon, ia menjadi milik mereka. Dan kini filem itu dibuat dan ditayangkan, ia adalah milik penonton. Ia adalah satu perjalanan yang sangat mengujakan, menyedihkan, mencabar dan akhirnya menggembirakan dan saya harap semua orang menikmatinya sama seperti saya melakukannya.”

    “ La Luna.. ia mengenai perubahan masa. Manusia patut berubah, patut berkembang. Kadang kala kalau kita tidak berubah, kita akan tersekat. Ia sangat bahaya kerana perubahan dalam kehidupan tidak dapat dielakkan,” ujar sutradara berusia 41 tahun ini.

    Menganggap ia sebuah cerita ‘labour of love’, pengalaman berada dalam situasi La Luna memberikan dirinya pelbagai emosi- gelak tawa serta momen-momen yang besar dan detik-detik berat. Namun satu harapan yang terbit dari sudut hatinya yang terdalam- agar para penonton kelak akan ketawa, kekal dengan tema yang dibawakan melalui filem ini …dan tinggalkan pawagam dengan senyuman di wajah!

    Dengan kos produksi sebanyak S$1.1 juta (RM3.5 juta), LA LUNA melatarkan sebuah kampung rekaan bernama Bras Basah, yang merupakan kawasan paling tegas di negara ini. Dengan kehadiran sebuah kedai pakaian dalam bernama ‘La Luna’ secara tiba-tiba telah menghidupkan kampung yang sunyi dan tidak bersemangat. Walaupun penduduk kampung mula menerima kehadiran pemilik kedai dengan tangan terbuka, namun, ketua kampung nekad dengan tujuannya untuk mengusir pemilik kedai tersebut dengan apa cara sekalipun!

    Sisi pemerkasaan wanita dipaparkan dengan menarik dan kemas dalam filem ini. Mesej ini yang perlu dihadam dan diperhalusi dalam momen-momen yang dipaparkan secara santai di bawah garapan M. Raihan Halim.

    LA LUNA dipersembahkan oleh Clover Films; dengan kerjasama ACT 2 Pictures, One Cool Film, dan Papahan Films; diterbitkan oleh Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Suruhanjaya Filem Singapura, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KKD), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hong Kong Asia Film Financing Forum (HAF), White Light Studio, dan Wouter Barendrecht Film Foundation.

    Diedarkan bersama di Malaysia oleh Clover Films dan SKOP Productions, manakala di Singapura, Clover Films mengedarkan bersama Golden Village.

    Menurut Encik Lim Teck selaku Penerbit Eksekutif & Pengarah Urusan, Clover Films, pihaknya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan pelakon hebat LA LUNA, dan percaya bahawa Clover Films telah mencipta filem yang menghiburkan dan bermakna. “Kami tidak sabar untuk menunjukkannya kepada penonton Malaysia, dan pasti semua orang akan menyukainya!”, ujar Encik Lim Teck.

    Manakala Adrian Teh selaku Penerbit Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Act 2 Pictures melihat filem ini sebagai sebuah kerjasama sinematik antara Singapura dan Malaysia yang menampilkan barisan pelakon yang sangat berbakat dan disematkan bintang. “Filem ini bukan sekadar cerita biasa; ia adalah satu penerokaan untuk meninjau beberapa adat tradisional dan untuk memperingati pemerkasaan wanita dalam masyarakat. Anda pasti tidak mahu ketinggalan ini,” tambahnya.

    Filem La Luna malah mencipta satu lagi sejarah apabila filem ini telah ditayangkan di pentas antarabangsa menerusi tayangan perdana dunia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo di Jepun pada 24 Oktober lalu. Pengarah telah terbang ke negara matahari terbit itu untuk menjayakan festival berkenaan. Diadakan setiap tahun di Jepun, Pesta Filem Antarabangsa Tokyo itu menghargai dan meraikan sutradara dari serata dunia. La Luna terpilih dalam kategori ‘Asian Future Section’ di mana ia dalam senarai 10 filem yang dipilih untuk bersaing bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Akan Datang Asia.

    Malah filem ini turut masuk ke Jakarta Film Week. Pengarah, Shaheizy Sam dan Sharifh Amani diterbangkan ke Jakarta untuk sesi tayangan dan temuramah di sana.

    Filem ini bakal ditayangkan di Malaysia pada 9 November 2023 dan di Singapura pada 16 November 2023.

