Lim Seong Hai Capital Berhad (“LSH Capital” atau “Kumpulan”) mengumumkan prestasi kewangannya bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025 (2QFY25), yang memperlihatkan pertumbuhan keuntungan yang kukuh disokong oleh pengurusan kos berkesan dan pelaksanaan strategi perniagaan yang mantap.
Bagi suku ini, Kumpulan mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM106.6 juta dengan keuntungan kasar (GP) berjumlah RM43.5 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM21.7 juta. Ini bersamaan dengan margin GP sebanyak 40.8% dan margin PAT sebanyak 20.4%. Secara perbandingan tahun ke tahun (YoY), GP menunjukkan peningkatan 41.9% walaupun berlaku penurunan dalam pendapatan, manakala PAT melonjak sebanyak 39.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Keuntungan sesaham turut meningkat kepada 2.99 sen berbanding 2.25 sen pada 2QFY24.
Prestasi cemerlang ini didorong oleh sumbangan signifikan daripada segmen Pembangunan Hartanah, terutamanya melalui kemajuan projek LSH Segar di Cheras, Kuala Lumpur. Selain itu, segmen Pembinaan turut mencatat kemajuan ketara menerusi projek infrastruktur di Gemas serta kerja tanah di Transkrian dan Tangkak.
Sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian jangka panjang, anak syarikat milik 70% LSH Capital, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), telah memulakan operasi pengurusan Menara Kuala Lumpur secara rasmi pada 1 April 2025. Konsesi selama 20 tahun ini menandakan langkah penting bagi Kumpulan dalam menjana pendapatan berulang melalui perkhidmatan pengurusan fasiliti, sekali gus menyumbang kepada usaha memulihkan mercu tanda negara.
Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Capital, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, “Pencapaian memberangsangkan pada suku ini mencerminkan keberkesanan rangka kerja kolaborasi BEST kami serta ketahanan model perniagaan bersepadu LSH Capital. Permulaan projek Menara KL memperkukuh lagi aliran pendapatan berulang kami, dengan lebih banyak peluang pertumbuhan di segmen ini.”
Tambah beliau, “Kami kini giat meneroka peluang dalam pemilikan konsesi infrastruktur di bawah inisiatif Pembangunan Wilayah Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS). Sasaran kami bukan sekadar membina, tetapi turut memiliki dan mengurus aset untuk pertumbuhan mapan jangka panjang.”
Sebagai komitmen berterusan kepada pemegang saham, LSH Capital turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.78 sen sesaham bagi tempoh tersebut.
