Tag: #DiSebalikJubah

  • DI SEBALIK PERUBAHAN: AZIRA SHAFINAZ & DAIYAN TRISHA TERPALIT ISU PENYELEWENGAN DANA KEBAJIKAN

    DI SEBALIK PERUBAHAN: AZIRA SHAFINAZ & DAIYAN TRISHA TERPALIT ISU PENYELEWENGAN DANA KEBAJIKAN

    Apabila agama dijadikan alat manipulasi dan kepercayaan diperdagangkan demi kepentingan peribadi, kebenaran sering menjadi mangsa paling awal. Bermula 22 Januari 2026, siri jenayah Di Sebalik Jubah membawa penonton menyelami sisi gelap dunia kebajikan menerusi lapan episod penuh ketegangan yang disiarkan secara eksklusif di Tonton setiap Isnin dan Khamis. Siri ini mengangkat persoalan sensitif tentang penyalahgunaan imej kesucian, pengaruh media sosial dan kepercayaan awam dalam konteks masyarakat moden.

    Di Sebalik Jubah memfokuskan kisah dua beradik pempengaruh Islamik, Layla lakonan Azira Shafinaz dan Amina yang dibawakan oleh Daiyan Trisha, yang dipuja ramai sebagai simbol kebaikan dan keikhlasan. Dengan penampilan berjubah serta aura keagamaan, mereka mengetuai Laymina Shares, sebuah yayasan kebajikan yang berjaya mengumpul dana besar hasil kepercayaan masyarakat dan sokongan ribuan pengikut setia. Namun di sebalik imej murni itu, timbul persoalan apabila sebahagian sumbangan tidak sampai kepada golongan sasaran, sebaliknya diseleweng untuk kepentingan peribadi.

    Kecurigaan mula timbul menerusi watak Rashid lakonan Nafiz Muaz, seorang dermawan muda yang pada awalnya mengagumi perjuangan mereka sebelum mula mempersoalkan ketelusan projek kebajikan yang dijalankan. Dengan bantuannya, satu demi satu rahsia terbongkar, sekali gus menguji kepercayaan orang ramai serta hubungan dua beradik itu apabila kebenaran semakin sukar disembunyikan. Konflik yang tercetus bukan sahaja melibatkan isu penyelewengan dana, malah memperlihatkan pertarungan antara imej, kuasa dan nilai sebenar keikhlasan.

    Menurut Daiyan Trisha, watak Amina mencerminkan dilema moral yang sering berlaku dalam realiti hari ini, apabila seseorang terperangkap antara kesetiaan terhadap keluarga dan kesedaran bahawa sesuatu yang dilakukan adalah salah. Elemen inilah yang menjadikan Di Sebalik Jubah sebuah naskhah yang relevan dan mencabar pemikiran, kerana ia mengupas bagaimana pengaruh dan populariti mampu membentuk keputusan yang sepatutnya berpaksikan nilai dan kebenaran.

    Lebih daripada sekadar hiburan, Di Sebalik Jubah mengajak penonton merenung semula sejauh mana kepercayaan diberikan, siapa yang wajar dipercayai, dan bagaimana agama serta kebajikan boleh disalahgunakan jika tiada integriti. Saksikan siri yang mengupas pengkhianatan kepercayaan, agenda tersembunyi dan konflik kasih sayang keluarga ini secara eksklusif di Tonton.

    Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.