Dunia kecantikan tempatan digemparkan dengan kehadiran jenama terkemuka dari China, Fan Beauty Diary, yang kini secara rasmi menembusi pasaran Malaysia melalui rangkaian Watsons. Pelancaran ini menandakan detik penting dalam usaha pengembangan global jenama tersebut dan diraikan dengan penuh glamor di ibu negara. Majlis tersebut bertambah istimewa dengan kehadiran pengasasnya, pelakon tersohor Fan Bingbing, yang digelar “Ratu Masker”, bersama selebriti tempatan Dato’ Aaron Aziz dan Nazim Othman, sekali gus mencetuskan suasana penuh keterujaan dalam kalangan peminat serta pencinta kecantikan.
Lebih bermakna, kunjungan Fan ke Malaysia turut membawa khabar gembira apabila beliau bakal menerima gelaran berprestij Datuk daripada Kerajaan Negeri Melaka. Penghormatan ini menjadikan Fan sebagai pelakon wanita pertama dari Tanah Besar China yang diberi pengiktirafan tersebut, berikutan sumbangan besar beliau dalam sektor pelancongan. Sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024, kempen yang diketuainya berjaya meningkatkan kedatangan pelancong dari China ke negeri itu sehingga 224 peratus, di samping mencatat lebih 1.5 bilion capaian digital di platform WeChat.
Antara produk unggulan Fan Beauty Diary yang kini boleh didapati di cawangan utama Watsons termasuklah Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask, Acids Double Cleansing Clay Mask dan Dragon’s Blood Lentinus Fermentation Facial Treatment Mask. Menariknya, produk baharu ini mencatat sejarah apabila pelancarannya direkodkan sebagai jualan tertinggi dalam sehari bagi jenama kecantikan antarabangsa di Watsons Malaysia, dengan Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask habis terjual hanya dalam beberapa jam.
Semasa sesi lawatannya ke Watsons TRX, Fan tampil menawan dengan peranan berganda sebagai pengasas serta Ketua Pegawai Pengalaman Fan Beauty Diary. Ratusan peminat sanggup menunggu berjam-jam untuk melihat selebriti kesayangan mereka itu, malah ramai yang terpesona apabila beliau berkongsi rahsia penjagaan kulit kegemarannya yang dirumus khusus untuk iklim tropika Asia Tenggara. Fan menekankan rutin “Cleanse-Hydrate-Repair” sebagai kunci kepada kulit sihat dan berseri, sambil mendedahkan kombinasi Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask bersama Acids Double Cleansing Clay Mask sebagai rahsia peribadinya. Pengakuan itu serta-merta mencetuskan fenomena membeli-belah, dengan ramai peminat menganggap sesi tersebut sebagai peluang emas untuk mempelajari tip kecantikan secara langsung daripada ikon global itu.

Majlis perasmian Fan Beauty Diary turut mendapat sokongan besar daripada tokoh penting termasuk Pengerusi Tourism Malaysia YBhg. Datuk (Dr.) Yasmin Binti Mahmood, Datuk Bandar Kuala Lumpur Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif, serta Caryn Loh, Pengarah Urusan Watsons Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi Health & Beauty Asia, A.S. Watson Group. Kehadiran selebriti tempatan seperti Dato’ Aaron Aziz dan Nazim Othman bersama-sama Encik Selwyn Chiu, Penolong Pengurus The Exchange TRX, melengkapkan acara berprestij itu.
Bersempena pelancaran, beberapa cawangan Watsons bertukar wajah menjadi ruang seni penuh pesona. Pink Palace di Sunway Pyramid menampilkan patung bersaiz sebenar Fan Bingbing dengan Peony Youth Capture Brightening Mask, manakala pop-up futuristik bertema biru di TRX menonjolkan Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask dalam paparan gantung eksklusif. Transformasi kreatif ini menambahkan lagi aura unik terhadap pengalaman membeli-belah kecantikan yang ditawarkan.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2018, Fan Beauty Diary telah mencatat kejayaan luar biasa sebagai jenama kosmetik dan penjagaan kulit yang mengutamakan kualiti serta inovasi. Jenama ini menawarkan enam rangkaian utama dengan lebih 20 variasi baharu yang sedang dibangunkan. Antara produk ikonik yang terus meraih pujian global termasuklah Seagrape Deep Hydrating Water Gel Mask, Peony Youth Capture Brightening Mask dan Peptides Anti-aging Face & Neck Mask. Siri Sea Grape khususnya telah mendominasi platform e-dagang di China selama tiga tahun berturut-turut, membuktikan kekuatan dan keberkesanan formulasi jenama ini.
Bagi Fan Bingbing sendiri, kejayaan Fan Beauty Diary bukan sekadar sebuah perniagaan, sebaliknya satu misi untuk memperkenalkan rahsia kecantikan Asia kepada dunia. Beliau menekankan bahawa pasukan penyelidikan dan pembangunan jenamanya bekerjasama rapat dengan pakar serta pengilang bertaraf antarabangsa bagi memastikan setiap produk diuji dengan teliti sebelum dipasarkan. Matlamat utama mereka adalah untuk menghasilkan produk penjagaan kulit yang selamat, berkesan dan sesuai dengan keperluan kulit masyarakat Asia, tanpa kompromi terhadap kualiti.
Dalam ucapan penuh inspirasi, Fan menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh mesra dan hangat, malah beliau merasakan seolah-olah bertemu kembali dengan seorang sahabat lama. Beliau berharap agar Fan Beauty Diary terus bersinar di pasaran tempatan, membawa sinar kecantikan yang secerah mentari tropika.

