Tag: #CeritaKeluarga

  • Dibesarkan Dengan Kasih Sayang, Apa Yang Sebenarnya Terjadi Pada Puteri Balqis?

    Dibesarkan Dengan Kasih Sayang, Apa Yang Sebenarnya Terjadi Pada Puteri Balqis?

    Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Hubungan antara ibu bapa dan anak sering kali dipenuhi kasih sayang, harapan serta doa yang tidak pernah putus. Namun, apabila seorang anak mula melangkah jauh daripada nilai yang membesarkannya, persoalan tentang di mana silapnya didikan mula timbul. Tema inilah yang diketengahkan dalam siri terbaharu Anugerah Tanpa Cahaya, sebuah Tonton Original Series yang menyelami sisi rapuh hubungan keluarga serta pilihan hidup yang boleh membawa padah. Drama 10 episod arahan Amor Rizan ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail. Siri ini mula bersiaran pada 16 Mac 2026 dengan episod baharu setiap Isnin dan Selasa, jam 12.00 tengah malam.

    Kisahnya bermula apabila Bahar dan Tijah menemui seorang bayi yang ditinggalkan di hadapan rumah mereka. Bayi tersebut dibesarkan dengan penuh kasih sayang sebagai anak angkat dan diberi nama Husna. Dalam lakonan yang penuh emosi oleh Puteri Balqis, Husna menjadi pusat perhatian Bahar yang terlalu memanjakannya sejak kecil. Namun, keadaan mula berubah apabila Husna meningkat remaja dan mula memberontak, sering ponteng sekolah serta melakukan pelbagai kesalahan kerana keinginannya untuk keluar daripada kehidupan serba sederhana yang dirasainya.

    Pergolakan emosi semakin memuncak apabila Husna mengambil keputusan melarikan diri dari rumah dan terjebak dalam hubungan dengan Zafran, seorang lelaki yang mempunyai sisi gelap dalam hidupnya. Keputusan itu secara tidak langsung menjauhkan Husna daripada keluarga yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Konflik ini membuka ruang kepada penonton untuk menyelami persoalan tentang kasih, pengorbanan dan pencarian identiti diri yang sering dilalui oleh remaja.

    Menurut Puteri Balqis, watak Husna bukanlah seorang remaja yang sememangnya bermasalah, sebaliknya seorang anak biasa yang sedang berusaha memahami dunia di sekelilingnya. Proses mencari jati diri sering dipenuhi kesilapan dan pilihan yang sukar, namun daripada pengalaman itulah seseorang belajar untuk bangkit dan menyedari nilai sebenar kehidupan. Dengan jalan cerita yang sarat emosi serta mesej kekeluargaan yang mendalam, Anugerah Tanpa Cahaya dijangka memberi kesan kepada penonton, khususnya sepanjang bulan Ramadan apabila nilai kasih sayang dan pengampunan menjadi lebih bermakna.

    Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.