Tag: #30TahunKegemilangan

  • Konsert For You: Nourul – Persembahan Eksklusif Sempena 30 Tahun Kegemilangan Nourul Depp

    Konsert For You: Nourul – Persembahan Eksklusif Sempena 30 Tahun Kegemilangan Nourul Depp

    Rong Geng Entertainment dengan bangga mengumumkan penganjuran Konsert “For You: Nourul”, sebuah persembahan eksklusif yang diraikan khas bagi menghargai legasi, ketekunan, dan pencapaian seni penyanyi tersohor, Nourul Depp, sepanjang lebih 30 tahun beliau mewarnai industri muzik Malaysia. Konsert yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung pada 17 April 2026 di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam, dan dijangka menghimpunkan lebih 1,500 penonton terdiri daripada peminat setia, rakan media, penggiat industri kreatif, influencer, serta komuniti seni tempatan. Dengan produksi pentas moden, ritma kontemporari, susunan muzik segar, serta elemen visual premium, konsert ini berhasrat memberikan pengalaman hiburan yang unik dan berkesan bagi semua pengunjung.

    Konsert “For You: Nourul” bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah naratif perjalanan seni seorang penyanyi yang konsisten mengekalkan keunggulan vokal, disiplin, kecergasan, dan personaliti selama tiga dekad. Penonton akan dibawa menyelusuri era muzik Nourul yang penuh warna, bermula daripada lagu-lagu hit 90-an sehingga single popular era 2000-an, memperlihatkan kematangan vokal, penghayatan emosi, serta evolusi muzik beliau sepanjang kerjaya. Konsert ini turut menampilkan persembahan energetik dengan susunan muzik moden, segmen akustik “intimate storytelling” khas untuk peminat tegar, kolaborasi bersama pemuzik profesional tempatan, serta tribute visual yang mengimbau perjalanan seni dan pencapaian Nourul Depp.

    Selepas lebih 30 tahun berkarya, konsert berskala besar ini membawa makna mendalam bagi Nourul. Beliau menyifatkan pengalaman kembali ke pentas besar sebagai artis solo sebagai sesuatu yang sangat emosional dan penuh syukur. “Ini adalah antara impian saya yang lama tertangguh. Akhirnya, saya dapat berikan sebuah persembahan yang benar-benar mencerminkan siapa saya sebagai seorang penyanyi, seorang wanita, seorang insan. Saya berjanji untuk memberikan sepenuh hati, sepenuh tenaga dan setiap inci jiwa saya kepada penonton — kerana mereka yang menjadikan perjalanan 30 tahun ini sesuatu yang bermakna,” kata Nourul Depp. Beliau menegaskan bahawa konsert ini akan menjadi persembahan paling peribadi, jujur, dan bertenaga dalam kerjayanya, sebuah malam yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh dan menginspirasikan penonton.

    Pengarah Rong Geng Entertainment, Muhammad Fared Bin Kuswadinata, berkata, “Konsert ini adalah hadiah buat peminat, rakan industri, dan seluruh rakyat Malaysia yang menyokong karya Nourul selama lebih 30 tahun. Ia bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan kehidupan, ketabahan, dan evolusi seni yang membentuk siapa beliau hari ini. Kami mahu penonton merasai perjalanan itu — secara visual, emosi dan muzik.”

    Tiket untuk Konsert For You: Nourul kini boleh didapati di platform rasmi Ticket2U dengan harga serendah RM105 (GOLD), RM155 (DIAMOND), RM255 (PLATINUM), dan RM355 (VIP), bermula 2 Disember 2026, jam 12 tengah hari. Sebarang maklumat lanjut mengenai penganjuran konsert ini akan diumumkan dari semasa ke semasa, memastikan peminat tidak ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada malam yang penuh gemilang ini.