Watak Rizwan dalam Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini menjadi antara karakter paling ikonik dalam francais animasi kebanggaan negara. Dengan suara garau, aksi mantap dan karisma penuh misteri, Rizwan terus mencuri perhatian peminat dari pelbagai lapisan usia. Namun, di sebalik kekuatan suara dan personaliti Rizwan, berdirilah pelakon suara serba boleh – Azman Zulkiply.
Dalam sebuah video eksklusif yang tular di media sosial, Azman memperlihatkan proses rakaman intens bagi babak klimaks antara Rizwan dan antagonis utama. Proses ini melibatkan effort sounds bunyi non-verbal seperti jeritan, helaan nafas, serangan dan hentakan yang menambahkan realisme kepada setiap pergerakan animasi. “Saya dapat video babak sebelum rakam supaya boleh samakan pergerakan dengan suara saya,” jelas Azman. Menurutnya, setiap rakaman dibuat dalam tiga hingga empat versi untuk memastikan pengarah suara mempunyai variasi yang sesuai untuk babak akhir.
Apa yang menjadikan Azman benar-benar luar biasa ialah keupayaannya menyuarakan tiga watak berlainan dalam EATM2: Rizwan, General Rama dan Viktor. Mewakili latar budaya Melayu, India dan Cina, Azman membawa elemen keunikan dan kepelbagaian budaya dalam satu filem. “Saya ramai kawan pelbagai kaum semasa sekolah. Jadi saya dah biasa dengan loghat dan intonasi mereka sejak kecil,” katanya. Pengalaman itu membantunya menjiwai karakter dengan penuh percaya dan keaslian.
Bagi Azman, cabaran paling besar bukan datang daripada adegan aksi, tetapi daripada sisi emosi seorang General. “Scene paling susah ialah waktu terakhir General Rama luahkan kasih sayang kepada Alicia. Sebagai watak yang dikenali garang dan lantang, tiba-tiba dia perlu tunjuk sisi lembut dan kebapaan. Itu sangat mencabar.”
Dengan hampir sedekad bersama francais Ejen Ali, Azman membuktikan bahawa suara adalah senjata paling penting dalam menghidupkan animasi. Keupayaannya menghidupkan watak-watak berbeza dengan nuansa suara yang unik membuktikan beliau sebagai salah satu aset terbesar dalam industri lakonan suara Malaysia.
Bagi peminat Ejen Ali, inilah masa terbaik untuk terus menyokong EATM2 yang masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Misi animasi tempatan belum selesai dan suara Azman akan terus bergema dalam hati penonton.
