Tag: #EmmaSuhaimi #Tersakiti

  • Emma Suhaimi Kembali Warnai Industri Muzik dengan Single “Tersakiti”

    Bintang AF8, Emma Suhaimi, kembali mengukuhkan kehadirannya dalam arena muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul “Tersakiti”, yang dilancarkan pada 14 Ogos lalu.

    Selepas sebulan berada di pasaran, lagu tersebut berjaya menembusi Top 30 carta ERA 40 sehari selepas dilancarkan dan kini menduduki tangga ke-9 dalam Top 10 carta tersebut. Muzik video rasmi “Tersakiti” juga telah meraih lebih daripada 200,000 tontonan di YouTube.

    “Tersakiti” merupakan lagu balada ciptaan sepenuhnya oleh komposer Indonesia, Ilham Baso, yang mengangkat tema luka, kekecewaan dan keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

    Menurut Emma, lagu tersebut membawa mesej yang lebih luas mengenai kepentingan mencintai diri sendiri dan berani keluar daripada hubungan toksik.

    Emma turut mengakui bahawa pengalaman hidupnya membantu dalam proses menghayati lagu berkenaan, khususnya ketika menyampaikan emosi yang terkandung dalam lirik.

    Antara bait yang paling dekat dengan dirinya ialah “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam”, yang menurutnya menggambarkan hakikat bahawa sesuatu yang membahagiakan tidak semestinya kekal menjadi milik kita.

    Emma berharap “Tersakiti” dapat menjadi suara kepada mereka yang sedang melalui episod sukar serta memberi kekuatan kepada pendengar yang mungkin selama ini menyimpan luka secara sendiri.

    Terbitan Nova Music Malaysia, “Tersakiti” kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman muzik utama. Muzik video rasmi lagu tersebut pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.