Tag: #EmployerBrandAwards2026

  • TV AlHijrah Terima Pengiktirafan Malaysia Best Employer Brand Awards 2026

    TV Alhijrah menerima pengiktirafan Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 sempena majlis 21st Employer Branding Awards yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre pada 20 Mei lalu.

    Anugerah tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha berterusan TV AlHijrah dalam memperkukuh pembangunan modal insan, menjaga kebajikan pekerja serta mewujudkan persekitaran kerja yang progresif, inklusif dan berteraskan nilai murni.

    Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Pengasas World CSR Day dan World Sustainability Congress merangkap Pengarah World HRD Congress & Employer Branding Awards, Dr. R. L. Bhatia.

    Majlis tersebut dianjurkan oleh Employer Branding Institute dengan kerjasama beberapa organisasi antarabangsa termasuk World HRD Congress dan World Federation of HR Professionals.

    Selain TV AlHijrah, beberapa organisasi lain turut menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan antaranya Alibaba Cloud Malaysia, DHL Malaysia, Dell Technologies Malaysia dan Co-Op Bank Pertama, sekali gus menunjukkan komitmen pelbagai industri dalam memperkukuh budaya kerja positif dan pembangunan tenaga kerja.

    Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron yang hadir bersama Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, pengiktirafan tersebut menjadi bukti usaha berterusan organisasi dalam membina suasana kerja yang sihat dan mampan.

    Menurut beliau, warga kerja merupakan aset paling penting dalam organisasi dan menjadi tunjang utama kepada perkembangan serta transformasi TV AlHijrah.

    “Sebagai organisasi media yang berteraskan nilai Islam, TV AlHijrah akan terus komited dalam memperkukuh budaya kerja yang progresif, inovatif dan inklusif selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta perubahan landskap media digital masa kini,” katanya.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja TV AlHijrah atas dedikasi dan komitmen yang diberikan sehingga organisasi itu berjaya menerima pengiktirafan tersebut.

    Anugerah Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 mengiktiraf organisasi yang cemerlang dalam pelbagai aspek pengurusan sumber manusia termasuk pembangunan bakat, strategi pengambilan pekerja, kesejahteraan pekerja, pembangunan kepimpinan, budaya kerja serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

    Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan reputasi TV AlHijrah sebagai organisasi media yang memberi penekanan terhadap pembangunan insan dan kesejahteraan tenaga kerja.