Category: Entertainment

  • BUDAK FELDA JELAJAH DUNIA MELALUI KRIKET YANG CEMERLANG

    Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023 – Pada tarikh yang dinanti, enam budak FELDA yang dikenali sebagai ‘6 Jahanam’ sedang bersedia untuk mencipta sejarah dalam arena kriket antarabangsa. Gemencheh Boys, sebuah filem inspirasi yang mengambil ilham daripada kisah sebenar keenam pemuda FELDA Bukit Rokan Utara dan mentor mereka, Cikgu Azman, akan segera menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 26 Oktober ini.

    Diterbitkan oleh Astro Shaw, bersama dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures, filem ini jauh lebih daripada sekadar satu filem sukan biasa. Ia menghidangkan kisah yang penuh inspirasi dengan sentuhan humor, rasa bangga, dan keintiman yang mampu menyentuh hati, semua diiringi dengan tema semangat kesetiaan kawan dan tekad untuk mencapai kejayaan.

    Dengan tagline ‘tiada berundur, tiada menyerah’, Gemencheh Boys menceritakan kisah Shafiq dan kelima sahabatnya semasa zaman persekolahan. Perbuatan nakal mereka bukan sahaja menjadi tumpuan di sekolah, malah juga menjadi perbualan hangat di kalangan penduduk kampung tempatan.

    Demi menjadikan mereka manusia berguna, Cikgu Azman bertanggungjawab untuk membimbing dan mendorong mereka menyertai pasukan kriket sekolah. Meskipun cikgu Azman tidak mempunyai asas tentang sukan yang dianggap elit itu, dia bertekad membimbing ‘6 jahanam’ –  Shafiq, Rashid, Fauzi, Amin, Shukri dan Azad untuk bermain kriket, sekaligus mengubah kehidupan mereka.

    Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kebangsaan Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017. Gemencheh Boys membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa jua latar belakang, apabila meletakkan kepercayaan dan kesungguhan, pasti mampu meraih kejayaan – ‘from zero to hero’.

    Menarik lagi, babak-babak yang dipaparkan amat dekat dengan masyarakat kita dan ia akan membawa penonton mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak pada era 1990an. Antaranya main cop tiang, mandi sungai, petik buah mangga selepas balik sekolah, berbasikal sekitar kawasan kampung dengan kawan-kawan, lawan labah-labah dan simpan dalam kotak mancis, denda ketuk ketampi, layang-layang dan banyak lagi.

    Gemencheh Boys adalah hasil arahan pemenang Cerita Asal Terbaik Festival Filem Malaysia 2017, Jason Chong bersama Eric Ong. Cerita asalnya diilhamkan oleh Jason dengan kerjasama Sky Khor untuk penulisan skrip.

    Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, “Filem Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia dengan karakter dan mesej yang amat dekat dengan masyarakat kita. Tema yang dipersembahkan membuktikan kita semua, tanpa mengira latar belakang, mampu meraih kejayaan serta menjadi luar biasa atas usaha dan kepercayaan.” 

    “Astro Shaw percaya Gemencheh Boys mempunyai tarikan hebatnya tersendiri, selain muncul sebagai naskhah berkualiti serta sarat dengan pengisian yang mampu meninggalkan kesan. Harapan kami agar filem ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia berbilang kaum serta menyuntik minat terhadap karya tempatan.”

    “Dalam usaha mempromosikan Gemencheh Boys, kami telah mengadakan tayangan eksklusif. Kami berbesar hati apabila menerima maklum balas positif, lebih-lebih lagi apabila penonton bersorak dengan laungan ‘Monceh Mogah’ (Gemencheh Megah), di samping tepukan gemuruh bagaikan di stadium selepas tamat tayangan. Sebuah pengalaman menonton yang sangat berbeza”.

    Gemencheh Boys menampilkan pelakon berpengalaman seperti Pekin Ibrahim, Farah Ahmad dan Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar yang mempamerkan persembahan cukup meyakinkan. Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem ke-28, Pekin Ibrahim sekali lagi menonjolkan sisi berbezanya apabila membawa watak Cikgu Azman yang memerlukan dialog dalam dialek Negeri Sembilan. Selain itu, Gemencheh Boys menyandarkan wajah-wajah baru dalam arena lakonan sebagai tunggak utama Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq. Turut membintangi adalah Zaidi Omar, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan penampilan istimewa Farah Fauzana.

    Lagu rasmi filem ini adalah ‘Siapa Kami’ nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.

    Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong menyatakan filem ini adalah tentang transformasi dan harapan. “Gemencheh Boys adalah sebuah kisah sebenar yang memaparkan tentang bagaimana seseorang mengubah kehidupan orang lain dengan memberi harapan dan keyakinan. Kami yakin filem ini mampu membuatkan penonton mengakui bahawa semua orang boleh menjadi seperti Gemencheh Boys jika percaya pada diri sendiri.”

    Astro Shaw menjalinkan kerjasama bersama jenama tempatan APOM! dalam rangka promosi filem. Penonton boleh dapatkan t-shirt dan beg eksklusif Gemencheh Boys X APOM! di www.apom.my bermula 9 Oktober atau di outlet APOM! bermula 26 Oktober.

