Tag: #BankIslam #WaspadaPenipuan #KeselamatanDigital #PhishingAlert #BIMBMobile #AlAwfar #LindungiDataAnda #ElakScam

  • WASPADA PENIPUAN DIGITAL: BANK ISLAM INGATKAN PELANGGAN

    WASPADA PENIPUAN DIGITAL: BANK ISLAM INGATKAN PELANGGAN

    Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap penipuan siber yang menyamar sebagai akaun rasmi Bank Islam, terutamanya berkaitan dengan Al-Awfar dan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Mobile.

    Bank telah mengesan peningkatan mesej palsu yang dihantar melalui SMS, WhatsApp dan media sosial yang seolah-olah daripada pihak Bank. Mesej-mesej ini menggesa pengguna untuk mengklik pautan mencurigakan atau memuat turun aplikasi tidak sah yang bukan daripada gedung rasmi, dan ini berkemungkinan merupakan taktik pancing data (phishing) bagi mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.

    Bank Islam menasihatkan pelanggan untuk mendapatkan sebarang maklumat hanya melalui saluran rasmi Bank seperti laman web www.bankislam.com, serta akaun media sosial rasmi di Facebook, Instagram, X (Twitter), LinkedIn dan TikTok yang berdaftar atas nama Bank Islam Malaysia Berhad.

    Segala maklumat berkaitan kempen Al-Awfar atau promosi Bank Islam hanya akan dikendalikan sepenuhnya melalui saluran ini. Penyertaan melalui pautan atau laman yang tidak rasmi adalah tidak sah dan berisiko.

    Bank turut menasihatkan pelanggan agar hanya memuat turun aplikasi BIMB Mobile dan BIMB Biz melalui Google Play, Apple App Store atau Huawei AppGallery. Untuk urusan perbankan internet, pelanggan individu disarankan menggunakan aplikasi BIMB Mobile atau web.bimb.com, manakala pelanggan perniagaan boleh menggunakan aplikasi BIMB Biz atau eBanker Pro.

    Bagi pembukaan akaun secara dalam talian, pelanggan hanya perlu menggunakan platform rasmi Virtual Account Opening (VAO) di https://vao.bankislam.com.my yang dijamin selamat. Panduan keselamatan untuk menetapkan akaun perbankan mudah alih juga boleh didapati di https://bimb.com/set-up-your-account-bimb-account.

    Sekiranya pelanggan mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan, mereka boleh mengaktifkan fungsi Kill Switch di aplikasi BIMB Mobile untuk menghentikan akses akaun dengan serta-merta. Pelanggan juga digesa untuk menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-26 900 900, e-mel ke contactcenter@bankislam.com.my atau menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

    Bank Islam memberi jaminan bahawa keselamatan maklumat pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan pihak Bank tidak akan sekali-kali meminta maklumat peribadi melalui laman web tidak rasmi, media sosial, SMS atau mesej WhatsApp.