Susuk, kecantikan dan syirik jadi teras konflik dalam Tembuni Berdarah

Filem seram tempatan kembali dengan sentuhan baharu apabila TEMBUNI BERDARAH diangkat sebagai karya yang mengetengahkan isu pemakaian susuk dalam dunia estetika kecantikan serta pertembungan ideologi antara generasi lama dan generasi baharu. Diterbitkan oleh Lindo Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh Dr Ahmad Idham, filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat antaranya Sophia Albarakbah, Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Shahirah Shahora, Riezman Khuzaimi serta Mia Nasir.

Mengulas mengenai naskhah terbaharunya ini, Idham menjelaskan bahawa meskipun beliau pernah menghasilkan banyak filem seram, permintaan penonton untuk melihat karyanya kembali ke genre yang sinonim dengan nama beliau seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak masih kuat. Menurutnya, TEMBUNI BERDARAH hadir dengan aura yang hampir sama, namun kali ini beliau lebih memberi penekanan kepada perbezaan ideologi tentang penggunaan amalan syirik antara generasi lama dan baharu.

Filem ini turut mengangkat fenomena dunia moden apabila semakin ramai masyarakat memilih rawatan estetik dan produk kecantikan sebagai jalan untuk menjaga penampilan, kelihatan cantik serta awet muda. Idham berkata beliau mahu mengaitkan elemen seram dengan realiti hari ini supaya lebih dekat dengan kehidupan penonton. Malah, bagi mengekalkan momentum, elemen drama yang berat dikurangkan dan digantikan dengan lebih banyak adegan kejutan.

Idham turut berkongsi bahawa sebagai teraju utama, Sophia Albarakbah diberikan cabaran besar untuk keluar daripada zon selesa dengan membawakan lakonan berbeza termasuk adegan yang memerlukan pengorbanan fizikal seperti bermain dengan darah serta berlakon di kawasan kubur pada waktu malam. Pengalaman Sophia sebagai pelajar perubatan dan pernah bekerja di hospital turut membantu kerana beliau tidak kekok berinteraksi dengan jarum, alat perubatan dan suasana yang berkait dengan dunia kesihatan.

Penggambaran filem ini berlangsung selama 20 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, termasuk ketika bulan Ramadan lalu. TEMBUNI BERDARAH dijangka menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 25 September 2025.

Mengisahkan Dr Izara lakonan Sophia Albarakbah yang berpegang pada prinsip bahawa kejayaan hanya boleh dicapai melalui usaha dan kerja keras, filem ini memperlihatkan cabaran apabila neneknya, Bok Miah lakonan Khatijah Tan, percaya bahawa ilmu hitam adalah jalan pintas untuk membantu anak cucunya mencapai kesenangan. Konflik semakin memuncak apabila perbezaan prinsip ini turut mengaitkan keruntuhan rumah tangga Dr Izara dengan Aidan, lakonan Niezam Zaidi. Persoalannya, adakah Dr Izara akan tetap teguh dengan pendiriannya atau akhirnya tunduk kepada kehendak neneknya?

Filem ini bukan sahaja menawarkan elemen seram, tetapi turut menyampaikan mesej tentang harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih jalan singkat untuk mengejar kecantikan dan kejayaan. TEMBUNI BERDARAH bakal membawa penonton menyelami pertarungan antara tradisi lama dan pemikiran moden dalam kerangka sebuah kisah seram yang menguji iman serta prinsip.