Che Puan Sarimah Ibrahim baru-baru ini meluahkan pandangannya mengenai sikap segelintir penonton yang gemar mengkritik drama tempatan tanpa menonton keseluruhan jalan cerita. Menerusi perkongsian di Threads, beliau menegaskan bahawa setiap karya membawa mesej tersendiri yang wajar difahami sebelum dinilai, sambil menekankan bahawa industri drama tempatan sedang berusaha keras menghasilkan karya berkualiti walaupun menghadapi pelbagai kekangan. “Please don’t bash your own local industry, we are small enough as it is. We all know improvement is a must and we try our best in the capacity we are given as a team,” kata beliau.
Beliau juga menyentuh mengenai kecenderungan sesetengah penonton membandingkan drama tempatan dengan produksi luar negara, menekankan bahawa setiap penonton mempunyai selera tersendiri dan tidak semua karya perlu dinilai dengan piawaian sama. “Tak payah jadi terpaling ‘fed up’ cause ratings don’t lie and everyone ada selera masing-masing. Takyah nak terpaling ‘Netflix’ vibe,” jelasnya. Menurut Che Puan Sarimah, banyak kisah dalam drama sebenarnya mencerminkan realiti kehidupan sesetengah masyarakat, sekaligus memberikan ruang kepada penonton memahami emosi dan memproses pengalaman hidup. “These ‘drama’s actually happened to many people and reflect some people’s lives and emotions dengan ‘drama’ nilah sahaja some people boleh feel and cope with some painful feelings,” tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan penonton supaya menonton sesebuah siri sehingga tamat sebelum membuat penilaian, kerana pengajaran dan mesej hanya dapat difahami sepenuhnya apabila keseluruhan cerita diikuti dari awal hingga akhir. Perkongsian ini dilihat sebagai respons terhadap kritikan yang mendakwa drama televisyen tempatan kini banyak mengangkat tema sama seperti isu curang atau konflik rumah tangga. Penonton yang ingin menyaksikan bagaimana kisahnya berkembang boleh mengikuti drama Bila Cinta Menjadi Dosa di TV3 setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 9.00 malam, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton. Drama 30 episod ini menampilkan barisan pelakon termasuk Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam, dan Elizad Sharifuddin.
