Setelah menerima sambutan hangat dan pujian di 26th Far East Film Festival di Udine, Itali pada Mei lalu dan meledak di pawagam Hong Kong, filem Customs Frontline kini siap memukau penonton di Malaysia bermula 5 Julai 2024.
Customs Frontline, hasil sentuhan emas sutradara Herman Yau, bukan sebuah naskhah klise tentang barisan hadapan biasa. Filem ini mengangkat kepayahan, semangat juang, dan kecekapan anggota Kastam Hong Kong dalam membenteras jenayah global termasuk penyeludupan senjata api. Filem ini jarang memfokus atau menonjolkan kepakaran anggota kastam seperti yang dipamerkan di sini.
Menerusi Customs Frontline, yang diproduksi oleh Jason Siu, penonton akan didedahkan dengan kecekapan para anggota kastam membenteras jenayah melalui kesan lakon layar terbaik yang diterajui oleh Erica Li dan Eric Lee.
Tentu sahaja, sesebuah filem tidak akan ‘bersinar’ tanpa bintang-bintang hebat yang memukau penonton saat ditayangkan di layar lebar. Customs Frontline membariskan bintang berkaliber dengan penampilan perdana legendaris Jacky Cheung selepas lapan tahun berehat. Beliau berganding mantap bersama aktor berbakat besar, Nicholas Tse, dan turut dibarisi oleh Karena Lam, Yase Liu, dan Francis Ng sebagai penampilan khas. Filem ini dipenuhi dengan babak aksi dan klimaks tanpa henti.
Lebih menarik, Nicholas Tse, yang menjayakan karakter Chow Ching-lai, turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam filem yang digarap selama dua tahun ini. Tse, 43, menzahirkan keterujaannya dalam pembabitan filem ini bukan hanya kerana berganding dengan pesohor seperti Jacky Cheung tetapi juga bagaimana dia merealisasikan babak aksi yang menjadi dambaan selama ini.
“Sewaktu kecil saya selalu meniru aksi Jackie Chan dan Donnie Yen. Jika ditanya, secara jujur saya akan meneruskan tradisi merisikokan diri untuk melakonkan babak aksi dalam filem Hong Kong. Kerana itu saya turut menjadi koreografer aksi buat pertama kali dalam sejarah lakonan menerusi Customs Frontline,” ujar Tse.