Fenomena baharu terus menggegarkan slot Samarinda apabila drama bersiri penuh emosi, Hilang Dalam Rindu, menghampiri detik penamatnya malam ini. Pada jam 10.00 malam di TV3, jutaan mata bakal tertumpu kepada episod akhir kisah cinta penuh konflik antara Eijaz dan Aira yang sejak awal tayangan berjaya mencuri perhatian serta mencetuskan bualan hangat di seluruh Malaysia.
Episod kemuncak ini dijangka mencatatkan lebih 3.5 juta tontonan, sekali gus menjadikannya antara drama paling berpengaruh dalam sejarah terkini slot Samarinda. Bagi peminat yang telah mengikuti sejak episod pertama, malam ini bukan sekadar penutup tirai, sebaliknya sebuah peristiwa bersejarah yang menyatukan emosi penonton dengan barisan pelakon utama yang telah menemani perjalanan penuh warna-warni cinta, dendam dan pengorbanan.
Sepanjang lima minggu bersiaran, Hilang Dalam Rindu berjaya mencetuskan fenomena luar biasa. Bukan sahaja trending di media sosial setiap minggu, malah ia turut meraih pujian kerana kekuatan jalan cerita yang sarat dengan kejutan. Setiap episodnya hadir dengan pengakhiran mendebarkan, menjadikan penonton setia menantikan sambungan tanpa henti.

Pelakon utama, Jazmy Juma yang melakonkan watak Eijaz berkata, “Perjalanan Eijaz dan Aira penuh dugaan, penuh air mata dan ketidakpercayaan antara satu sama lain, tetapi di penghujungnya cinta mereka membuktikan bahawa pengorbanan tidak pernah sia-sia. Saya harap penonton akan merasai setiap emosi yang kami bawakan dalam episod akhir nanti.”
Bagi Jazmy, mesej utama drama ini adalah pengajaran bahawa wang tidak mampu menutup kesalahan selamanya, sebaliknya kejujuran adalah jalan penyelesaian terbaik.
Malam ini, segala rahsia, dendam dan cinta yang terbuku akhirnya menemui jawapan. Jangan ketinggalan menyaksikan episod akhir Hilang Dalam Rindu hanya di TV3, atau strim secara eksklusif melalui Tonton di www.tonton.com.my serta aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