    Gemencheh Boys juga mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antaranya kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil  – ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.  Selain itu turut bekerjasama bersama pusat beli belah AEON dan genama DGI dalam rangka promosi filem.

    Pembelian tiket Gemenchech Boys boleh dibeli awal di pawagam seluruh negara bermula 18 Oktober ini.

    Gunakan #Gemenchehboys bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Gemencheh Boys di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

    Nantikan Gemencheh Boys, sebuah cerita adaptasi dari kisah sebenar tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’ yang berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan antarabangsa. Filem ini bakal berada di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober ini.

  • DEBARAN MALAM KONSERT ‘ROCKMANTIC NIGHT’ – JUDIKA & THE GENG’ KIAN TERASA!

    Rakyat Malaysia, sudahkah anda bersedia? Konsert fenomena ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG’ dengan penyanyi hebat dari Indonesia, Judika, akan memberikan penampilan yang dinantikan. Acara ini akan menampilkan barisan artis popular tempatan seperti Haqiem Rusli, Marsha Milan, dan Shila Amzah. Jangan lepaskan peluang menyaksikan mereka pada 21 Oktober 2023, bermula jam 8:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Konsert ini turut dipersembahkan oleh jenama kosmetik eksklusif dan terkemuka, Alha Alfa, dan dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management, serta penganjur bersama, Kharisma Music International. Pastikan anda hadir!

    Jurucakap DAD, selaku label rakaman muzik dan pengurusan artis yang diasaskan pada tahun 2018 oleh Judika sendiri bersama sang isteri, Duma Riris memberitahu kepada semua, “Persiapan Judika menjelang hari konsert hampir 100% kesemuanya termasuk latihan persembahan bersama para pemuzik profesional dan band iringan, perancang grafik, susunan muzik, dan lain-lain persiapan.

    “Judika tidak sabar untuk memberikan yang terbaik buat semua yang hadir pada malam konsert nanti dan menghasilkan sebuah persembahan romantis yang bakal menjadi kenangan manis buat semua yang menontonnya.

    “Di antara lagu-lagu ‘sing-along’ yang wajib dihafal oleh semua yang membeli tiket adalah Cinta Karna Cinta, Bukan Rayuan Gombal, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus dan juga Sampai Kau Jadi Milikku.

    “Dapatkan segera tiket konsert yang masih ada seperti Normal Standing secara atas talian di www.ticket2u.com.my/judika, manakala tiket-tiket lain seperti Gold, Silver, VIP Standing, VIP dan Platinum telah ‘sold-out’.

    Sebagai makluman, pemilik nama sebenar Judika Nalom Abadi Sihotang ini memilih tema ‘Rockmantic’ yang merupakan gabungan perkataan ‘rock’ dan ‘romantic’ yang terinspirasi dari karakter Judika sendiri yang memiliki jiwa rock, namun di satu sisi yang lain pula, merupakan seorang yang penyayang dan pencinta terhadap keluarganya, pasangannya dan sering menghasilkan karya-karya berbaur romantis.

    Dianggarkan sekitar lebih dari 15 buah lagu yang bakal dipersembahkan oleh Judika pada malam konsert nanti dengan durasi kurang lebih 2 jam di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.

    Pihak pengurusan DAD dan Kharimsa Music International ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih buat rakan-rakan penganjur seperti Alha Alfa, Pavilion Kuala Lumpur dan Pavilion Bukit Jalil, rakan hotel rasmi, Le Meridien Petaling Jaya, dan juga rakan radio rasmi, ERA.

    Pesan Judika, “Saya ingin semua peminat yang  akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan. Datanglah dengan jiwa seorang ‘rocker’ yang berani dan penuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.

    “Semoga konsert ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG ini menjadi salah salah satu pengalaman yang tidak akan anda dilupakan, ‘it’s a night to remember’.

    “Jumpa anda di sana!

  • ANDRA & THE BACKBONE: PENGALAMAN LUAR BIASA MENANTI PENONTON KUALA LUMPUR

    Walaupun Andra & The Backbone mungkin belum mencapai tahap ketenaran yang sama seperti Dewa 19 di kalangan peminat muzik Malaysia, terutamanya di kalangan kelompok peminat yang sering dipanggil Baladewa dan Baladewi, namun kini lebih banyak orang mulai menyedari keunikan dan pesona dalam muzik mereka.

    Dalam perjalanan muzik yang seringkali lebih berat daripada apa yang biasa mereka dengar, Andra & The Backbone menghadirkan lirik-lirik cinta yang puitis dan mendalam. Vokal Dedy yang unik dengan ciri ‘husky’nya turut memberikan dimensi tersendiri dalam pengalaman mendengar muzik mereka.

    Ketika melibatkan Stevie, anggota band death metal Deadsquad, kolaborasi mereka menghasilkan karya-karya yang menarik dan berani. Sudah tentu, konsert mendatang mereka akan menjadi satu pengalaman muzik yang istimewa yang tak boleh dilewatkan. Jadi, mari bergabung dengan kami dan sertai konsert yang akan datang untuk merasai keindahan muzik mereka yang unik.

