Tag: AnugerahJuaraLagu40

  • THE SOUNDSTAGE HADIR DENGAN KONSEP KONSERT DUDUK YANG LEBIH EKSKLUSIF

    THE SOUNDSTAGE HADIR DENGAN KONSEP KONSERT DUDUK YANG LEBIH EKSKLUSIF

    Menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), kehangatan acara muzik paling berprestij tanah air semakin dirasai dengan penganjuran Konsert Tonton Soundstage, sebuah persembahan istimewa yang tampil dengan pendekatan lebih eksklusif menerusi konsep seating concert. Berbeza daripada format konsert biasa, konsep ini menawarkan pengalaman tontonan yang lebih selesa, tersusun dan memberi peluang kepada penonton untuk menghayati persembahan secara lebih dekat serta mendalam.

    Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Jun 2026, jam 8.30 malam, konsert ini membawa penonton menyusuri perjalanan nostalgia muzik tempatan menerusi himpunan lagu-lagu ikonik yang pernah mewarnai pentas AJL sepanjang empat dekad. Persembahan malam itu dijangka menjadi sebuah penghormatan terhadap karya-karya berpengaruh industri, disusun semula dalam nuansa yang lebih intim, segar dan sarat emosi.

    Menghangatkan pentas ialah barisan artis popular seperti Ernie Zakri, Khai Bahar, Haqiem Rusli dan Siti Nordiana, yang masing-masing mempunyai identiti muzik tersendiri serta kaitan rapat dengan perjalanan AJL. Menerusi persembahan khas ini, mereka bakal menginterpretasikan semula lagu-lagu daripada legasi AJL dengan sentuhan baharu yang menonjolkan kekuatan vokal, susunan muzik secara langsung serta penceritaan mendalam di sebalik setiap karya.

    Konsep seating concert yang diketengahkan juga dilihat selari dengan citarasa penonton masa kini yang semakin menghargai pengalaman konsert lebih fokus dan menyeluruh. Dengan suasana yang lebih personal, setiap persembahan dapat dinikmati tanpa gangguan, sekali gus mewujudkan hubungan lebih dekat antara artis dan peminat.

    Sebagai acara khas sempena AJL40, Konsert Tonton Soundstage bukan sekadar berperanan sebagai konsert pemanas pentas, malah menjadi platform yang menyatukan pencinta muzik daripada pelbagai generasi dalam satu malam penuh nostalgia, apresiasi seni dan penghormatan terhadap evolusi muzik Malaysia. Tiket kini boleh didapati secara dalam talian menerusi platform WOWTix pada harga RM159 (General Admission), RM179 (Gold Seat) dan RM229 (Premium Seat).

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X dan Threads di @TV3Malaysia serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.