Maxim Sedia Teruskan Operasi E-Hailing di Malaysia Selepas Rayuan kepada APAD

Maxim Malaysia telah mengambil langkah tegas dengan menyerahkan dokumen rayuan rasmi kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sebagai usaha untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor e-hailing negara. Langkah ini menunjukkan kesungguhan Maxim dalam mematuhi peraturan serta memperkukuh standard keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah APAD, Puan Masita Binti Mat Isa berkata, pihaknya mengalu-alukan komitmen Maxim yang telah melengkapkan dokumen dan syarat diperlukan. “Kami menyambut baik usaha ini. Dalam pasaran digital yang kompetitif, peluang mesti diberikan kepada semua pemain untuk berkembang secara adil demi pembangunan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Maxim turut menegaskan hanya pemandu yang sah dan bertauliah boleh beroperasi di bawah platform mereka. Mereka menyediakan sokongan penuh termasuk bantuan mendapatkan lesen PSV dan EVP melalui kerjasama bersama lebih 25 sekolah memandu di seluruh negara. Inisiatif ini memudahkan calon pemandu mematuhi undang-undang serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Ketua Undang-Undang dan Hal Ehwal Kerajaan Maxim, Chowdhury Mushfique Ahmed berkata, syarikat kini merancang untuk menambah bilangan pemandu sah melalui sistem pampasan dan bonus khas. “Kami komited untuk membantu lebih ramai rakyat menjana pendapatan yang stabil melalui e-hailing,” katanya.

Selain fungsi penjejakan perjalanan dan sembang dalaman untuk keselamatan pengguna, Maxim terus memainkan peranan penting dalam mobiliti bandar. Kajian dalaman mendapati kira-kira 80% pendapatan pemandu bergantung pada platform ini, sekali gus menjadikannya sumber pendapatan utama buat ribuan keluarga.

Maxim juga telah beroperasi di seluruh Malaysia selama lebih 6 tahun, menyumbang kepada ekonomi digital melalui pelaburan dalam infrastruktur, promosi jenama, CSR, dan teknologi. Mereka aktif dalam inisiatif bantuan bencana dan komuniti, serta memberi tumpuan kepada keperluan OKU dengan kadar khas dan laman web mesra golongan buta.

Dengan rayuan rasmi yang telah diserahkan kepada APAD, Maxim Malaysia berharap agar dapat meneruskan operasinya demi menyokong mobiliti rakyat serta memperkasa sektor e-hailing secara menyeluruh di negara ini.