    Mungkin ada yang tidak tahu, band yang ditubuhkan pada 2006 ini sudah enam kali membuat persembahan di Kuala Lumpur.  Kali terakhir mereka menggalas tugas sebagai ‘opening Act’ untuk konsert Dewa 19 yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada tahun 2019.

    Setelah 17 tahun membina empayar, ‘Andra & The Backbone’ sekali lagi di beri ruang untuk ‘Sempurna Di Kuala Lumpur’.  Konsert anjuran Qew Communications Sdn Bhd atau Qew Comm itu di jadual bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Disember nanti.

    Bagi pihak Qew Comm, pihaknya melahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan Andra yang juga merupakan salah seorang gitaris Dewa 19.  Selain itu mereka juga percaya bahawa Andra & The Backbone punya kelompok peminat mereka sendiri.

    Mereka juga percaya bukan hanya kelompok peminat rock tetapi peminat muzik ‘berat’ juga bakal hadir ke konsert itu nanti kerana ukhwah di kalangan mereka cukup kuat.

    Menerusi jenama Andra And The Backbone mereka telah mengeluarkan empat album iaitu “Andra and the Backbone” pada tahun 2007, “Season 2 ” (2008) , “Love, Faith & Hope” (2010) serta album kompilasi “The Best Of Republik Cinta” (2011) .

    Lagu hits mereka iaitu Sempurna yang diperkenalkan kembali oleh Gita Gutawa, “Lagi Dan Lagi”, “Dan Tidurlah”,  “Terdalam” , “Perih” , serta “Dengarkan Aku.

    Bagi anda yang menggemari lagu-lagu yang sarat dengan mesej tersirat, ini peluang untuk menyaksikan kehebatan Andra dengan lebih dekat, apatah lagi beliau memilih untuk jadi anggota paling pendiam jika beraksi bersama Dewa19.

    Konsert ‘Sempurna Di Kuala Lumpur’ bakal merungkai sisi sebenar Andra, Stevie dan Dedy yang pasti memberi momen indah dan lebih ‘intim’ sekaligus memaku kesempurnaan Andra & The Backbone.

    Tiket dengan harga RM169 (CAT 1), RM139 (CAT 2), RM289 (CAT 3), RM229 (CAT 4) dan RM4,000 (VIP) akan mula dijual bermula 12 Okt ini di myticket.asia

  • CBP SERTAI ICCMY2023 DI SEMPORNA, SABAH

    Bagi menyebarkan kesedaran tentang kesan pencemaran terhadap ekologi marin, Co opbank Pertama (CBP), penduduk tempatan dan kakitangan CBP mengambil bahagian dalam Pembersihan Pantai Antarabangsa 2023 (ICCMY2023) hari ini di Pulau Selakan, Semporna.

    ICCMY2023 ini dianjurkan oleh Reef Check Malaysia dan mendapat kerjasama daripada Ecodistrict Association dan Luma’ Selakan Eco Resort bersama penyelaras program, Stylo Events Sdn Bhd.

    ”Tujuan program ini diadakan adalah untuk menerapkan agenda Unitied Nation dalam Pembangunan Mampan SDG17, iaitu komitmen negara melalui penglibatan sektor korporat dalam program ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus) bagi memastikan sasaran pengurangan impak pemanasan global yang berada diparas kritikal dan memberi kesan yang sangat signifikan kepada bumi seperti pencemaran, bencana alam dan kemusnahan alam sekitar.

    ”Melalui program seperti ini dapat memupuk kesedaran untuk komuniti prihatin mengenai kepentingan ekosistem alam sekitar dan sosio ekonomi yang menjadi sumber pendapatan masyarakat setempat,”katanya, menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya lagi, sebagai badan korporat yang menyokong agenda negara, CBP akan terus mengembleng tenaga dan usaha untuk menyertai program yang melibatkan ESG bagi memastikan matlamat kelestarian alam sekitar terjaga dan terpelihara untuk kesinambungan generasi masa hadapan.

    Selain aktiviti pembersihan pantai, CBP juga telah mencipta Seni Dinding Eco[1]Bricks daripada botol plastik hanyut.

    Khairil Anuar turut berkata, CBP akan terus menyokong usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini selari dengan tanggungjawab sosial korporat CBP.

     

  • MENJEJAK KEINDAHAN ‘PERSONA’ BERSAMA YONNYBOII

    KUALA LUMPUR, 27 September 2023 – Yonnyboii, penyanyi hip hop yang kian bersinar dalam arena seni muzik tempatan, terus mencipta karya-karya yang memikat hati peminat genre ini sejak langkah pertamanya di dalam industri.

    Pada tahun 2022, Yonnyboii meraih pencapaian cemerlang dengan memenangi Anugerah Album Terbaik di majlis yang sangat dihormati, Anugerah Industri Muzik. Kejayaan ini tidak hanya membawanya pulang piala bergilir yang sangat diidamkan, malah Dana Kandungan Digital bernilai RM 200,000 dari MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi Digital turut menjadi miliknya.

