Tag: #BahayaSyirik

  • Ilmu Hitam, Syirik & Dendam: Kisah Munajjim Sekutu Iblis

    Ilmu Hitam, Syirik & Dendam: Kisah Munajjim Sekutu Iblis

    Filem bercorak seram masih menjadi kegemaran penonton tempatan, malah terus membuktikan daya tarikannya setiap kali ditayangkan di pawagam. Kali ini, Yusrych Global Sdn. Bhd muncul dengan sebuah karya baharu berjudul Munajjim: Sekutu Iblis, sebuah filem seram yang mengetengahkan tema ilmu hitam dan syirik yang masih berakar dalam masyarakat moden.

    Idea asal daripada Yusry Makmor bersama Zafran Aziz dan Rozita Mat Isa ini diarahkan oleh Faizul A. Rashid. Filem tersebut cuba keluar daripada stereotaip seram yang lazim memaparkan kemunculan pontianak atau pocong, sebaliknya membawa penonton kepada sebuah kisah yang diinspirasikan daripada realiti sebenar. Menurut penerbitnya, Yusry Makmor, Munajjim: Sekutu Iblis bukan sekadar hiburan untuk menakutkan penonton, tetapi turut memberi kesedaran mengenai bahaya syirik yang jelas dilarang dalam agama. Katanya, masih ramai yang memilih jalan singkat dengan bergantung kepada bomoh dan amalan khurafat untuk menyelesaikan masalah hidup, walhal tindakan itu hanya mengundang padah.

    Naskhah ini memaparkan kisah sebuah keluarga yang terlalu taksub dengan bomoh sehingga terjebak dalam kancah ilmu hitam. Konflik bermula apabila si anak menggunakan sihir untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang didakwa cuba merosakkan rumah tangga mereka. Namun, ilmu yang digunakan berpatah balik sehingga mengancam nyawa seluruh ahli keluarga. Lebih menakutkan, pendamping yang muncul dalam kisah ini bukanlah sekadar hantu klise, tetapi jelmaan jin dan syaitan yang bersekutu dengan manusia untuk menyesatkan akidah mereka.

    Keseraman yang diadun dengan visual sinematik, jalan cerita kukuh dan mesej yang kuat menjadikan Munajjim: Sekutu Iblis sebuah karya yang lebih daripada sekadar filem seram biasa. Filem ini turut memperlihatkan gandingan pelakon hebat tanah air seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis serta pelakon cilik Daniel Aqil, menjanjikan persembahan lakonan yang mantap dan berkesan.

    Menjalani penggambaran sekitar Selangor pada Januari 2025, Munajjim: Sekutu Iblis dijangka menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 31 Julai 2025. Dengan edaran antarabangsa oleh D’Ayu Pictures serta sokongan promosi daripada Empire Solutions, filem ini diyakini mampu mencetus fenomena baharu dalam industri perfileman seram tempatan.

    Munajjim: Sekutu Iblis bukan sahaja mengundang debaran dan rasa takut, tetapi turut mengajak penonton berfikir tentang bahaya mempercayai khurafat. Realiti bahawa amalan syirik masih wujud dalam kehidupan masyarakat menjadi latar yang cukup menakutkan, menjadikan filem ini satu pengalaman seram yang penuh pengajaran.