Ucapan Istimewa Perdana Menteri Bersama Wira Animasi Tempatan Rai Guru-Guru Seluruh Negara
Sambutan Hari Guru 2025 diserikan dengan satu penghormatan istimewa apabila Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bergandingan dengan ikon animasi tempatan kesayangan ramai, Ejen Ali, dalam sebuah video ucapan kreatif yang menggabungkan realiti dan animasi. Menerusi kolaborasi unik ini, PMX “melangkah” ke dunia digital Ejen Ali dalam gaya aksi-nyata (‘live-action’) dan menyampaikan perutusan penuh penghargaan buat para pendidik yang menjadi tunggak pendidikan negara.
Video istimewa ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif promosi filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 22 Mei 2025, menawarkan pendekatan baharu yang lebih dekat dengan golongan muda dalam menyemai semangat menghargai jasa guru.
Dalam perutusannya, PMX menyatakan:
“Hari ini kita berkumpul untuk meraikan wira luar biasa – guru-guru kita. Seperti ejen terhebat, mereka berjuang di medan ilmu untuk memastikan misi pendidikan berjaya. Saya bersama Ejen Ali dan rakan-rakannya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pendidik. Mereka mendidik tanpa jemu demi melahirkan generasi Madani. Ingat ya, Ejen Ali takkan berdiam diri jika ada angkuh dan buli – dia akan bantu kita!”
Berlandaskan tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, PMX menegaskan bahawa guru adalah ejen perubahan yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk nilai, karakter dan masa depan generasi akan datang. Justeru, seluruh rakyat diseru untuk terus menghargai dan menjulang tinggi peranan guru dalam membina sebuah negara berilmu dan berintegriti.
Kolaborasi dengan Ejen Ali, sebagai tokoh animasi yang mencerminkan keberanian, prinsip kebenaran dan semangat juang, disifatkan sebagai simbol aspirasi golongan muda. Nilai-nilai ini turut menjadi teras utama naratif Ejen Ali The Movie 2, sekaligus memperkukuh mesej bahawa pendidikan adalah misi bersama semua pihak – dari wira dunia nyata sehinggalah ke dunia fiksyen.
Filem Ejen Ali The Movie 2 dijangka mencetuskan fenomena baharu dengan naratif lebih matang dan sinematik memukau, sesuai untuk semua lapisan usia. Tiket tayangan awal pada 20 dan 21 Mei 2025 kini sudah mula dijual – jangan lepaskan peluang menjadi yang terawal menyertai misi terbaharu ini!
Filem ini merupakan terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation, dengan kerjasama strategik bersama Komet Productions. Rakyat Malaysia diseru untuk menyahut panggilan misi dengan mengikuti segala perkembangan menerusi saluran rasmi media sosial serta menggunakan tanda pagar rasmi:
#EjenAliTheMovie2 #EjenAli #EATM2 #AniMY
Tonton video ucapan penuh PMX bersama Ejen Ali di:
📲 TikTok: @officialejenali
📘 Facebook: facebook.com/ejenali
📸 Instagram: @ejen_ali
🐦 Twitter/X: @ejen_ali
Bersiap sedia, Ejens! Misi Hari Guru telah bermula!
