
Sony mengukuhkan lagi reputasinya sebagai peneraju teknologi optik dengan pelancaran lensa terbaharu dalam siri G Master™ mereka – FE 50-150mm F2 GM, lensa telefoto zum pertama di dunia dengan panjang fokus maksimum 150mm dan bukaan F2 tetap. Dicipta khas untuk jurufoto perkahwinan, potret, sukan dalaman serta pembikin kandungan video profesional, lensa ini menggabungkan resolusi tinggi dan bokeh mengasyikkan dalam satu rekaan serba boleh.
Kualiti Imej Unggul & Bokeh Sinematik F2
Dengan dua elemen XA (Extreme Aspherical), dua kaca Super ED dan tiga elemen ED, rekaan dalaman optik lensa ini memastikan kawalan ke atas aberasi dan menjamin hasil imej yang tajam dan kaya kontras dari hujung ke hujung jarak zum. Tambahan pula, sistem fokus terapung membolehkan jarak fokus minimum 0.4m dan pembesaran maksimum 0.20 – ideal untuk penggambaran subjek secara dekat dan perincian.
Bukaan tetap F2 memberikan kesan bokeh yang licin dan semula jadi, menjadikan lensa ini pilihan ideal untuk jurufoto yang ingin menyerlahkan subjek mereka dengan latar belakang kabur yang menawan. Sistem 11 bilah bukaan bulat turut membantu menghasilkan “signature bokeh” yang sinonim dengan siri G Master.
Rekaan Kompak dengan Zum Dalaman
Walaupun menampilkan ciri zum dari 50mm ke 150mm dengan bukaan F2, lensa ini hanya sepanjang kira-kira 200mm dan seberat sekitar 1,340g, menjadikannya mudah digunakan secara tangan atau digabungkan dengan gimbal. Reka bentuk zum dalaman memastikan panjang dan imbangan lensa kekal konsisten walaupun ketika penukaran fokus, sekali gus memberikan kestabilan optimum untuk rakaman video.
Autofokus Pantas & Tepat
Empat motor linier XD (Extreme Dynamic) dan algoritma kawalan Sony menjadikan sistem autofokus lensa ini bukan sahaja pantas dan senyap, tetapi juga sangat tepat. Dipadankan dengan kamera Alpha 9 III, sistem ini menyokong rakaman berterusan sehingga 120 bingkai sesaat dengan penjejakan AF/AE penuh – sesuai untuk menangkap detik penuh aksi dalam acara sukan, konsert mahupun perkahwinan.
Kebolehan Video Bertaraf Profesional
Untuk pembikin video, lensa ini menawarkan ciri canggih termasuk pengurangan “focus breathing”, keserasian dengan fungsi Breathing Compensation pada kamera Sony tertentu, serta Linear Response MF untuk kawalan manual yang lancar. Motor XD yang senyap juga memastikan tiada gangguan bunyi dalam rakaman audio.
Ketahanan Dalam Pelbagai Keadaan
Dibina untuk lasak, FE 50-150mm F2 GM hadir dengan rekaan tahan habuk dan kelembapan serta salutan fluorin pada elemen hadapan untuk perlindungan tambahan terhadap debu dan minyak.
Ketersediaan Pasaran
Sony FE 50-150mm F2 GM (SEL50150GM) akan mula berada di pasaran Malaysia mulai Mei 2025. Untuk video pengenalan produk, sila tonton di: https://youtu.be/o-SZCS4SgRw
Maklumat lanjut mengenai produk boleh didapati di: https://www.sony.com.my/electronics/camera-lenses/sel50150gm