Tag: #DramaTempatan

  • “Dendam Seorang Mentua” Mengangkat Kisah Balas Dendam Paling Berani di Astro

    “Dendam Seorang Mentua” Mengangkat Kisah Balas Dendam Paling Berani di Astro

    Astro kembali mencuri perhatian penonton dengan drama terbaharu berjudul Dendam Seorang Mentua yang bakal bersiaran di Astro Prima bermula 4 Mei 2026, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang. Naskhah ini mengangkat tema balas dendam dalam institusi kekeluargaan dengan jalan cerita yang penuh konflik, emosi dan ketegangan, sekali gus menawarkan pengalaman tontonan yang lebih berani serta mencengkam berbanding siri terdahulu dalam francais “Dendam Seorang…”.

    Drama ini mengisahkan Sofia, seorang wanita yang difitnah sehingga dipenjarakan atas jenayah yang tidak dilakukannya akibat pengkhianatan kekasih dan sahabat baiknya sendiri. Selepas dibebaskan, Sofia bangkit menuntut keadilan dengan merancang langkah balas dendam yang tidak disangka, termasuk mengahwini Datuk Muzaffar, bapa kepada bekas kekasihnya. Tindakan ini mencetuskan konflik baharu apabila Sofia berdepan musuh lamanya dalam lingkungan keluarga mentua, sekali gus membuka kisah perebutan kuasa dan permainan emosi dalam sebuah keluarga elit.

    Menampilkan Tracie Sinidol sebagai Sofia dalam penampilan sulungnya di slot Tiara Astro, drama ini turut dibintangi Chacha Maembong dan Hariz Hamdan yang menjadi pencetus utama konflik. Gandingan berkarisma turut diserikan dengan kehadiran Aaron Aziz dan Yusry Abdul Halim, selain kemunculan semula Intan Ladyana yang menambah lapisan emosi dalam penceritaan.

    Diterbitkan oleh Metrowealth International Group dan diarahkan oleh Feroz Kader, Dendam Seorang Mentua turut boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka. Dengan gabungan jalan cerita yang kuat, lakonan mantap dan konflik kekeluargaan yang kompleks, drama ini dijangka menjadi antara naskhah tempatan yang mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penonton.