  • KRIKET HEBAT: KISAH KEMENANGAN 6 ANAK FELDA MENUJU PINGAT EMAS

    Kuala Lumpur, 6 September 2023 – Dari FELDA Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan hingga ke pentas kriket antarabangsa. ‘Gemencheh Boys’ adalah sebuah cerita berdasarkan kisah sebenar yang menginspirasi, mengisahkan perjalanan hebat sekelompok anak kampung yang mengukir nama dalam dunia sukan global.

    Filem ini menceritakan pandangan dunia seorang atlet kriket negara, Shafiq Sharif, yang mewakili Malaysia di Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 dan memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017.

    Dengan tagline ‘no retreat, no surrender’, ‘Gemencheh Boys’ memaparkan kisah anak-anak kampung yang dikenali sebagai ‘Enam Jahanam’ dan bagaimana mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan mereka kepada permainan kriket. Kisah ini penuh dengan tema persahabatan, pengorbanan, dan harapan, menceritakan perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya ke dalam arena global dengan berbagai emosi yang mendalam.

    Filem ‘Gemencheh Boys’ akan menemui penonton di seluruh negara bermula 26 Oktober. Ia diarahkan oleh Jason Chong, pemenang Anugerah Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017, dan diterbitkan oleh Eric Ong, yang melibatkan studio terkemuka Astro Shaw dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures.

    Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama. Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi.

    Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad, “Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia yang harus dipersembahkan. Kami menyedari bahawa sukan kriket tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti mana sukan bola sepak atau badminton. Walau bagaimanapun, jalan cerita yang dipertaruhkan menerusi Gemencheh Boys mampu memberi inspirasi kepada semua penonton. Ia bukan sebuah kisah biasa dan bukan mengenai kriket semata-mata, tetapi tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’, membuktikan orang biasa boleh menjadi luar biasa. Mereka juga telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas di peringkat antarabangsa. Kami mengharapkan Gemencheh Boys mampu meninggalkan impak tersendiri dan mendapat perhatian penonton berbilang bangsa.”

    Sementara itu, Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong berkata, “Selain memberikan nilai hiburan, saya percaya Gemencheh Boys mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak seperti mana filem terdahulu yang kami terbitkan iaitu Adiwiraku. Menerusi tema inspirasi yang sama, kami harap Gemencheh Boys akan kekal relevan untuk penonton Malaysia dan saya rasa amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada filem ini.”

    Gemencheh Boys mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antara sokongan seperti kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil  – ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.

    Siri jelajah Gemencheh Boys bermula bulan Oktober ke sekolah-sekolah serata Malaysia yang dikendalikan oleh Malaysian Cricket Association dengan mengadakan bengkel kriket dalam usaha menggalakkan minat terhadap sukan kriket dalam kalangan pelajar. Selain itu, kami turut bekerjasama dengan kumpulan komuniti sosial dan budaya, Locco menerusi acara Kereta Api Sarong yang akan diadakan pada 16 September 2023 di sekitar Lembah Klang.

    Manakala lagu rasmi filem ini adalah ‘Siapa Kami’ nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.

    Gunakan #Gemenchehboys bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Gemencheh Boys di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

    Nantikan filem Gemencheh Boys, sebuah cerita Malaysia adaptasi dari kisah sebenar tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’ berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan antarabangsa, yang akan berada di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober 2023 ini.

  • BUDAK FELDA JELAJAH DUNIA MELALUI KRIKET YANG CEMERLANG

    Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023 – Pada tarikh yang dinanti, enam budak FELDA yang dikenali sebagai ‘6 Jahanam’ sedang bersedia untuk mencipta sejarah dalam arena kriket antarabangsa. Gemencheh Boys, sebuah filem inspirasi yang mengambil ilham daripada kisah sebenar keenam pemuda FELDA Bukit Rokan Utara dan mentor mereka, Cikgu Azman, akan segera menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 26 Oktober ini.

    Diterbitkan oleh Astro Shaw, bersama dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, filem ini jauh lebih daripada sekadar satu filem sukan biasa. Ia menghidangkan kisah yang penuh inspirasi dengan sentuhan humor, rasa bangga, dan keintiman yang mampu menyentuh hati, semua diiringi dengan tema semangat kesetiaan kawan dan tekad untuk mencapai kejayaan.

    Dengan tagline ‘tiada berundur, tiada menyerah’, Gemencheh Boys menceritakan kisah Shafiq dan kelima sahabatnya semasa zaman persekolahan. Perbuatan nakal mereka bukan sahaja menjadi tumpuan di sekolah, malah juga menjadi perbualan hangat di kalangan penduduk kampung tempatan.

