
Kuala Lumpur, 20 Julai 2026 — Filem Mojoku Hilang! bakal menghiburkan penonton menerusi gabungan romantik komedi yang menyelitkan kisah cinta, harapan, pengorbanan serta nilai kebersamaan dalam kehidupan masyarakat kampung. Di sebalik elemen komedi yang menghiburkan, naskhah ini turut mengetengahkan realiti kehidupan komuniti yang semakin berubah, khususnya apabila nilai saling membantu dan semangat kebersamaan dilihat tidak lagi sekuat dahulu.
Menariknya, kisah ini berpusat pada Mojo, seekor lembu yang bukan sahaja menjadi watak ikonik dalam filem, malah digambarkan sebagai haiwan yang popular dan mempunyai pengaruh tersendiri. Apabila Mojo dilaporkan hilang dari sebuah kampung, kehilangan tersebut menjadi titik permulaan kepada pelbagai konflik, rahsia dan hubungan yang tidak dijangka. Kehadiran karakter Mojo turut memberikan sentuhan humor yang mengimbangi sisi emosi dan serius dalam penceritaan.
Filem arahan Min Lim ini mengisahkan Adi, seorang pemuda dari bandar yang diarahkan untuk mencari Mojo sambil melaksanakan satu agenda tertentu. Bagi mendapatkan kepercayaan penduduk kampung, Adi menyamar sebagai orang kampung, namun rancangan tersebut berubah apabila dia tanpa sengaja jatuh cinta kepada Ayu. Walaupun mula menemukan kehidupan dan hubungan yang lebih bermakna di kampung itu, Adi tetap meneruskan penipuannya demi tugas yang dipikulnya.
Ayu pula digambarkan sebagai seorang gadis kampung yang idealistik dan berani bersuara, khususnya dalam mempertahankan tanah kampung daripada cubaan sebuah syarikat dari bandar untuk mengambil alih kawasan tersebut. Pertembungan antara kepentingan, kepercayaan dan perasaan ini menjadi antara elemen utama yang menggerakkan perjalanan cerita, sekali gus membuka ruang kepada penonton untuk melihat bagaimana hubungan manusia diuji apabila berdepan pilihan yang sukar.
Menurut Min Lim, Mojoku Hilang! bukan sekadar sebuah filem romantik komedi, sebaliknya membawa nilai yang dekat dengan kehidupan masyarakat seperti kepercayaan, pengorbanan dan keberanian untuk melakukan perkara yang betul demi insan yang disayangi. Menurutnya, penggunaan seekor lembu sebagai subjek utama turut berfungsi sebagai metafora yang menghubungkan pelbagai watak serta membawa mesej mengenai manusia, komuniti dan usaha mencari semula perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan.
Naskhah ini turut menampilkan gandingan sulung Mimi Lana bersama pelakon Indonesia, Adipati Dolken. Mimi Lana membawakan watak Ayu dan menerajui genre romantik komedi buat kali pertama dalam filem, sekali gus memperlihatkan sisi lakonannya yang lebih santai, ceria dan berwarna-warni. Sementara itu, Adipati Dolken yang sudah mempunyai pengalaman luas dalam genre romantik komedi tampil sebagai Adi, memberikan karakter tersebut sentuhan tersendiri melalui pengalaman lakonannya.
Barisan pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato A. Tamimi Siregar, Haeriyanto Hassan, Tony Eusoff, Farah Ahmad, Gambit Saifullah, Seha Monica dan Ayu Azlina turut memperkukuhkan filem ini. Filem berkenaan juga menampilkan kemunculan Atilia Haron serta Alif Satar & The Locos, yang turut memainkan peranan dalam memperkayakan elemen hiburan dan muzik dalam naskhah tersebut.
Selain jalan cerita dan barisan pelakon, Perlis dipilih sebagai latar sinematografi utama filem ini, memberikan identiti visual tersendiri melalui keindahan landskap serta suasana kampung yang menjadi sebahagian penting daripada penceritaan. Produksi filem ini turut menerima sokongan daripada Kerajaan Negeri Perlis, sekali gus membantu mengetengahkan keunikan negeri tersebut kepada penonton menerusi layar perak.
Dari segi muzik, lagu ‘Inikah Cinta’ nyanyian Alif Satar & The Locos digubah semula khas untuk mengiringi filem ini. Menambah keistimewaan kepada runut bunyi, Mimi Lana turut mencuba pengalaman baharu dengan menyanyi dalam filem buat pertama kali menerusi olahan semula beberapa lagu ikonik, yang diharapkan dapat menguatkan lagi elemen emosi dalam penceritaan.
Diterbitkan oleh Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films, Mojoku Hilang! dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai 2026. Dengan gabungan kisah cinta, komedi, konflik komuniti dan mesej mengenai kepercayaan serta kebersamaan, filem ini menawarkan sebuah perjalanan yang menghiburkan sambil mengajak penonton menghargai nilai hubungan manusia dan semangat komuniti.