    Berkat bantuan geran tersebut, Yonnyboi telah berjaya berkarya dengan lebih meluas dan melahirkan album yang lebih berkualiti.

    Dana tersebut telah digunakan untuk setiap aspek pembikinan album termasuk penerbitan lagu, video muzik serta perbelanjaan pemasaran dan promosi.

    Salah satu rancangan pemasaran yang bakal diadakan adalah sebuah majlis pelancaran album yang istimewa. Ia bakal diadakan pada tanggal 7 Oktober 2023 di Putrajaya Challenge Park – Skatepark secara besar-besaran dari jam 4 petang hingga malam.

    Semestinya, ini bakal menjadi satu sejarah kerana belum ada penyanyi yang mengadakan pelancaran album di lokasi seperti ini dengan skala gergasi. Ramai dijangka bakal meluangkan waktu di acara tersebut.

    Di samping itu bintang ini juga pernah tercalon untuk anugerah muzik paling berprestij di Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu.

    Kini, bintang ini muncul lagi dengan sesuatu yang lebih istimewa iaitu sebuah lagi album penuh berjudul Persona. Album ini menceritakan perjalanan beliau dalam mencari jatidirinya yang sebenar, khasnya melalui muzik.

    Yonnyboii berkata, album ini menceritakan bagaimana dia mencari bunyi yang juga identitinya sendiri. Yonnyboii melalui beberapa persona untuk mencari identiti ini. Jadi album ini menggambarkan personanya dalam setiap lagu. Kesemua lagu dalam album ini berbeza-beza mengikut personanya yang bervariasi.

    Album ini turut menampilkan ramai nama-nama terkenal dalam arena hip hop serantau termasuk kawan-kawan baik Yonnyboii sendiri seperti SonaOne, MeerFly, Killa Driz, Guccimith, Alyph, Tommy King serta Adam E.

    “Kesemua mereka memberikan masukan yang berbeza dan mereka memang gila-gila. Saya senang sekali bekerjasama dengan mereka yang memang berbakat,” ulasnya mengenai kolaborasi bersama rakan-rakan seperjuangannya.

    Bila ditanya tentang cabaran dalam menghasilkan album ini, Yonny menjelaskan hanya satu cabaran yang nyata iatu dirinya terpaksa bijak membahagikan masa.

    Yonnyboii berkata, pada waktu album ini disempurnakan, waktu agak suntuk dan isterinya sedang hamil dan kemudian melahirkan anak mereka. Jadi Yonnyboii terpaksa menyelitkan masa untuk memberi perhatian pada isteri dan anak selain memastikan album siap dengan baik. Jadi itu cabaran tersebar untuk album ini.

    Yonnyboii turut berharap album ini bakal disukai oleh kesemua peminatnya sepertimana beliau menyukai album ini.

    Persona telah berada di semua platform digital bermula 22nd September 2023 ini.

  • SIDANG MEDIA DIADAKAN OLEH CALIPH BUSKERS BAGI PELANCARAN LAGU BAHARU

    Untuk memeriahkan lagi industri ini, Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd mengorak satu lagi langkah dengan menerbitkan lagu dan juga muzik video dengan kerjasama Caliph Buskers.

    Caliph Buskers adalah sebuah kumpulan bertaraf OKU yang tidak asing lagi di Malaysia. Kumpulan yang terdiri dari 4 orang iaitu Khairul Azmi Saat, Fendy Adlan,Mohd Zaki Ismail dan Nirwan Zainal Abidin. Setiap ahli kumpulan ini mereka mempunyai kelebihan masing-masing selain bermain alat muzik dengan baik.Selain menjadi artis tetap didalam sebuah program Astro (Meletop), mereka juga aktif memenuhi undangan dengan mengadakan persembahan dibeberapa tempat.

    Terkini mereka sudah pun merakamkan lagu baru yang berjudul INSPIRASI.

    INSPIRASI adalah merupakan lagu baru daripada Caliph Buskers yang diterbitkan oleh Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd dan bekerjasama Masyur-Universal Music sebagai pengedar. Lagu ini merupakan ciptaan Azmi Saat bersama dengan Dato’ Haji  Reduan Yusof yang menyatukan lirik-lirik yang mampu membangkit semangat dalam diri para pendengar.

    Muzik video lagu Inspirasi ini, diarahkan oleh pengarah terkenal iaitu Amie Maziah Abd Rahman yang memberikan sentuhan lebih mendalam dalam penceritaan tentang semangat untuk menempuh kehidupan yang banyak dengan dugaan.

    Tambahan pula lagu ini juga telah dicipta sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan yang kedua yang mana segala perbincangan malahan rakaman juga dibuat secara atas talian. 

    Muzik video dan lagu yang diterbitkan oleh Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd ini telah pun diedarkan oleh Syarikat Universal Music dan ianya telah pun dimainkan di corong-corong radio di Malaysia serta turut dikeluarkan di platform video atas talian seperti Youtube pada 4 Ogos tahun 2023. 

