Drama Keluarga Itu yang sedang hangat ditayangkan di TV3 mencuri perhatian ramai selepas satu babak penuh emosi yang mendapat sambutan luar biasa di media sosial. Adegan yang tular di TikTok ini melibatkan dua watak utama, Dhamiah (lakonan Puteri Balqis) dan Aman (lakonan Amir Ahnaf), di mana mereka dilanda kesedihan yang mendalam selepas penemuan mayat bayi yang dipercayai anak mereka, Jihad, yang hilang sejak sekian lama.
Babak tersebut menunjukkan Dhamiah yang meraung dengan penuh kepiluan, hampir hilang akal, sementara Aman yang terkejut sehingga pengsan, menyentuh hati setiap penonton. Kehebatan lakonan kedua-dua pelakon muda ini mendapat pujian melambung, dengan penonton menyifatkan ia adalah momen yang paling ‘real’ dan menyentuh dalam drama ini. Lakonan Puteri Balqis dan Amir Ahnaf yang begitu berkesan telah menggambarkan kedalaman emosi ibu bapa yang kehilangan anak, serta menggugah perasaan penonton dengan begitu mendalam.
Ribuan komen di TikTok membanjiri babak tersebut, dengan ramai penonton memberikan reaksi sebak dan penuh kekaguman terhadap lakonan mereka. Beberapa komen seperti “Aku banjir air mata masa part Aman pengsan,” “Lakonan Mia dan Aqish memang terbaik,” dan “Mereka berdua layak dapat anugerah!” membuktikan betapa kuatnya impak emosi yang dibawa oleh mereka. Babak ini telah menambah lagi elemen drama Keluarga Itu yang begitu menghiburkan sekaligus mendalamkan penghayatan setiap watak.
“Keluarga Itu” tidak hanya bergantung pada lakonan dua bintang muda ini, tetapi juga disokong oleh barisan pelakon berbakat besar seperti Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Melissa Campbell, dan Izara Aishah. Semua ini menjadikan drama ini sangat dinantikan oleh penonton setiap minggu.
Jangan ketinggalan menyaksikan pengakhiran kisah Dhamiah dan Aman dalam episod terakhir Keluarga Itu, yang akan disiarkan pada 9 Mei 2025, jam 9.00 malam di TV3. Anda juga boleh menonton lebih awal dengan strim di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.
Untuk lebih banyak info dan update terkini mengenai drama kegemaran anda, ikuti TV3 di media sosial melalui @TV3Malaysia dan @dramasangat di Instagram.
