Daiyan Trisha terus membuktikan statusnya sebagai ikon fesyen dan seni tanah air apabila meraih dua kemenangan besar di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) — Anugerah Selebriti Stailo Terhangat dan anugerah tertinggi malam itu, Anugerah Melodi Terhangat.
Malam penuh gemerlapan itu menyaksikan Daiyan bukan sekadar memukau dari segi penampilan, tetapi juga dari segi pencapaian, sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai figura yang bukan hanya bergaya, tetapi juga berprestij dalam dunia hiburan.
Sebagai selebriti yang sentiasa menjadi rujukan gaya, Daiyan tampil dengan aura yang sukar ditandingi. Dari karpet merah hingga ke media sosial, gaya peribadinya yang elegan, berani dan autentik menjadikannya sorotan utama. “Tak perlu pun belanja mahal. Saya sendiri mula tanpa barangan berjenama, tapi saya belajar untuk kreatif dan kenal gaya sendiri,” kongsinya.

Bagi Daiyan, fesyen adalah ekspresi diri bukan sekadar trend semasa. Walaupun terikat dengan komitmen seni yang padat, minatnya terhadap dunia fesyen tetap utuh. “Saya minat untuk bersiap walaupun letih. Proses pilih baju, aksesori, sampai ke solekan semuanya memberi saya semangat,” ujarnya.
Namun Daiyan bukan hanya ratu gaya. Lebih sedekad dalam bidang nyanyian dan lakonan, beliau membina nama dengan karya yang sarat emosi dan sentuhan peribadi. Kejayaan demi kejayaan yang diraih adalah hasil ketekunan, keikhlasan dan cinta terhadap seni yang mendalam.
Di pentas AMT2025 yang mengangkat tema Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi dan Bakat Tersendiri, Daiyan Trisha benar-benar membuktikan bahawa dirinya adalah pakej lengkap seorang artis sejati yang menginspirasi dan mencuri tumpuan dalam setiap langkah.



