Permintaan Buruh Malaysia Terus Kukuh, 9.06 Juta Jawatan Direkodkan Suku Pertama 2025

Permintaan terhadap buruh di Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus pada suku pertama tahun ini, menurut laporan terbaharu Statistik Guna Tenaga, Suku Tahun Pertama 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Jumlah jawatan yang direkodkan meningkat kepada 9.06 juta berbanding 8.94 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan bahawa pertumbuhan ini selari dengan prestasi ekonomi negara yang terus mengukuh, didorong oleh permintaan domestik yang stabil. “Sebanyak 97.9 peratus daripada jawatan tersebut telah diisi, manakala bakinya sebanyak 2.1 peratus masih kosong,” ujarnya.

Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada bilangan jawatan diisi, menyumbang 52.8 peratus atau 4.69 juta jawatan. Ini diikuti oleh sektor Pembuatan (26.9%; 2.38 juta) dan Pembinaan (14.1%; 1.25 juta). Dari aspek kemahiran, jawatan separuh mahir menguasai 62.5 peratus keseluruhan atau 5.55 juta jawatan, diikuti oleh kategori mahir (25.2%; 2.23 juta) dan berkemahiran rendah (12.3%; 1.09 juta).

Dalam aspek kekosongan jawatan, suku pertama 2025 menyaksikan peningkatan 1.2 peratus tahun ke tahun, dengan 194,100 kekosongan direkodkan. Sektor Pembuatan kekal mendahului senarai dengan lebih separuh daripada kekosongan tersebut (57.3%), khususnya dalam subsektor produk elektrik dan elektronik. Sektor Pertanian dan Pembinaan turut mencatatkan kekosongan signifikan masing-masing sebanyak 31,800 dan 25,400 jawatan.

Sementara itu, pewujudan jawatan baharu turut menunjukkan perkembangan positif, meningkat 3.4 peratus kepada 33,200 jawatan berbanding 32,100 pada suku yang sama tahun lalu. Sebahagian besar jawatan baharu berada dalam kategori separuh mahir (62.5%), diikuti kategori mahir (26.9%) dan berkemahiran rendah (10.6%). Sektor Perkhidmatan menyumbang hampir separuh daripada jawatan baharu ini, dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit.

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir turut menekankan peranan penting sektor Pembuatan dalam merangsang pertumbuhan pasaran buruh, sejajar dengan laporan Statistik Pembuatan Bulanan yang menunjukkan peningkatan tahunan sebanyak 1.1 peratus dalam bilangan pekerja. “Perkembangan ini konsisten dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran,” jelas beliau.

Dalam konteks serantau, DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) sebagai sebahagian daripada kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. Malaysia juga mencatat kejayaan bersejarah apabila menduduki tempat pertama di peringkat global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara lain.

Kerajaan turut mengiktiraf kepentingan statistik dalam kehidupan rakyat dengan menetapkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) bertemakan Statistik Nadi Kehidupan, selari dengan sambutan Hari Statistik Dunia Keempat pada tarikh yang sama.

Sebagai sokongan kepada keterbukaan data, DOSM menyediakan platform OpenDOSM NextGen yang menawarkan katalog dan visualisasi data secara interaktif di portal https://open.dosm.gov.my.