Kumpulan pop rock Indonesia, D’Masiv bakal kembali menemui peminat Malaysia menerusi konsert “D’MASIV Asia Home Run” yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026.
Selepas menjayakan siri jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, D’Masiv meneruskan perjalanan muzik mereka ke beberapa negara Asia termasuk Taiwan, Hong Kong dan Singapura sebelum menutup jelajah tersebut di Jakarta.
Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu destinasi istimewa dalam jelajah berkenaan, mengambil kira hubungan rapat antara D’Masiv dan peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perjalanan muzik kumpulan itu.
Dibawakan oleh Neptunes Presents, konsert tersebut dijangka membawa pengalaman berbeza buat peminat menerusi gabungan lagu popular, elemen visual serta persembahan penuh tenaga daripada kumpulan yang telah lebih dua dekad menghiasi industri muzik.

Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, “D’MASIV Asia Home Run” bukan sekadar siri konsert, sebaliknya menjadi peluang untuk kumpulan itu kembali mendekati peminat di luar negara.
Menurutnya, perjalanan muzik D’Masiv yang bermula di Indonesia menjadi inspirasi utama untuk mereka membawa kehangatan dan semangat muzik tersebut kepada peminat di seluruh Asia.
D’Masiv yang ditubuhkan pada tahun 2003 terdiri daripada Rian Ekky Pradipta sebagai vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan sebagai pemain gitar, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata di bahagian bass serta Wahyu Piadji sebagai pemain dram.
Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, pemilihan Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi jelajah adalah kerana Malaysia mempunyai hubungan istimewa dengan D’Masiv.
Beliau berkata, sambutan peminat tempatan serta suasana persembahan yang sentiasa mendapat sambutan menjadi antara sebab kumpulan tersebut terus kembali bertemu peminat Malaysia.
Konsert kali ini bakal menampilkan rangkaian lagu popular D’Masiv termasuk “Pergilah Kasih”, “Jangan Menyerah” dan “Cinta Ini Membunuhku”, selain karya terbaharu mereka.
Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina pula menyifatkan jelajah tersebut sebagai usaha untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih dekat kepada peminat selain memperkenalkan era baharu D’Masiv.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan tersebut boleh mendapatkan tiket pra-jualan yang akan bermula pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman rasmi dmasivtour.com.
Dengan perjalanan muzik lebih 20 tahun, D’Masiv terus membuktikan bahawa karya yang dekat dengan jiwa peminat mampu bertahan merentasi masa dan generasi.
