Sebuah karya unik yang menjanjikan perspektif segar tentang Malaysia dari lensa antarabangsa bakal menemui penonton tahun hadapan. Filem ‘SAYANG’, hasil kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan, baru sahaja selesai menjalani penggambaran selama 40 hari di lokasi indah sekitar Kelantan dan Terengganu. Kini, karya ini bersedia melangkah ke fasa pasca produksi sebelum ditayangkan pada tahun 2026.
Mengangkat tajuk yang merangkum makna cinta, kasih dan kelembutan dalam Bahasa Melayu, ‘SAYANG’ merupakan filem cereka pertama arahan pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu, yang sebelum ini dikenali menerusi dokumentari pemenang Golden Horse Awards ke-39, How High Is the Mountain. Filem ini juga menandakan kolaborasi besar antara pelbagai entiti produksi, termasuk Astro Shaw, More Entertainment (Malaysia), IS Entertainment (Taiwan), Taiwan Creative Content Agency (TAICCA) dan Taipei Film Commission.

Membariskan pelakon dari dua negara, ‘SAYANG’ menghimpunkan barisan berbakat termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Farhana, Jo Kukathas, serta pelakon Taiwan seperti Lee Lee-Zen dan pelakon muda Tang Yung-Hsu, yang turut pernah dicalonkan sebagai Pelakon Baharu Terbaik di Golden Horse Awards.
Kisahnya berpusat pada tiga remaja dari latar budaya berbeza yang membesar di Pantai Timur Malaysia – kisah mereka dipersembahkan dalam naratif menyentuh jiwa, berlatar panorama desa dan laut yang jarang ditampilkan di layar perak. Bagi pengarah Tang, Malaysia adalah negara yang menginspirasinya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke sini pada tahun 2000, dan naskhah ini telah ditulis sejak 13 tahun lalu, sebelum direalisasikan menerusi kolaborasi bersama penerbit Nicole Teoh dan Jin Ong (penerbit ‘Abang Adik’).
“Filem ini bukan sekadar tentang perbezaan, tapi tentang keharmonian yang lahir dari kasih sayang. Ia seperti surat cinta saya kepada Malaysia,” ujar Tang.
Skrip SAYANG turut diiktiraf dalam Excellent Screenplay Awards ke-44 di Taiwan dan terpilih ke Golden Horse Film Project Promotion 2022. Keistimewaannya terletak pada gabungan pelakon dan kru dari Malaysia, Taiwan dan India, menjadikan proses pembikinan filem ini satu pengalaman berbilang bahasa, budaya dan kepercayaan – namun penuh kesatuan.

Antara tenaga belakang tabir yang memberi sentuhan bertaraf dunia termasuk Kartik Vijay sebagai sinematografer (Abang Adik, The Garden of Evening Mists), pakar bunyi legenda Tu Duu-Chih, serta pereka visual Tomi-Kuo, yang sebelum ini memenangi Golden Horse Awards untuk Detention dan My Missing Valentine. Turut terlibat ialah Elaine Ng (kostum), Soon Yong Chow (reka bentuk produksi) dan RYOTA Katayama (pengarah muzik).
Menariknya, filem ini juga menyajikan pelbagai pengalaman baharu buat para pelakonnya. Tang Yung-Hsu yang memegang watak sebagai guru bahasa isyarat, sanggup belajar bahasa isyarat tempatan dan menjelajah komuniti OKU di Malaysia untuk memahami wataknya. Manakala Lee Lee-Zen yang memainkan watak penjaga kuil Cina di tepi laut, menyifatkan pengalaman bekerja di Malaysia sebagai satu momen kebersamaan budaya yang jarang ditemui.
Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Sayang bukan sekadar filem, ia adalah gambaran jiwa Malaysia. Kami percaya kerjasama ini membuka ruang pertukaran budaya dan kreativiti yang menyentuh penonton tempatan dan antarabangsa.”
Bagi Jin Ong pula, filem ini adalah penghormatan terhadap sisi Malaysia yang jarang diangkat – kampung, laut, budaya tradisi dan kemanusiaan. Beliau percaya ‘SAYANG’ mampu menghubungkan dunia kepada keindahan yang tersembunyi di Pantai Timur.
‘SAYANG’ dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan antarabangsa pada tahun 2026. Saksikan bagaimana sebuah kisah kasih mampu menyatukan tiga budaya, dari Malaysia ke Taiwan dalam sebuah filem yang menjanjikan kelembutan, kejujuran dan keindahan sinematik.