NES Perkukuh Langkah ke Pasaran Global Menerusi Kerjasama Strategik dengan Skinrock Switzerland

NES Security Door Marketing Sdn. Bhd. (NES), syarikat pengeluar pintu keselamatan tempatan yang kian menyerlah, kini melangkah lebih jauh ke pentas antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Skinrock AG dari Switzerland, peneraju teknologi venir batu semula jadi ultra nipis.

Majlis menandatangani MoU ini diadakan sempena perasmian kilang pembuatan baharu NES, sekali gus mengukuhkan usaha syarikat untuk memperluas kapasiti operasinya. Acara dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YBrs. Datuk Hanafi Sakri, sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap pertumbuhan sektor pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia.

oplus_132128

MoU ini menandakan permulaan strategi jangka panjang NES untuk membangunkan produk-produk inovatif berasaskan reka bentuk eksklusif, bahan termaju dan teknologi canggih, seiring misi syarikat menembusi pasaran global dalam segmen premium.

“Gabungan kepakaran Skinrock dalam venir batu semula jadi dengan kekuatan kejuruteraan NES membuka ruang baharu untuk menghasilkan produk pintu keselamatan yang bukan sahaja berfungsi tinggi, malah menonjol dari sudut estetika dan seni bina,” ujar Datuk Hanafi. “Kolaborasi ini mencerminkan keyakinan industri global terhadap kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat dunia.”

Skinrock AG, yang berpangkalan di Switzerland, merupakan pelopor dalam menghasilkan venir batu semula jadi fleksibel bahan mewah yang banyak digunakan dalam seni bina ikonik di Eropah dan Timur Tengah. Menerusi kolaborasi ini, venir tersebut akan diperkenalkan dalam rangkaian produk NES, menjadikan NES antara syarikat terawal di Asia Tenggara yang mengaplikasikan batu semula jadi dalam rekaan pintu keselamatan.

Pengasas Skinrock, Uelli Stiffler turut berkongsi keterujaannya untuk meneroka pasaran Asia Tenggara bersama NES. “Kami amat teruja dapat bekerjasama dengan NES dalam memperluas aplikasi teknologi bahan kami di rantau ini. Kami percaya kolaborasi ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada kedua-dua pihak, tetapi turut menjadi inspirasi kepada kerjasama rentas negara yang lebih erat antara industri Malaysia dan Eropah.”

Dengan pelaburan berterusan dalam inovasi dan pengembangan pasaran, NES kini bersedia untuk membawa produk buatan Malaysia ke peringkat lebih tinggi gabungan keselamatan, teknologi dan reka bentuk yang sejajar dengan piawaian antarabangsa.