Tag: #BantuanUntukAnak

  • Kasih, Doa dan Harapan: Rumah Ronald McDonald Terus Menjadi Sandaran Keluarga Pesakit Pediatrik di Pantai Timur

    Kasih, Doa dan Harapan: Rumah Ronald McDonald Terus Menjadi Sandaran Keluarga Pesakit Pediatrik di Pantai Timur

    Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus menjadi tempat berteduh dan sumber kekuatan bagi keluarga pesakit pediatrik dari seluruh Pantai Timur yang berdepan detik mencabar. Setiap keluarga yang melangkah masuk ke rumah ini hadir dengan kisah berbeza—ada yang penuh harapan, ada yang sarat kebimbangan—namun semuanya menemui ketenangan, sokongan dan semangat di bawah satu bumbung. Sebagai salah satu daripada empat program teras Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), RMH memainkan peranan penting dalam memastikan keluarga pesakit kanak-kanak mendapat ruang selesa untuk berehat, berdoa dan terus kuat menemani anak mereka menjalani rawatan.

    Sejak dibuka pada 23 Jun 2019, RMH HPUSM telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga, dan kini menerima hampir 1,000 keluarga setiap tahun, khususnya dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Dengan kemudahan 18 bilik tidur, dapur dan ruang makan yang selesa, bilik dobi, surau serta taman permainan, rumah ini membantu meringankan beban keluarga yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk berada di sisi anak mereka. Ia bukan sekadar penginapan, tetapi ruang komuniti di mana ibu bapa dapat berkongsi pengalaman, memberi sokongan moral antara satu sama lain dan mengumpul semula tenaga dalam suasana yang lebih tenang berbanding persekitaran hospital.

    Antara kemudahan yang disediakan di RMH HPUSM seperti taman permainan, bilik permainan kanak-kanak, bilik terapi sensori, dapur, bilik dobi, bilik tidur dan ruang tamu.

    Menurut Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Mohd Nordin, kehadiran RMH menjadi tempat keluarga menarik nafas lega, bersatu dalam doa dan memberikan kekuatan kepada anak-anak mereka untuk terus berjuang. Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Prof. Dr Zaidi bin Zakaria turut menegaskan bahawa kehadiran keluarga dekat dengan pesakit memberi impak besar terhadap pemulihan menyeluruh kanak-kanak, sekaligus menjadikan RMH sebagai elemen penting dalam proses penyembuhan yang lebih holistik. Kisah-kisah seperti yang dikongsikan oleh Wan Siti Rodiah, seorang ibu yang pernah bergantung kepada RMH untuk menempuh rawatan panjang anaknya, membuktikan betapa besarnya makna rumah ini kepada keluarga yang memerlukan.

    Selain RMH HPUSM, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald di Malaysia—di HCTM UKM Cheras, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah—yang semuanya berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk keluarga pesakit pediatrik. RMHC Malaysia turut melaksanakan program lain seperti Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald untuk kanak-kanak berkeperluan khas, Program Anugerah Senyuman untuk kanak-kanak yang memerlukan pembedahan klef, dan Pek Kembali ke Sekolah bagi keluarga berpendapatan rendah. Melalui sokongan McDonald’s Malaysia, rakan korporat dan sumbangan masyarakat melalui tabung RMHC, inisiatif ini dapat diteruskan, membolehkan lebih ramai keluarga yang diuji dapat merasai kasih, doa dan harapan yang disalurkan melalui Rumah Ronald McDonald di seluruh negara.

    Sesi perkongsian bersama penerima manfaat RMH HPUSM, Puan Rosmawati dan Puan Wan Siti Rodiah yang dikendalikan oleh En Nasri Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia dan Prof Dr. Zaidi Zakaria, Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM.