PERINCIAN MIKRO SEPERTI KEDUTAN, BULU MATA & TEKSTUR KULIT BAWA PENGALAMAN BARU KE LAYAR PERAK!
Bersiaplah untuk menyaksikan kebangkitan baharu animasi tempatan! Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) menjanjikan pengalaman sinematik yang jauh lebih hebat dengan peningkatan luar biasa dari segi visual dan teknikal. Pendedahan eksklusif melalui Kapsul Di Sebalik Tabir terbitan Majalah 3 membuktikan komitmen WAU Animation dalam menghasilkan sekuel yang bukan sahaja sarat aksi dan emosi, tetapi juga membawa penonton ke satu tahap animasi yang lebih tinggi setaraf antarabangsa.
Salah satu pembaharuan paling menonjol dalam EATM2 ialah perincian mikroskopik yang ditampilkan pada wajah dan rambut watak. Setiap tekstur kulit, kedutan halus, dan kesan penuaan pada watak berpengalaman seperti Dato’ Othman dan Ejen Dayang direka dengan begitu teliti. Unsur realisme ini bukan sahaja menjadikan animasi lebih hidup, malah membantu penonton lebih menghayati ekspresi dan emosi watak.
Lebih menarik, buat pertama kalinya dalam francais ini, bulu mata dan bulu roma turut diberikan perhatian khusus. Perincian ini mungkin tampak kecil, namun kesannya besar dalam memperkayakan persembahan visual. Sekuel ini menggunakan teknologi animasi 3D terkini, termasuk Unreal Engine dan sistem rigging yang lebih dinamik, menjadikan setiap babak kelihatan lebih lancar, mendalam, dan mengasyikkan.
Dalam memastikan kesempurnaan visual, pasukan produksi turut memperhalusi aspek konsistensi warna dan kontras. Proses color grading dilakukan secara mendalam untuk menyampaikan setiap babak dengan emosi yang tepat sama ada babak aksi mendebarkan, saat menyentuh hati, atau detik penuh kegembiraan. Skrip warna yang digunakan turut menjadi panduan penting dalam mencipta pengalaman menonton yang sinematik dan imersif.
Gabungan antara teknologi termaju, perincian seni visual yang halus, dan naratif yang lebih matang membuktikan bahawa Ejen Ali The Movie 2 bukan sekadar sambungan biasa ia adalah bukti bahawa animasi Malaysia kini berada pada tahap baharu. WAU Animation bukan sahaja meneruskan legasi hebat yang dibina sejak siri pertama, tetapi juga meletakkan standard baharu bagi produksi animasi tempatan.
Saksikan sendiri cabaran dan kejayaan pasukan produksi dalam Kapsul Eksklusif Di Sebalik Tabir EATM2 di sini:
🎥 https://youtu.be/XloPHtM8gw0?feature=shared