    Perancangan seterusnya untuk lagu Inspirasi ini ialah untuk memasuki carta Muzik-Muzik dan diharapkan ianya mendapat tempat di carta Muzik-Muzik tersebut. 

    Semoga kemunculan lagu baru dari Caliph Buskers ini akan memeriahkan lagi industri seni dan kreatif negara kita.

  • SENTUHAN ROCK KAPAK: MALAM MENGGETARKAN DENGAN BAND-BAND ROCK MALAYSIA !

    Keunggulan muzik rock pada dekad 1980-an telah mencipta fenomena menakjubkan dalam dunia muzik Malaysia. Ketokohan era ini telah menular hingga ke negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, dan Indonesia, memberikan kesan mendalam.

    Yang lebih mempesonakan, keghairahan terhadap muzik rock itu tersebar begitu meluas sehingga kumpulan-kumpulan rock Malaysia menjadi fokus utama. Sambutan yang luar biasa yang diterima di seluruh serantau merupakan pencapaian yang membanggakan, dan penjualan album mencapai tahap yang amat menggalakkan.

    Pada masa yang sama, penubuhan pelbagai kumpulan rock baharu semakin mendominasi pasaran, dengan syarikat rakaman berlumba-lumba untuk merakamkan album bagi kumpulan-kumpulan rock ini.

    Sejarah muzik telah mencipta babak baru yang menarik. Karya lagu yang diterbitkan oleh kumpulan-kumpulan rock ini telah mengukuhkan tempatnya dalam hati peminat muzik, dan kini, carta lagu di Malaysia dan negara-negara jiran dikuasai oleh lagu-lagu daripada kumpulan-kumpulan rock ini.

    Momen puncak kejayaan ini tiba pada tahun 1990, ketika peringkat akhir Juara Juara Lagu (Muzik Muzik TV3) dikuasai oleh kumpulan-kumpulan rock terunggul. Ini adalah era yang mengujakan dalam sejarah muzik Malaysia, mewarisi warisan rock kapak yang sentiasa mekar, dan menggetarkan seluruh serantau.

    Kini setelah hampir 40 tahun lagu-lagu dari Kumpulan-kumpulan Rock ini masih berkumandang serta diminati termasuk oleh generasi baru. Juga, ramai penyanyi-penyanyi masa kini cover lagu-lagu dari Kumpulan-kumpulan Rock 80’an 90’an ini sehingga mendapat tumpuan hebat dan ada yang menjadi viral.

    Konsert-konsert Rock juga banyak dianjurkan untuk memenuhi permintaan peminat-peminat yang dahagakan hiburan dan merindui nostalgia muzik Rock 80’an.

    Walaupun begitu tidak semua Kumpulan-kumpulan yang pernah popular satu masa dahulu diberi peluang untuk mengadakan persembahan. Hanya segelintir Kumpulan-kumpulan yang merupakan nama besar dalam industri muzik berulang kali dijemput untuk mengadakan konsert.

    Oleh itu Boss Production Enterprise dan Attah Music mengambil inisiatif untuk menganjurkan Konsert Rock Kapak yang menampilkan Kumpulan-kumpulan yang tidak diberi peluang untuk mengadakan persembahan. Boss Production dan Attah Music sedar mungkin pulangan dari segi pendapatan tidak memberansangkan, tetapi yang lebih penting adalah memberi kegembiraan serta kepuasan kepada peminat-peminat serta Kumpulan-kumpulan yang terlibat. Kami percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.

    En. Naz Hamzah CEO Boss Production Pte Ltd dari Singapura yang merupakan syarikat induk kepada Boss Production Enterprise juga menegaskan tujuan penganjuran Konsert Rock Kapak ini bukan untuk bersaing dengan produksi yang sediada.

    Ianya lebih kepada usaha untuk meluaskan peluang dan mempertingkatkan perniagaan ke aras yang lebih tinggi disamping antaranya meneruskan legasi pertandingan nyanyian Who’s The Boss yang sebelum ini diadakan di Singapura. Pertandingan nyanyian yang melibatkan peserta-peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia ini bakal dianjurkan di Malaysia.

    Walaupun target Boss Production untuk 2024 mengadakan sekurang-kurangnya 3 – 4 event yang menampilkan artis-artis luar negara dari Singapura, Indonesia, Hong Kong dll namun dalam masa yang sama bukan sekadar memilih artis-artis dan Kumpulan-kumpulan berdasarkan populariti. Boss Production tetap fokus untuk memberi peluang kepada semua.

    Junction, Desire dan Meditasi akan tampil menghiburkan peminat-peminat di dalam Konsert Rock Kapak dengan lagu-lagu hit mereka seperti Akan Ku Kenang, Monolog Untuk Rina, Bias Cinta, Dian Cinta, Bidadari, Biar Pedih Kasih Memanjang serta banyak lagi lagu-lagu lain.

    Lagu-lagu Rock keras akan turut didendangkan untuk memeriahkan suasana dan memenuhi kehendak peminat-peminat muzik sebegini.

