Tag: #Alpha47

  • ‘TARUNG: UNFORGIVEN’ SATUKAN BARISAN PELAKON HEBAT, TAYANG DI PAWAGAM MULAI 7 MEI 2026

    ‘TARUNG: UNFORGIVEN’ SATUKAN BARISAN PELAKON HEBAT, TAYANG DI PAWAGAM MULAI 7 MEI 2026

    Gerbang ke sebuah pertarungan epik bakal dibuka menerusi filem aksi paling dinantikan tahun ini, Tarung: Unforgiven, sebuah naskhah terbaharu terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw. Filem ini diarahkan oleh Razaisyam Rashid yang terkenal dengan gaya visual dan sinematografi yang memukau, sekali gus menjanjikan pengalaman sinematik penuh intensiti di layar perak.

    Majlis pengenalan barisan pelakon utama telah berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), menandakan permulaan rasmi perjalanan filem ini sebelum menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. Turut dilancarkan ialah video eksklusif berdurasi satu minit yang bakal ditayangkan di pawagam, memberi gambaran awal terhadap dunia penuh aksi dan emosi yang dibawakan oleh filem ini.

    Tarung: Unforgiven menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G. Gabungan “ensemble cast” ini menjadi kekuatan utama filem, membawa pelbagai lapisan emosi dan konflik yang menjadikan naratif lebih mendalam dan berjiwa.

    Menurut Razaisyam Rashid, filem ini mengetengahkan tema yang sangat peribadi iaitu “you vs you”, di mana pertarungan paling sukar bukanlah menentang musuh di luar, tetapi melawan kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri. Pendekatan ini disokong dengan skala produksi terbesar pernah dihasilkannya, di samping pembaharuan dari segi gaya visual, koreografi aksi dan penceritaan, menjadikan karya ini sebagai evolusi dalam perjalanan seninya sebagai pembikin filem.

    Menariknya, filem ini turut menandakan langkah baharu buat Aedy Ashraf yang bukan sahaja tampil sebagai pelakon utama, malah menggalas tanggungjawab sebagai penerbit menerusi syarikatnya, Alpha47. Baginya, Tarung: Unforgiven merupakan titik perubahan penting dalam kerjayanya, sekali gus mencerminkan aspirasi jangka panjang untuk membina produksi tempatan yang lebih kukuh dan berdaya saing di peringkat lebih tinggi.

    Dari sudut penceritaan, filem ini mengisahkan seorang bekas juara silat yang dibayangi dosa silam selepas satu tragedi hitam. Demi menyelamatkan kakaknya, dia terpaksa kembali ke gelanggang pertarungan haram, tanpa menyedari bahawa lawan yang menantinya mempunyai kaitan rapat dengan masa lalunya. Konflik dalaman dan pertarungan fizikal yang saling bertembung menjadikan naskhah ini sarat dengan elemen dramatik dan aksi mendebarkan.

    Dengan gabungan pelakon berkaliber, jalan cerita yang kuat serta produksi berskala besar, Tarung: Unforgiven dilihat berpotensi menjadi antara filem aksi tempatan paling berimpak tahun 2026. Penonton boleh mengikuti perkembangan terkini serta klip eksklusif filem ini menerusi platform digital rasmi Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw menjelang tayangan di pawagam nanti.