Tag: #CSOIAMChampion

  • MARYGRACE ‘POWER’!                                   JUARA CSOIAM KINI IKON SABAH DALAM KEMPEN GAWAI & KAAMATAN BERSAMA PEPSI

    MARYGRACE ‘POWER’! JUARA CSOIAM KINI IKON SABAH DALAM KEMPEN GAWAI & KAAMATAN BERSAMA PEPSI

    Selepas mengejutkan industri muzik dengan kemenangan bergaya sebagai Juara Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan pelancaran single sulungnya Titik Mula yang kini menduduki carta 23 teratas Hot FM Top 40!, Marygrace terus mencuri tumpuan sebagai wajah baharu yang menyerlahkan warna muzik Malaysia. Terbaharu, penyanyi berbakat besar kelahiran Sabah ini melangkah lebih jauh apabila dilantik sebagai duta utama kempen Gawai & Kaamatan 2025 anjuran Pepsi dan TV Sarawak (TVS), menjadikan beliau ikon budaya dari Borneo yang kian bersinar!

    Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Marygrace membawakan lagu tema rasmi berjudul “Happy Gawai Kaamatan” – sebuah lagu penuh energi yang meraikan semangat pesta menuai. Menariknya, lagu ini turut menampilkan dua lagi bakat hebat – Belle Sisoski, penyanyi dan komposer prolifik dari Sarawak serta Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM – menjadikan kolaborasi tiga suara unik ini satu persembahan berjiwa besar yang mengangkat budaya dan warisan Borneo ke pentas nasional.

    Dicipta sepenuhnya oleh Belle Sisoski, “Happy Gawai Kaamatan” merupakan gabungan sempurna elemen tradisional dan moden – dari irama rakyat hingga pop kontemporari, dari vokal harmoni hingga lirik bersemangat yang menyatu suara komuniti. Lagu ini menjadi simbol perayaan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan yang penuh warna – bukan sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah lambang penyatuan dalam muzik.

    “Menjadi sebahagian daripada kempen ini merupakan pengalaman yang amat bermakna buat saya,” ujar Marygrace. “Ia bukan sekadar rakaman lagu – tetapi menyampaikan semangat sebenar budaya Borneo melalui muzik. Belle benar-benar menghidupkan jiwa masyarakat Dayak dan Kadazandusun dalam setiap bait lirik yang ditulis.”

    Rakaman lagu ini berlangsung di Maveriq Studio, Kuala Lumpur, dan Marygrace mengakui ia bukan tugas mudah. “Cabaran paling besar ialah menyampaikan emosi sebenar dalam lagu yang sarat makna budaya. Tambahan pula, menyelaraskan suara bersama dua penyanyi lain memerlukan keserasian yang tinggi. Namun semua momen mencabar itu disulami dengan gelak tawa dan perbualan indah tentang asal usul kami – menjadikan rakaman ini sesuatu yang sangat saya hargai.”

    Video muzik rasmi “Happy Gawai Kaamatan” turut menjalani penggambaran di lokasi ikonik sekitar Kuching seperti Sarawak Cultural Village dan Nanga Damai Homestay, memperlihatkan keindahan alam dan budaya yang tidak ternilai. Visual yang dirakam memberi gambaran autentik pesta menuai dan membawa penonton menyelami warisan masyarakat Borneo dalam suasana yang penuh rasa dan kehangatan.

    Marygrace juga bakal membuat kemunculan khas dalam sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA di Sabah – sebuah penampilan yang disokong penuh oleh Pepsi sebagai sebahagian daripada inisiatif budaya mereka. Kemunculan ini menandakan peranannya bukan sekadar penyanyi, tetapi sebagai suara generasi baharu yang meraikan akar budayanya dengan penuh bangga.

    Tambah menarik, Marygrace bakal berkongsi pentas bersama empat finalis CSOIAM dalam konsert mega Here I Am Concert Malaysia bersama Rossa di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini. Beliau juga dijadualkan tampil di Festival Tentang Cinta di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos 2025, bergandingan bersama nama-nama besar seperti Andmesh, Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Ara Johari.

    Dengan semangat yang membara dan bakat luar biasa, Marygrace membuktikan bahawa muzik bukan hanya hiburan, tetapi jambatan perpaduan antara budaya, warisan dan masa depan. Saksikan video muzik “Happy Gawai Kaamatan” di semua platform digital hari ini dan rasai sendiri kehangatan perayaan Gawai & Kaamatan dalam alunan suara yang menyentuh jiwa.

    Untuk maklumat terkini mengenai Marygrace dan artis lain di bawah naungan Alternate Records & Talents, layari laman rasmi mereka di Facebook, atau ikuti mereka di Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).