    Sebelum persembahan Kumpulan-kumpulan Junction, Desire, Meditasi, Bloodbrothers dan Revenge akan membuka tirai Konsert Rock Kapak dengan penampilan tersendiri.

    Konsert Rock Kapak ini akan diadakan pada 07 Oktober 2023 bermula Sabtu 08.00mlm di Panggung Asia Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

    Untuk pembelian yang berharga RM85.00 tiket sila hubungi 0192333435, 0105667384, 0192407994 & 0199247924 atau secara online

    https://rockkapak.ubertickets.asia/

    Hadiah2 istimewa utk pembelian tiket :

    • 2 pakej percutian di Pulau2 Semporna, Sabah (tajaan AR Travel & Tours)
    • 2 voucher penginapan di AMES Hotel Ayer Keroh, Melaka
    • 2 unit gitar eletrik Ibanez GRX70QA (tajaan Gama Rock House JDT)
    • Kasut rare Fung Keong (tajaan Mentari Merah Entertaiment dgn signature Pengarah Filem Nasir Jani)
    • Gitar akustik, Jaket kulit, drum stick, poster, button band Rock Kapak, t’shirt serta byk lagi untuk Pakaian Rock Terbaik & Cabutan Bertuah.
    • Lain2 penaja adalah AF Services dan W3 Studio utk studio latihan

  • Perpisahan yang Sulit: Pesan Dalam Single Duet Dalia Farhana & Aziz Harun

    Meski hati berat untuk berpisah, sedang masih ada rasa cinta, namun perpisahan jalan terbaiknya.

    Ia adalah pesan yang tercermin dalam lagu duet yang memaparkan kerjasama unik antara Dalia Farhana dan Aziz Harun, dua insan yang berkongsi ikatan sebagai adik-beradik sulung. Lagu berjenis ‘modern ballad’ ini adalah hasil ciptaan mereka berdua bersama Eugene Lai.

    Lagu ini diterbitkan bersama oleh X.O. House dan Faithful Music, memperlihatkan matangnya Aziz Harun dan Dalia Farhana dalam dunia muzik. Tambahan pula, ‘Akhir Cerita’ juga merupakan karya pertama mereka yang dihasilkan bersama-sama, menambah nilai sentimental kepada lagu ini.

    Menariknya, lagu Akhir Cerita ini buat pertama kalinya bakal dipersembahkan secara langsung pada Chapter One: Aziz Harun The Showcase.

    Dalia Farhana, 25, atau nama sebenar Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar berkata, satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

    “Projek lagu ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan Aziz dan sebenarnya saya sudah menjadi peminatnya. Jadi, ini adalah satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

    “Saya tidak sangka pertama kali kami berjumpa sudah boleh tulis lirik lagu bersama-sama. Itu adalah sesi yang sangat menarik kerana pertama kali menulis lagu bersama orang lain, jadi saya banyak belajar daripada Aziz.

    “Selain Aziz, saya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Eugene Lai dalam lagu ini. Sangat senang bekerja dengan mereka walaupun baru pertama kali, jadi saya sangat berterima kasih kerana mereka juga terbuka untuk menerima idea saya. Mereka juga banyak memberi pendapat dalam perbincangan dan usaha untuk menyiapkan lagu ini. Kami bukan sekadar bekerja tetapi berkarya bersama-sama,” katanya.

    Berkongsi lanjut, Dalia berkata, bekerjasama dengan Aziz sangat mudah dan menyeronokkan.

    “Senang sahaja bekerja dengan Aziz kerana dia seorang yang menyeronokkan. Bekerja dengan dia memang banyak ketawa sebab kami jenis orang yang susah serius. Apabila kami berbincang untuk menyiapkan lagu ini, sebenarnya kami sedang berbual dan daripada itu tercetus idea untuk jalan cerita lagu ini.

    “Alhamdulilah, sepanjang proses rakaman lagu Akhir Cerita ini semuanya berjalan lancar. Untuk rakaman muzik video juga berjalan dengan baik dan ia berjaya disiapkan lebih awal daripada apa yang dirancangkan. Semua orang memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

    Sementara itu, Aziz Harun, 25, atau nama sebenar Abdul Aziz Harun mengakui rakan duetnya kali ini, tepat dengan lagu yang dihasilkan.

    “Lagu ini berentak ‘modern ballad’ dan ia sesuai untuk kami yang selalu tulis lagu sedih macam ni. Jadi untuk lagu ini memang kena dengan pasangan duet kali ini.

    “Satu pengalaman yang menarik apabila dapat bekerjasama dengan Dalia. Biarpun ‘range’ vokal kami berbeza, tapi, sebab Dalia pun terbuka, jadi kami cuba dan gembira dan puas hati dengan hasil lagu ini.

    “Ini kali pertama kami bekerjasama selepas dah lama minat Dalia apabila dia ‘cover’ lagu.  Dalam masa sama, dia pun banyak single berentak balada yang menyentuh hati. Saya sangat suka. Memang saya nak buat lagu dengan dia. Alhamdulillah, menerusi projek ini kami nyanyi dan buat lagu bersama,” katanya.

