Tag: #BefriendKayElle

  • Kay Elle Diperkenalkan: Kuala Lumpur Tower Lancar Pencarian Rakan Maskot Baharu

    Kay Elle Diperkenalkan: Kuala Lumpur Tower Lancar Pencarian Rakan Maskot Baharu

    Kuala Lumpur Tower kini tampil lebih ceria dan mesra dengan pengenalan maskot terbaharunya yang diberi nama Kay Elle. Maskot ini secara rasmi diperkenalkan pada 5 Ogos 2025 sebagai simbol keramahan rakyat Malaysia, kebanggaan terhadap warisan negara, kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan. Untuk meraikan kemunculannya, Kuala Lumpur Tower mengundang seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Pertandingan Rekaan Maskot “Befriend Kay Elle”, satu peluang unik untuk mencipta rakan baharu yang akan digandingkan bersama Kay Elle dalam dunia kreatifnya.

    Melalui pertandingan ini, peserta diminta mereka satu watak maskot baharu lengkap dengan latar belakang, personaliti dan peranan yang akan melengkapkan kisah Kay Elle. Maskot yang terpilih bukan sahaja akan menjadi sebahagian daripada identiti rasmi Kuala Lumpur Tower, malah akan diabadikan dalam koleksi cenderamata eksklusif menara ikonik tersebut. Pemenang pertandingan ini bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, pas masuk percuma ke Kuala Lumpur Tower selama setahun, pakej cenderamata istimewa dan penghormatan melihat rekaannya dipasarkan kepada pengunjung dari seluruh dunia.

    Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Hj Othman, berkata Kay Elle bukan sekadar maskot, tetapi merupakan personaliti dan pencerita yang mewakili siapa kita sebagai rakyat Malaysia mesra dalam layanan, bangga dengan warisan, kaya dengan kepelbagaian dan bersatu dalam semangat. Beliau mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama membentuk watak seterusnya dalam perjalanan Kay Elle supaya ia mampu menjadi ikon yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    Kay Elle digambarkan sebagai watak mesra, sukakan pengembaraan dan bersemangat berkongsi kisah Kuala Lumpur Tower kepada pengunjung dari seluruh dunia. Namanya diinspirasikan daripada singkatan mesra bagi Kuala Lumpur, iaitu “KL”, yang mudah diingati dan dikenali di dalam serta luar negara.

    Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan akan berakhir pada 30 Ogos 2025. Penyertaan boleh dihantar melalui pautan Google Form di https://forms.gle/UCLrwowlzqDJiTMZ6 bersama rekaan dan cerita ringkas mengenai maskot ciptaan masing-masing. Maklumat lanjut serta terma dan syarat penuh boleh didapati melalui pautan tersebut.

    Kuala Lumpur Tower menantikan sentuhan kreativiti dan imaginasi rakyat Malaysia untuk melahirkan rakan-rakan baharu Kay Elle yang mampu membawa inspirasi kegembiraan, perpaduan dan kebanggaan negara ke pentas dunia.