    Demi menjadikan mereka manusia berguna, Cikgu Azman bertanggungjawab untuk membimbing dan mendorong mereka menyertai pasukan kriket sekolah. Meskipun cikgu Azman tidak mempunyai asas tentang sukan yang dianggap elit itu, dia bertekad membimbing ‘6 jahanam’ –  Shafiq, Rashid, Fauzi, Amin, Shukri dan Azad untuk bermain kriket, sekaligus mengubah kehidupan mereka.

    Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kebangsaan Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017. Gemencheh Boys membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa jua latar belakang, apabila meletakkan kepercayaan dan kesungguhan, pasti mampu meraih kejayaan – ‘from zero to hero’.

    Menarik lagi, babak-babak yang dipaparkan amat dekat dengan masyarakat kita dan ia akan membawa penonton mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak pada era 1990an. Antaranya main cop tiang, mandi sungai, petik buah mangga selepas balik sekolah, berbasikal sekitar kawasan kampung dengan kawan-kawan, lawan labah-labah dan simpan dalam kotak mancis, denda ketuk ketampi, layang-layang dan banyak lagi.

    Gemencheh Boys adalah hasil arahan pemenang Cerita Asal Terbaik Festival Filem Malaysia 2017, Jason Chong bersama Eric Ong. Cerita asalnya diilhamkan oleh Jason dengan kerjasama Sky Khor untuk penulisan skrip.

    Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, “Filem Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia dengan karakter dan mesej yang amat dekat dengan masyarakat kita. Tema yang dipersembahkan membuktikan kita semua, tanpa mengira latar belakang, mampu meraih kejayaan serta menjadi luar biasa atas usaha dan kepercayaan.” 

    “Astro Shaw percaya Gemencheh Boys mempunyai tarikan hebatnya tersendiri, selain muncul sebagai naskhah berkualiti serta sarat dengan pengisian yang mampu meninggalkan kesan. Harapan kami agar filem ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum serta menyuntik minat terhadap karya tempatan.”

    “Dalam usaha mempromosikan Gemencheh Boys, kami telah mengadakan tayangan eksklusif. Kami berbesar hati apabila menerima maklum balas positif, lebih-lebih lagi apabila penonton bersorak dengan laungan ‘Monceh Mogah’ (Gemencheh Megah), di samping tepukan gemuruh bagaikan di stadium selepas tamat tayangan. Sebuah pengalaman menonton yang sangat berbeza”.

    Gemencheh Boys menampilkan pelakon berpengalaman seperti Pekin Ibrahim, Farah Ahmad dan Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar yang mempamerkan persembahan cukup meyakinkan. Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem ke-28, Pekin Ibrahim sekali lagi menonjolkan sisi berbezanya apabila membawa watak Cikgu Azman yang memerlukan dialog dalam dialek Negeri Sembilan. Selain itu, Gemencheh Boys menyandarkan wajah-wajah baru dalam arena lakonan sebagai tunggak utama Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq. Turut membintangi adalah Zaidi Omar, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan penampilan istimewa Farah Fauzana.

    Lagu rasmi filem ini adalah ‘Siapa Kami’ nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.

    Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong menyatakan filem ini adalah tentang transformasi dan harapan. “Gemencheh Boys adalah sebuah kisah sebenar yang memaparkan tentang bagaimana seseorang mengubah kehidupan orang lain dengan memberi harapan dan keyakinan. Kami yakin filem ini mampu membuatkan penonton mengakui bahawa semua orang boleh menjadi seperti Gemencheh Boys jika percaya pada diri sendiri.”

    Astro Shaw menjalinkan kerjasama bersama jenama tempatan APOM! dalam rangka promosi filem. Penonton boleh dapatkan t-shirt dan beg eksklusif Gemencheh Boys X APOM! di www.apom.my bermula 9 Oktober atau di outlet APOM! bermula 26 Oktober.

    Gemencheh Boys juga mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antaranya kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil  – ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.  Selain itu turut bekerjasama bersama pusat beli belah AEON dan genama DGI dalam rangka promosi filem.

    Pembelian tiket Gemenchech Boys boleh dibeli awal di pawagam seluruh negara bermula 18 Oktober ini.

    Gunakan #Gemenchehboys bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Gemencheh Boys di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

    Nantikan Gemencheh Boys, sebuah cerita adaptasi dari kisah sebenar tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’ yang berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan antarabangsa. Filem ini bakal berada di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini.