Pitahati Wakili Malaysia di Pentas AXEAN Festival 2026

Kumpulan psychedelic rock Malaysia, Pitahati, bakal membawa nama Malaysia ke pentas AXEAN Festival 2026 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos di Jimbaran Hub, Bali, Indonesia.

Pitahati merupakan antara tiga nama dari Malaysia yang terpilih untuk membuat persembahan pada edisi keenam AXEAN Festival, bersama MASDO serta kolaborasi Lil Asian Thiccie x DJ Magn3sium.

Tahun ini, AXEAN Festival menghimpunkan lebih 40 artis di tiga pentas, selain menampilkan program persidangan, sesi networking dan pelbagai aktiviti pembangunan industri muzik.

Bagi Pitahati, peluang untuk menyertai festival berkenaan bukan sekadar mengenai persembahan di luar negara, tetapi turut menjadi ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari Asia Tenggara serta rantau lain.

“Bagi Pitahati, peluang ini bukan sekadar sebuah persembahan di luar negara, tetapi ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari rantau Asia Tenggara dan luar rantau,” kata Rahman, pengurus Pitahati.

Vokalis Pitahati, Ilham, turut melihat penyertaan di AXEAN Festival sebagai peluang untuk mereka memahami perkembangan muzik serantau serta membina hubungan baharu dengan artis dan penggiat industri.

“Bila kita pergi ke festival macam AXEAN, kita bukan datang sekadar untuk bermain. Kita juga datang untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam muzik di rantau ini, berkenalan dengan artis dan orang industri lain, dan bawa muzik kita ke ruang yang mungkin sebelum ini belum pernah kita sampai,” katanya.

AXEAN Festival mempunyai fokus yang kuat terhadap pertukaran dan eksport muzik serantau. Sejak penubuhannya pada 2020, platform ini telah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara serta menghimpunkan ratusan delegasi industri dari pelbagai negara.

Menurut Ilham, penglibatan band Malaysia dalam acara seperti AXEAN Festival penting bagi memastikan muzik tempatan terus menjadi sebahagian daripada perkembangan industri muzik Asia Tenggara.

“Kami rasa penting untuk band Malaysia berada dalam ruang sebegini. Asia Tenggara ada banyak muzik yang menarik, dan kita mahu menjadi sebahagian daripada perbualan itu. Harapnya persembahan Pitahati di Bali nanti boleh membuka lebih banyak peluang untuk muzik kami bergerak di luar Malaysia,” tambahnya.

Selain Pitahati, edisi tahun ini turut menampilkan barisan artis dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis dan beberapa negara lain.

Kehadiran artis dari pelbagai negara menjadikan AXEAN Festival sebagai salah satu platform penting untuk pertemuan, pertukaran idea dan jaringan dalam kalangan komuniti muzik serantau.

Bagi Pitahati, penyertaan di AXEAN Festival 2026 merupakan satu lagi langkah dalam usaha membawa identiti muzik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas, di samping terus membina hubungan dengan komuniti muzik Asia Tenggara.

Persembahan di Bali nanti bukan sahaja menjadi pentas untuk Pitahati memperkenalkan muzik mereka, malah membuka ruang baharu untuk muzik Malaysia berkembang dan mendapat tempat di peringkat serantau.