Dia hanya ingin mengenal ayahnya, namun tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa pertemuan itu akan berlaku di lorong gelap, di tempat paling hina yang tidak sepatutnya menjadi saksi seorang anak. Kisah menyayat hati inilah yang diangkat dalam drama Samarinda terbaharu TV3 berjudul Bintang Di Langit Syawal, sebuah naskhah penuh emosi yang mengupas makna kasih sayang, konflik keluarga dan pencarian identiti diri.
Bakal bersiaran mulai 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10.00 malam, Bintang Di Langit Syawal menyingkap kehidupan seorang anak yatim bernama Syawal, lakonan Adam Lee, yang sering dibayangi rasa kosong dan rindu terhadap kasih seorang bapa. Suatu hari, kemunculan seorang lelaki misteri bernama Latif, dilakonkan oleh Azhar Sulaiman, di rumah kebajikan tempat Syawal membesar, mula mengubah segalanya apabila lelaki itu meninggalkan sejumlah wang tanpa penjelasan. Lawatan yang sepatutnya dirahsiakan akhirnya terbongkar kepada Syawal, mencetuskan tanda tanya dan mendorongnya untuk mencari kebenaran di sebalik identiti lelaki tersebut.
Dipacu oleh rasa ingin tahu dan keyakinan bahawa Latif ialah ayah kandungnya, Syawal nekad melarikan diri dari rumah kebajikan itu. Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan Jess, lakonan Scha Elinnea, seorang gadis yang menjadi teman setia dan sumber kekuatan dalam perjalanan hidupnya yang penuh luka dan rahsia. Namun, jejak yang disangka akan menyatukannya kembali dengan kasih seorang bapa membawa Syawal ke tempat gelap yang menggugat kepercayaannya terhadap makna sebenar keluarga. Pertemuan yang diimpikan menjadi detik yang membuka lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Persoalan demi persoalan timbul. Apa sebenarnya yang dilakukan Latif di tempat itu, dan mengapa hidupnya terjerat dalam dunia sekeji itu? Adakah pertemuan ini akan menjadi sinar yang selama ini Syawal cari, atau sekadar menambah luka dalam pencarian kasih dan identiti dirinya?
Bintang Di Langit Syawal merupakan karya arahan Bahri Umar, hasil tulisan Tommy Loh dan diterbitkan oleh Sha’s Media. Drama 15 episod ini bersedia menyentuh jiwa penonton dengan kisah kehilangan dan penerimaan yang tidak selalu indah. Ia diterajui oleh barisan pelakon berbakat besar termasuk Adam Lee, Scha Elinnea, Azhar Sulaiman, Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef dan Shalma Eliana. Jalan ceritanya menggali sisi manusiawi dalam mencari makna sebenar kasih, pengampunan dan keinsafan.
Berkongsi tentang wataknya, Adam Lee mengakui bahawa karakter Syawal amat dekat di hatinya. “Syawal ni watak yang menyimpan begitu banyak perasaan, terutamanya sebagai seorang anak yatim. Bila saya baca skrip ini tentang seorang remaja yang mencari ayahnya tetapi menemui kebenaran yang pahit, saya terus rasa watak ini mesti saya hidupkan sepenuh jiwa. Dia marah, keliru, memberontak tetapi semua itu lahir daripada keinginan untuk hanya disayangi. Kisah ini mengingatkan saya bahawa setiap luka ada sinarnya sendiri dan setiap langit, walau kelam, tetap menyimpan bintang. Saya harap penonton dapat merasai semua emosi itu – kecewa, harapan dan perjalanan pencarian yang menelusuri setiap parut.”
Jangan lepaskan tayangan perdana Bintang Di Langit Syawal pada 23 Oktober ini, hanya di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk perkembangan terkini mengenai drama kegemaran anda, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta akaun Instagram rasmi Drama Sangat @dramasangat.
