Tag: #DariLayarKeLensa

  • Dari Lakonan ke Ladang Pahala: Misi Baharu Zahiril

    Dari Lakonan ke Ladang Pahala: Misi Baharu Zahiril

    Tidak semua pencuri datang hanya untuk mengambil. Ada yang tanpa disangka, ‘mencuri’ peluang untuk berubah. Itulah inti pati yang cuba disampaikan oleh pelakon dan kini pengarah, Zahiril Adzim, menerusi buah tangan keduanya berjudul Pencuri Rumah Imam sebuah telefilem komedi santai namun sarat dengan pengajaran halus tentang keinsafan, kejujuran dan harapan kedua.

    Karya terbaharu arahan Zahiril ini bakal menemui penonton dalam slot Cerekarama di TV3 pada malam Sabtu, 26 Julai jam 10 malam. Lebih istimewa, Pencuri Rumah Imam turut menjadi penutup kepada projek khas Dari Layar Ke Lensa inisiatif kreatif TV3 bersempena ulang tahun ke-41 stesen tersebut.

    Projek ini menyaksikan empat nama besar dunia lakonan tempatan iaitu Zahiril Adzim, Siti Saleha, Janna Nick dan Fattah Amin diberi peluang untuk duduk di kerusi pengarah bagi mengetengahkan naratif segar berasaskan pengalaman serta sudut pandang peribadi mereka terhadap masyarakat dan kehidupan.

    Pencuri Rumah Imam membawa kisah Adli (lakonan Fikry Ibrahim), seorang pencuri yang menyamar sebagai orang kaya dan datang ke sebuah kampung untuk melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa. Dalam usaha menyembunyikan identitinya, dia berjaya memikat kepercayaan Tok Imam Saleh (Razak Ahmad), yang ketika itu sedang berdepan krisis kredibiliti sebagai pemimpin surau.

    Dengan menyatakan hasrat untuk mendalami ilmu agama, Adli dilihat seolah-olah mahu ‘berhijrah’ sesuatu yang disambut terbuka oleh Tok Imam. Namun tidak semua mudah tertipu. Khadijah (Shiqin Kamal), anak perempuan Tok Imam, mula mencurigai niat sebenar Adli. Muncul konflik dan dilema, menjadikan telefilem ini lebih daripada sekadar komedi.

    Menurut Zahiril, walaupun skrip asal bersifat ringan, dia tidak menolak kemungkinan penonton akan mentafsirkan karya ini dari sudut simbolik. “Kadang-kadang kita hanya ingat Tuhan bila kita rasa dekat dengan kematian. Tapi kalau orang tengok karya saya dan dapat mesej baik, saya anggap itu rezeki mudah-mudahan saya pun dapat ‘saham akhirat’,” ujarnya bersahaja.

    Antara babak yang mungkin mengundang tafsiran tersendiri ialah apabila Adli bersembunyi dalam van jenazah semasa melarikan diri seolah-olah menggambarkan manusia hanya mula merenung soal kematian apabila hidup terhimpit.

    Zahiril turut menyentuh isu materialisme dalam skripnya. “Bagi saya, duit itu jahat. Ia boleh memecah-belahkan keluarga, membawa kepada pembunuhan, dan menjadi punca kepada krisis dunia. Ya, kita perlukan duit untuk hidup, tapi jangan sampai ia menjadi tuhan,” jelasnya tegas.

    Dengan pelakon berbakat seperti Fikry Ibrahim, Shiqin Kamal dan Razak Ahmad, telefilem ini bukan hanya menawarkan hiburan, malah menyelitkan mesej moral dan sosial secara halus, menyempurnakan misi Dari Layar Ke Lensa yang membuka ruang kepada ekspresi kreatif empat figura seni berpengaruh.

    Saksikan Pencuri Rumah Imam pada 26 Julai ini, jam 10 malam hanya di TV3.

    Untuk kemas kini terkini mengenai drama tempatan kegemaran anda, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram, Facebook, Twitter dan YouTube.