    Menurutnya, penghasilan lagu Akhir Cerita menjadi lebih mudah apabila semua pihak yang terbabit sangat profesional.

    “Cabarannya mungkin ‘key’ kami berbeza. Jadi, kami perlu cari keseimbangan dari segi melodi supaya tidak ada sesiapa yang lebih atau kurang. Dalam masa sama, gubahan muzik juga cabaran besar masa buat lagu ni. Kita nak dapatkan ‘vibes’ sedih sebab ada dua penyanyi. Tak nak dua penyanyi ‘overshadow’ lagu dan mesej lagu ni. Melodi lagu pun tak berat sangat. Tapi sebab dua orang bekerjasama, lagilah kena hati-hati dalam semua aspek pembikinan lagu.

    “Dari segi proses penggambaran video muzik pun mudah. Kami jenis yang ‘easy going’ dan terbuka untuk idea. Sangat mudah bekerjasama dengan semua pasukan kerana masing-masing sudah pernah bekerja dalam MV sebelum ini,” katanya.

    Aziz berharap lagu Akhir Cerita dapat diterima baik pendengar dan pencinta muzik tanah air.

    “Kelebihan lagu ini adalah senang untuk didengar dan boleh dengar di mana-mana dalam pelbagai situasi. Lagu ini menyampaikan mesej untuk kuat dalam membuat keputusan demi kebaikan diri sendiri dan orang tersayang walaupun berat melepaskan.

    “Lagu Akhir Cerita bagi saya adalah mengenai kesedaran untuk melepaskan sesuatu atau seseorang yang kita sayang. Dalam lagu ini ada pesanan untuk melepaskan dengan ikhlas dan tetap mendoakan walaupun pada akhirnya tetap perlu berpisah.

    “Saya berharap lagu ini dapat menemani orang yang berada dalam situasi seperti digambarkan dalam lagu ini. Saya juga berharap lagu ini dapat memeberi semangat kepada mereka yang menjalani fasa kehidupan yang tidak begitu bahagia, sekali gus mampu memberi kekuatan kepada pendengar,” katanya.

  • PENGAKHIRANNYA BERBALOI SETELAH 20 TAHUN: HAFIZ NAFIAH LANCAR FILEM KOMEDI ‘MAT KOLA’


    Hampir 20 tahun dinantikan, Hafiz Nafiah berjaya merakam impian sebagai pengarah dengan filem komedi ‘Mat Kola’.

    Nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Nafiah, menyatakan betapa bermaknanya filem ini, yang diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd, sebagai langkah pertama dalam kerjayanya sebagai pengarah.

    “Dalam ‘Mat Kola’, impian saya menjadi kenyataan. Saya bersyukur kepada penerbit, Azman Ahmad, yang telah saya kenal selama 20 tahun, kerana memberi peluang ini,” katanya dengan penuh kegembiraan.

    “Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada Penerbit Eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.

    “Idea asal filem Mat Kola adalah dari Azman, tetapi penulis skripnya adalah Pijon yang memang sudah biasa menulis cerita dialek utara (Kedah),” katanya.

    Ditanya kenapa mengambil masa yang lama untuk mengarah, kata Hafiz, dia mahu menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi sebelum bersedia di kerusi pengarahan.

    “Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia untuk menggalas kerusi pengarah.

    “Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.

    “Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu.

    “Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya saya sebagai pengarah,” katanya.

    Bercerita pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di tingkatan empat.

    “Selepas tamat persekolahan, saya mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.

    “Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kepada Kumpulan Phyne Ballerz.

    “Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, Prof Madya Datuk A Razak Mohaideen pada 2004,” katanya.

    Bermula dari situ, kata Hafiz, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.

    “Saya bermula sebagai ‘runner’, pembantu produksi, ‘handyman’, pengurus produksi dan konti termasuklah terbabit dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah.

    “Saya dapat memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A Razak. Antaranya, filem lakonan Datuk Aznil Nawawi dan Nasha Aziz,” kata pelakon filem Dunia Baru The Movie itu yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan itu.

    Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz, nama Mat Kola dipilih kerana filem ini menceritakan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

    “Penggambaran filem membabitkan kos mencecah RM1 juta ini berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.

    “Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya,” katanya.

    Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.

    “Jalan cerita filem ini santai mengenai kisah peniaga burger dan semoga ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga. Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.

    “Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan pada pelakon,” katanya.

    Ditanya barisan pelakon, kata Hafiz, semua pelakon utama dan pembantu sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik di lokasi penggambaran.

    Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan (Che Som) Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali),Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

    “Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk dialek utara serta semuanya kelakar,” katanya.

    Ditanya cabaran ketika penggambaran pula, kata Hafiz, dia berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Kedah di mana hujan turun dari pagi hingga petang.

    “Baru nak ‘shoot’ hujan turun dengan lebatnya hingga kami terpaksa tukar ‘screen play’. Contohnya, terpaksa tukar babak Che Som pakai payung untuk disesuaikan dengan keadaan cuaca ketika itu.

