Tag: #AnomSuraya

  • “ANOM SURAYA” TAMPIL DENGAN SIARAN EKSKLUSIF DUA JAM TANPA HENTI SABTU INI

    Selepas lebih tiga dekad mencipta fenomena dalam dunia penerbitan tempatan, novel Anom Suraya kembali menghidupkan nostalgia apabila diangkat ke layar kaca menerusi adaptasi drama bersiri terbaharu TV3. Lebih istimewa, karya ini mempertemukan sentuhan dua generasi apabila novel asal hasil nukilan Dr. Samsiah Mohd. Nor kini diterajui oleh anaknya sendiri, Daiyan Trisha, yang membawakan watak utama Anom. Menjadikan naskhah ini lebih bermakna, drama arahan Osman Ali itu turut mengekalkan roh asal karya yang pernah menjadi antara novel Melayu paling laris pada era 1990-an dengan beberapa cetakan semula hasil sambutan luar biasa daripada pembaca.

    Bersiaran menerusi slot Lestary TV3 bermula 4 Julai 2026, Anom Suraya mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi membantu keluarganya. Kehadiran Anom di kediaman Puan Raden bukan sahaja mengubah kehidupan Bakhtiar dan adiknya, Badrol, malah mencetuskan konflik emosi apabila kedua-dua lelaki itu mula menaruh perasaan terhadapnya. Jalan cerita yang sarat dengan pengorbanan, kasih sayang, dilema dan pilihan hidup menjadikan karya ini relevan merentasi generasi serta dekat dengan realiti masyarakat.

    Lebih menarik, sempena tayangan perdananya, TV3 membawakan siaran eksklusif selama dua jam tanpa henti dengan menayangkan dua episod pertama secara berturut-turut pada Sabtu, 4 Julai, bermula jam 9 malam. Drama 13 episod terbitan Nuansa Film Sdn. Bhd. ini turut dibintangi Idris Khan, Yusuf Bahrin, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Halim Radzi, Puteri Khareeza dan Iman Suhana. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal menerusi platform penstriman Tonton, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada peminat untuk mengikuti kisah menyentuh hati yang kembali menghidupkan sebuah karya malar segar dalam versi moden.