    “Bagaimanapun, Tuhan permudahkan sepanjang penggambaran filem ini. Selain mengarah, saya juga sebagai Penerbit Penyelaras dan buat sehabis baik untuk mengawal bajet sedia ada,” katanya.

    Mengulas sasaran kutipan, kata Hafiz, dia hanya melakukan kerja seikhlas hati hingga filem itu siap.

    “Saya tak nak letak sasaran kutipan kerana kita sudah usaha yang terbaik kerana ini filem pertama saya dan selebihnya saya serahkan pada Tuhan,” katanya.

    Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.

    Saksikan trailer Mat Kola di Youtube hari ini : https://youtu.be/WALBC692tVs?si=KD-48J8WQra2yQJy

  • SAMBUTLAH JEMPUTAN ISTIMEWA: SERTAI FIERSA BESARI DAN PEMINAT ‘GALAU’ DALAM PENGALAMAN KONSERT BERJALAN MUNDUR DI ZEPP KL PADA 12 OKTOBER 2023

    Melampaui bakat muzik dan sasteranya, Fiersa Besari telah menciptakan nama sebagai pengaruh budaya di platform media sosial. Kandungan yang autentik dan mudah didekati beliau menghulurkan pengaruhnya kepada pelbagai lapisan masyarakat, menjadikannya figura penting dalam membentuk budaya digital kontemporari.

    Fiersa Besari kelahiran Bandung, Indonesia berusia 39 tahun bukan hanya seorang penyanyi, tetapi juga seorang pencipta lagu yang berbakat. Dalam perjalanan muziknya, beliau telah melahirkan lagu-lagu yang menjadi himpunan kenangan untuk banyak individu. Hits seperti “Waktu Yang Salah” dan “Celengan Rindu” telah membawa kesenangan dan nostalgia kepada pendengar di seluruh dunia.

    Legasi muziknya akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang tokoh paling dihormati dalam industri muzik.

    Menghargai perjalanan karier muziknya yang memberi inspirasi kepada ramai orang, Seraya Group berbesar hati membawakan konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober depan.

    Kemunculan kedua Fiersa, selepas kejayaan penampilan sulungnya di pentas yang sama tahun lalu bakal membawa peminat mengembara ke sebuah persembahan yang sarat nuansa nostalgia dan apresiasi terhadap karya puitisnya.

    Fiersa berkata, konsert tunggalnya itu akan membawa peminat mengimbau perjalanan karier seninya sepanjang 14 tahun menerusi pilihan lagu yang membantu memperkasakan namanya dalam industri muzik Nusantara.

    “Ia termasuk lagu pilihan peminat yang jarang saya bawakan dalam persembahan pentas biasa, Curahan idea dan pembabitan semua dalam menjayakan konsert ini sangat memberi erti buat saya.

    “Secara peribadi, konsert ini sudah lama saya dan mungkin juga anda semua nanti-nantikan. Bertahap, kita jadikan konsert ini sebagai perjalanan indah kita bersama,” katanya.

    Untuk penampilan terbarunya di Zepp KL nanti, Fiersa tidak bersendirian, sebaliknya dia turut ditemani dua penyanyi muda berbakat besar yang sedang mencipta pengaruh tersendiri iaitu Feby Putri dan Aisha Retno.

    “Kemunculan dua penyanyi hebat ini membangkitkan lagi keterujaan saya untuk beraksi di pentas Zepp KL nanti. Saya sudah tidak sabar lagi untuk berkongsi pentas dengan penyanyi berkarisma seperti Feby dan Aisha.

    “Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya. Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat memberikan saya inspirasi untuk mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan,” katanya bersemangat.

    Dengan lontaran vokal yang sarat emosi dan jiwa, Fiersa bakal mengheret emosi penonton untuk ‘galau’ bersama dengan pilihan 18 lagu popular menerusi keunikan gabungan muzik pop indie, folk dan alternatif yang membentuk identiti nyanyiannya.

    Pastinya himpunan lagu yang pernah mendaki carta popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu, Fiersa bakal melarutkan emosi peminat dengan keindahan karya yang mempertahankan namanya sebagai pemuzik.

    “Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.

    “Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan peminat Fiersa, mereka menawarkan diskaun eksklusif 30% bagi pembelian tiket menerusi www.ticket2u.com.my.

    Tiket boleh diperoleh pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk lapan orang).

    “Peminat hanya perlu menggunakan kod promo: “FIERSALIVEINKL” ketika membuat pembelian menerusi ticket2u.com.my untuk menikmati diskaun 30% yang ditawarkan.

    “Justeru, jangan lepaskan peluang hebat ini untuk menyaksikan persembahan Fiersa bersama Aisha dan Feby pada harga berhemat. Kami percaya kolaborasi istimewa ini menawarkan kembara pengalaman muzik melangkaui sempadan yang mempesonakan dan tidak terlupakan semua peminat,” katanya.

    Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert Pertunjukan Tunggal Fiersa Besari Berjalan Mundur.